Penulis: Norsamila Samsudin
TOPIK yang sama. Saban hari, setiap pagi, petang dan malam. Otak aku berputar mencari rasional daripada setiap patah kata yang terhambur di laman muka buku itu. Terfikir ke mana hala tuju setiap bicara sendu yang terloncat-loncat notifikasinya saban waktu.
Ramai benar pejuang papan kekunci. Masing-masing dengan kelantangan suara sendiri. Tetapi sejauh mana suara mereka didengari? Silap haribulan waran tangkap dikeluarkan. Provokasi yang menggugat keamanan, yang melaga-lagakan manusia yang mudah melatah bila dicuit walau sedikit.
Ah! Biarkanlah mereka. Aku juga pejuang papan kekunci. Ada misi yang perlu aku selesaikan. Manuskrip aku beku di rumah-rumah penerbitan. Tiada khabar berita. Kalau aku bernikah, isteriku mengandung… anak itu sudah cukup bulan kelahiran.
“Kau fikir cerita kau itu bagus? Kau fikir cerita kau itu akan menjadi panas di slot akasia jam tujuh?”
Celaka punya kawan! Bukan nak belanja Eno bagi menyejukkan badan, tapi mencurah petrol murahan bikin aku rasa terpanggang.
“Saya yang dah menulis lebih sepuluh tahun pun perlu menanti enam tujuh tahun untuk terbit. Ada sekali tu dipulangkan semula bila penerbit tiba-tiba gulung tikar. Terpaksa hantar kepada penerbit yang lain. Kena mengulang proses yang sama. Menanti lagi enam ke tujuh tahun lamanya.”
Asap rokok berkepul mengaburi pandangan mata. Cerita yang bagaimana yang akan diterima? Aku imbas kembali bicara teman-teman tentang rumah-rumah penerbitan.
“Rumah X sudah menolak cerita cinta. Terlalu klise katanya.”
“Rumah Y pun sama. Jalan cerita dan penamat yang mudah sekali ditebak. Kalau yang berubah pun hanya pada pembentukan karakter watak, latar masa dan konflik yang dipelbagaikan.”
“Aku ingat sekarang ni cerita seram boleh makanlah…”
“Susah juga. Kadang kena sekat sebab dikatakan memomokkan masyarakat dengan kepercayaan tahyul. Ada unsur khurafat. Lebih-lebih lagi bila ada mantera yang ditolak ahli agama. Boleh sesat!”
Kopi pekat tanpa gula kuhirup agar mata ini terus bertongkat. Aku memerlukan sesuatu yang hebat untuk berada di dunia penulisan. Idea yang berbeza, yang boleh diterima editor, yang tidak dikategorikan sebagai klise, yang tidak berisiko untuk ditolak kerana ada unsur khurafat dan… ia akan menjadi sebuah karya agung.
Aku ingin karya ini sehebat Salina. Aku ingin karya ini dinobat penerima Anugerah Buku Negara. Aku ingin ia menduduki carta tertinggi jualan panas di setiap toko-toko buku. Tetapi cerita apa?
Suara ayah pula menerjah.
“Tak ke mana hidup kamu dengan menulis tu. Jangan harap nak kaya. Duit rokok pun aku yang tanggung. Tak nampak hasil apa. Mata tu dah naik cengkung, berjaga malam macam hantu jerangkung. Sedut rokok sampai asap macam rumah terbakar, minum kopi satu teko tapi… satu sen duit hasil penulisan kamu pun aku tak merasa.”
“Betul cakap ayah kamu tu, Husin. Cubalah kamu ikut dia pergi menoreh, bercucuk tanam di kebun tu. Kalau tak berminat pun, pergilah cari kerja makan gaji. Jadi kerani cabuk pun aku tak rasa malu lagi daripada kamu duduk saja termenung sana sini.”
Ini bukan tentang wang. Ia tentang perjuangan. Ada yang ingin aku sampaikan. Ada yang ingin aku sindirkan. Dan… penulisan ini juga adalah demi bahasa yang sudah dilupakan. Aku ingin memperjuangkan bahasa ini. Suara aku, aku susun dengan aksara bahasa Melayu. Aku gabungkan unsur metafora, personafikasi, simili, hiperbola dan segala macam diksi yang tidak pernah didengar oleh anak bangsa Melayu moden, pasca penjajahan. Aku bancuh semuanya dengan penuh rasa. Bukan sekadar bancuhan kosong. Bukan!
Mak dan ayah tak tahu. Mak dan ayah tidak nampak dengan penulisan ini aku berjuang memartabatkan bangsa Merdeka yang masih terbelenggu dengan ideolisme penjajah. Penjajahan baru dari segi bahasa.
Mak dan ayah tak tahu yang sekarang ini anak bangsa kita sudah tidak berbicara menggunakan Melayu asli.
Bukan lagi isu jawi dan rumi. Bukan juga isu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, tetapi kini isu bahasa wechat, sms dan sudah pula bercampur dengan bahasa Korea. Anak mak dan ayah sedang berjuang mencari idea segar bagaimana ingin menyedarkan anak-anak bangsa melalui sebuah karya!
“Abang Husin. Mak kata, kalau abang tak pinang Ros hujung tahun ini mak akan nikahkan Ros dengan Haji Rahman, orang kaya kampung seberang.”
“Bukan Haji Rahman itu isterinya sudah cukup empat?” soalku dengan dahi berlipat.
Mazhab mana pula yang mak si Ros ini pakai sampai sanggup nak menikahkan anaknya dengan Haji Rahman? Mahu jadi calon yang kelima atau sekadar gundik istana?
“Isteri yang keempat itu akan diceraikan.”
“Kenapa? Sebab nak kahwin dengan Ros?”
“Bukan. Sebab katanya budak itu curang. Keluar dengan teman lelaki yang lebih muda, yang dikenal dari kumpulan wechat.”
Aku mengangguk lalu bertanya, “Pendirian Ros sendiri bagaimana?”
“Abang pinang Ros sebelum hujung tahun ini ya?”
Ingat duit boleh turun dari langit? Nak kupinang dia dengan apa? Air liur? Nafas kuhela. Berat. Senangnya kau berbicara. Aku menggeleng. Terbayang-bayang wajah mencuka Ros bila aku tidak memberi sebarang kata.
Kuteguk lagi kopi yang tinggal sedikit. Entah cerita apa yang ingin kutulis. Yang boleh menampung sekurang-kurangnya wang untuk diri sendiri. Persetan dengan cinta. Semua itu hanya susunan perasaan yang palsu. Hidangan harapan seorang penulis yang tidak pernah merasa nikmat cinta di alam realiti. Jadi, dibentuk semuanya secara fantasi dalam sebuah manuskrip.
Cinta yang membuat pembacanya terbuai dengan kepalsuan. Semuanya palsu. Bukan hanya perasaan tetapi juga gambaran wajah yang serba indah. Hero hensem dan gagah. Hampir seratus peratus sempurna. Heroin yang langsung tiada cacat cela. Kaya, berharta. Cinta bagai di syurga. Ayat-ayat manis lebih daripada gula. Yang adakalanya aku rasa itu semua menjadikan anak bangsa aku terleka. Dan, tidak mustahil jika aksi-aksi romantik terlebih itu membawa mereka menghampiri zina. Ah, jika aku tuliskan perkara ini pasti aku dikecam. Pasti mereka kata aku anti novel cinta.
Pensil di tangan kuketuk-ketuk. Seperti mengetuk idea agar keluar melompat dari mana-mana lubang dalam meja. Sudah hampir dua jam aku bertingkah dengan minda, dengan rasa. Tetapi idea tetap tidak kunjung tiba.
Orang kata, kalau ada hantu menjengah saat seorang penulis sedang mengetuk idea, itu satu rahmat. Aku tidak tahu sejauh mana kebenarannya. Aku belum pernah disapa ketika jam berdenting melepasi dua belas malam dan bauan harum menerpa memberi salam.
Figura manusia cantik atau hodoh berkeliaran meneman melajukan ketukan. Melafazkan kata-kata mistik yang kemudiannya kutaip menjadi sebuah cerita. Kata-kata sebenar dari mulut berbau bangkai. Pasti lebih terasa penulisan itu jika perasaan seram yang sebenar muncul.
Tetapi aku bukan seorang penulis kisah seram. Dan aku tidak mahu sama sekali hijabku terbuka sehingga mampu melihat makhluk dari dunia yang berbeza. Bukan idea yang kuketuk di papan kekunci, tetapi mungkin juga pintu keberanian. Andai tidak terbuka, mahu azab aku berdepan dengan makhluk pelbagai rupa. Nauzubillah. Menulis entah ke mana, silap-silap aku demam, koma dan hilang nyawa. Lupakan sahaja.
Aku lebih selesa dengan penulisan kisah-kisah kehidupan yang padaku ia memberikan kepuasan. Aku mampu mencoret apa yang aku lihat di sekelilingku. Kesusahan masyarakat yang kugambarkan dalam susunan abjad.
Aku ingin penulisan ini menjadi wadah bagi aku menyedarkan anak bangsa dengan menggunakan bahasa Melayu yang terjaga bunga bahasanya, tatabahasanya.
Aku ingin terus menulis kerana aku sayangkan bahasa ini. Tidak mahu hilang begitu sahaja jika tidak disusun atur dari pena aku yang kadang-kala tumpul.
Ini sahaja yang aku mampu. Menulis dan terus menulis. Membuatkan orang membaca dan terus membaca dari bahasa ibunda. Bahasa yang perlu dihidupkan semula dengan aroma yang lebih segar. Aku perlu mengambil langkah untuk memulakannya.
Buktikan kepada dunia yang penulisan itu mampu menghidupkan semula jiwa dan semangat juang anak bangsa seperti sebelumnya. Tulislah walau tidak dinilai dengan wang dan anugerah, tetapi isinya sampai ke hati, menyentap nurani dan menyedarkan mereka nilai bahasa.
Aku bagai terpaku dengan kata-kata dari minda sendiri lalu jari memainkan kekunci, menekan aksara demi aksara. Kususun menjadi kata yang beuntaian panjang. Berkait di antara satu dengan yang lain. Menggunakan bahasa Melayu yang masih suci tidak tercemar. Sesekali bila aku kehilangan dalam dunia tatabahasa, aku capai rujukan. Aku baca juga ayat-ayat Al-Quran. Dan, kemudian kugantungkan harapan pada Tuhan.
Bahasaku pada aksara yang kuketuk di dada tinta, bukan sekadar bicara di bibir, keluar hilang diculik semilir.