Penulis: Bluedaisi
“Haih, untunglah kamu Nab. Anak kamu si Fana baru je kahwin dah bunting pelamin. Tak lama nanti bercuculah kamu. Aku ni ha, puas menunggu. Tak mengandung-mengandung juga si Fika. Bukan setahun dua, dah dekat enam tahun, kamu tahu.” kesal kedengaran suara tua itu. Tidak dapat dia tutup rasa kecewa dengan anak menantunya yang hingga kini tidak dapat memberikan cucu yang dimahukan.
“Tak bawa berubat mana-mana ke? Dengan bidan Kasmah dah cuba? Dia tu pandai urut. Kot-kot lekat.” Mak Nab memberi cadangan. Wajah sahabatnya itu ditatap lama. Faham benar resah di hati tua itu.
“Dah. Merata dah Firdaus bawak. Tak mau juga mengandungnya. Jumpa pakar pun sudah. Katanya tak ada masalah, habis kenapa sampai ke sudah tak mengandung-mengandung?”
“Belum rezekilah tu.”
“Nampak gaya, kempunan aku nak menimang cucu sampai ke lubang kuburlah gamaknya.”
Mak Nab mengeluh keras sebelum menyambung, “Alah, anak kamu kan lelaki, apa salahnya dia kahwin lagi satu kalau Fika tak boleh bagi zuriat.”
“Aku dah suruh dah. Degil. Sayang sangat dengan bini dia tu.”
Dari balik pintu, Fika tersenyum kelat mendengar perbualan ibu mentuanya dengan Mak Nab. Kalau lima tahun dahulu mungkin dia sudah menjeruk hati. Sekarang dia sudah kebal. Kata-kata itu cuma bagai angin lalu. Tak meninggalkan kesan di hatinya.
Dulang berisi air teh dan goreng pisang digenggam erat. Nafas ditarik panjang sebelum melebarkan senyuman. Dipaksa kaki yang berat bagai dipasak ke lantai berjalan menuju ke arah mereka.
“Mak, Mak Nab, minum. Ada pisang goreng sikit ni.” sopan Fika menyapa seolah-olah tidak mendengar perbualan dua sahabat itu.
“Oh, kamu ada ya, Fika,” tegur Mak Nab berbasa basi.
“Ada. Kat belakang tadi buat air. Jemput makan ya, Fika ada kerja kat dapur.” tanpa menunggu jawapan balas mereka berdua, Fika membawa diri ke dapur. Bukanlah ada kerja sangat sebenarnya. Cuma buat-buat sibuk tidak mahu diasak soalan tentang anak lagi. Beberapa tahun kebelakangan ini, hanya soalan-soalan berkisar tentang anak sahaja diajukan padanya. Muak!
**************************************************
“Fika merepek apa ni?” tangan Fika yang tadi mengurut lembut belakang badannya ditolak menjauh. Berpusing memeluk tubuh menghadap isterinya yang tunduk menekur lantai.
“Apa salahnya abang, kalau kita ambil anak angkat.” lembut Fika cuba memujuk.
“Ambil anak angkat tu memang tak salah. Tapi yang Fika nak ambil tu anak luar nikah. Kotor! Jijik! Abang tak nak!” keras melingking suara Firdaus menyentak Fika.
“Yang salahnya mak bapa budak tu, bukan dia, abang. Dia pun tak nak dilahirkan macam tu. Apa salahnya kalau kita jaga dia? Didik dia baik-baik.” perlahan Fika berhujah. Dia cuba mengawal intonasi suara, tidak mahu kedengaran hingga ke luar kamar tidur mereka.
Firdaus ketawa mengejek. Mana mungkin anak yang terhasil daripada hubungan haram, dari ibubapa yang tidak mengenal hukum Tuhan tidak mewarisi perangai buruk ibubapanya? Paling tidak; 0.01%. Didiklah bagaimanapun kalau sudah genetiknya begitu pasti sedikit sebanyak terwarisi.
“Abang, please? Fika tak pernah minta apa-apa selama ni. Sekali ini je.”
“Memang Fika tak pernah minta apa-apa. Tapi Fika juga tak dapat beri abang apa yang abang nak.”
Terjungkit kening Fika. Tidak menyangka bait ayat itu keluar dari mulut Firdaus. Kesabaran yang sedari dia cuba serapkan dalam jiwa rasa sudah bertempiaran lari. Wajah Firdaus dia renung tajam. “Fika yang tak dapat beri apa yang abang nak atau abang yang tak dapat beri apa yang Fika nak?”
“Jadi Fika nak salahkan abang? Fika yang tak dapat mengandung, abang yang salah?” Firdaus ikut meninggi suara.
Fika tergeleng dalam ketawa halus. Lucu dengan suaminya yang ego langsung tidak mahu mengaku. Bertahun dia menyimpan rahsia demi maruah suaminya. “Abang yang mandul! Bukan Fika!”
Habis saja ayat itu Fika lantunkan, Firdaus tanpa sedar mendekat. Leher Fika dicengkam ketat. Tercungap-cungap Fika mengejar nafas. Berusaha dia cuba melepaskan genggaman tangan Firdaus yang sudah seperti hilang akal. “Sekali lagi kau cakap aku mandul, mati kau aku kerjakan!” jerit Firdaus lantang. Tubuh Fika ditolak kuat hingga jatuh ke lantai. Pergi mampus sama perempuan bergelar isteri itu. Silap Fika sendiri mengundang kemarahannya.
Ada satu pantang dia dalam hidup; kelakiannya dipersoalkan. Walau doktor sendiri mengesahkan dia mengidap azoosperma. Tiada sperma di dalam semennya. Atau bahasa mudahnya mandul. Dia tidak akan menerima kenyataan ini. Pasti ada silap di mana-mana. Mana mungkin lelaki yang aktif bersukan, menjaga pemakanan dan langsung tidak merokok tiba-tiba mandul. Memang tak logik!
“Abang, anak angkat tu….” sempat Fika bertanya sebelum kaki Firdaus melangkah keluar dari bilik. Tangannya perlahan mengurut leher yang masih terasa sakit dicekik suaminya tadi. Silap dia juga bukan dia tak tahu baran Firdaus itu. Waktu doktor mengesahkan suaminya mandul dulu pun, biru mata doktor itu ditumbuk Firdaus yang tidak dapat menerima kenyataan.
Firdaus mendengus. “Abang dah cakap abang tak nak. Abang haramkan Fika bawa anak haram tu jejak rumah kita. Kalau Fika berani bawa balik dia,” nafasnya ditarik panjang seraya anak mata redup isterinya ditatap tajam. “Abang ceraikan Fika talak tiga.”
****************************************
“Ibu….” lehernya dipaut erat dari belakang. Tersenyum Fika senang. Tangan halus itu diraih lalu dibawa ke bibir. Dicium lama. Matanya ditutup perlahan menghalau pergi memori bersama bekas suami dan bekas ibu mentuanya. Sedari tadi dia berkhayal jauh mengenang kenangan lama yang sudah lama dia buang. Tiada gunanya dia mengenang semua itu.
“Dah puas main dah? Nak balik?” Fika bertanya. Dahi Aimi yang sakan berpeluh dilap dengan sapu tangan. Sudah menjadi rutin mereka setiap petang ke taman permainan.
“Dah penat. Ibu tadi ada pakcik bagi Aimi gula-gula ni. Boleh Aimi makan tak?” dihulurkan gula-gula di tangannya kepada Fika.
“Pakcik mana?”
Belum sempat Aimi menjawab, pakcik yang dimaksudkan sudah berdiri tegak di hadapan mereka. Terkedu Fika seketika. Seakan tidak percaya di hadapan matanya berdiri bekas suaminya yang sudah sembilan tahun menceraikan dia. Saat ini perasaannya kosong.
“Fika, lama abang cari Fika. Kenapa Fika lari dari abang? Abang rindu Fika.” Tangan Fika cuba Firdaus raih sebelum laju Fika mengundur menjauh. Aimi yang tidak faham apa yang sedang berlaku hanya memegang erat tangan Fika. Bersembunyi di belakang badan ibu angkatnya itu.
“Buat apa cari Fika? Kita dah bercerai lama, abang. Talak tiga kalau abang lupa.” sinis kedengaran jawapan Fika.
“Kita kahwin balik, Fika. Abang dah tak kisah kalau Fika nak ambil anak angkat mana-mana pun. Abang terima. Asalkan Fika terima abang balik.” lemah Firdaus merayu. Ego yang dulu melangit berderai sejak Fika pergi meninggalkan dia. Dan ibunya pula meninggal sejurus selepas itu. Hidupnya hilang sinar. Dari seorang yang menjaga penampilan head to toes; dia kini lebih dekat kepada rupa gelendangan.
“Fika nak balik. Jangan cari Fika lagi. Kita tak kan akan bersama lagi. Abang ikut jalan hidup abang. Fika ikut jalan hidup Fika. Jodoh kita dah habis.” bergeletar suara Fika melafazkan ayat itu. Masih terbayang-bayang dia dihalau sehelai sepinggang kerana mengambil Aimi sebagai anak angkat. Waktu itu hujan lebat, ribut petir tidak Firdaus kisah. Yang dia tahu, dia tidak mahu melihat Fika dan anak haram itu di depan matanya. Sebenci itu Firdaus pada tubuh kecil yang langsung tidak berdosa itu.
“Abang rindukan Fika. Abang mengaku abang yang salah. Abang yang mandul. Bukan Fika. Abang yang ego. Please sayang, abang tak boleh hidup tanpa Fika.”
“Then, mati sajalah.” tajam Fika menghunuskan kata-kata itu. Tangan Aimi ditarik mengikut langkahnya; meninggalkan Firdaus terduduk di tanah. Menyesali segala perbuatannya. Bagi Fika, kisah dia dan Firdaus sudah berakhir. Walaupun ada rasa simpati yang bertandang, dia tidak mahu mempertaruhkan kehidupan dia dan Aimi dengan menjemput Firdaus kembali dalam hidupnya.
Kerana ….
Sesetengah orang hanya layak dikenang sebagai kenangan atau setepatnya; kesilapan zaman muda. Membawa dia kembali ke dalam hidup umpama membuka luka jahitan lama yang sudah kian sembuh.
Disunting oleh Aisa Benasri