CERPEN: Kenangan Bersama Emak Garang

Penulis: Hanna RH

Kalau kau cerita pasal zaman kanak-kanak, yang terlintas di kotak memori kau, kenangan yang tergali semula adalah yang manis-manis belaka. Samalah seperti aku. Sebut saja mainan apa pun, tiada yang aku tidak pernah cuba masa kecil dahulu; galah panjang, batu seremban, congkak biji getah, konda-kondi (budak kampung aku panggil sungkit), sampailah permainan ‘Master Chef’. Main congkak biji getah tu kami buat lubang korek atas tanah sebab tidak mampu nak beli papan congkak. Manakala ‘Master Chef’ tu pula sebenarnya main masak-masak pakai tanah, dedaun serta bunga kertas jiran yang dipetik sahaja. Kalau nak diikutkan, ada banyak lagi permainan lain yang seronok tahap gaban. Kalau nak disenaraikan semua, panjang berjelalah jawabnya.

Tapi, ada satu memori yang aku tidak dapat lupakan. Masa itu, aku masih ingat aku baru darjah empat. Awal tahun ke tengah tahun, aku sudah lupa. Aku ini budak Felda. Jangan tanya Felda apa sebab rahsialah. Aku pun mahu bajet artis suam-suam kuku juga.

Hari itu, masa balik sekolah jalan kaki, kawan-kawan aku yang anak jiran sebelah-menyebelah kawtim ramai-ramai. Adalah dalam empat ke lima orang. Kami ini rata-rata semua bukan orang senang. Kalau pembaca mahu tahu (bagi yang tidak tahu), ada pejabat tadbir di setiap Felda. Pejabat tadbir ini selain tempat untuk peneroka ambil duit jualan getah (zaman itu getah masih belum ditebang untuk tanaman semula sawit), ada juga perpustakaan yang tidaklah berapa besar tapi boleh dilawati oleh anak-anak Felda.

Serius jakun, sebab di perpustakaan itu ada banyak buku kanak-kanak terutama buku cerita dongeng. Cuma bukunya tidak boleh dipinjam dan dibawa pulang. Gila kau tidak suka? Faham-faham sahajalah, budak perempuan seperti aku memang suka dengan cerita dongeng puteri, putera bagai ini. Kami pakat ramai-ramai hendak ke perpustakaan pada petang itu jam 2.30 petang. Dengan semangat berkobar-kobar, pulang saja dari sekolah, selesai makan dan rehat aku lantas memberanikan diri menanyakan emak aku yang garang. Sekarang, emak aku sudah pun bergelar arwah emak.

Jangan pelik, kenapa aku balik sekolah cuma makan dan rehat sahaja. Tidak bersolatkah? Jujurnya, masa itu aku sembahyang on-off. Aku tidak malu hendak mengaku zaman jahiliyah aku itu. Pembaca semua jangan ikut pula. Solat itu tiang agama. Baik, sambung semula. Aku dekati emak yang sedang berehat sebab asma dia baru sahaja cool down. She was one chronic asthma patient. Sampai arwah mak meninggal pun disebabkan asma juga.

“Mak, petang ni Uda nak ikut kawan pergi perpustakaan kat pejabat, boleh?”

Mak yang sedang berbaring membuka mata memandang aku. Masa ini, panggilan aku adalah pangkat Uda dalam adik-beradik. Untuk pengetahuan pembaca, adik-beradik aku ada sepuluh orang. Mahu berbintang mata pembaca semua baca dek ramainya adik-beradik aku, kan? Ya, dan aku anak kelapan.

“Pergi pejabat buat apa?” jawab mak dengan soalan pula, tanda dia belum lagi hendak berikan lampu hijau. Biasalah, soal siasat dulu, beb!

“Tadi dak Jena ngan Ebab masa balik sekolah ajak pergi perpustakaan kat felda. Nak baca buku. Adik Jena ngan Ebab pun ikut.” lurus macam pembaris aku jawab. Jena dan Ebab tu budak tua setahun daripada aku, kawan dekat sekolah sekaligus merangkap jiran rumah.

“Hmm,” balas mak sepatah, dan kemudian mak tutup balik mata sambung baring. Tapi sepatah itulah yang membuatkan aku hampir melompat gembira. Yes! Mak benarkan aku pergi.

“Uda pergi 2.30 petang, ya?” pinta aku lagi.

“Balik jangan lewat-lewat. Habis pergi perpustakaan, terus balik rumah.” amaran mak dikeluarkan. Aku ini, mak sudah faham benar, rajin berjalan sana-sini merayau tidak tentu hala.

“Yelah,” jawab aku lalu terus mencicit pergi bersiap.

Mandi, pakai baju bersih-bersih dan kemudian aku keluar pergi port kami selalu berkumpul sebelum berjalan kaki ramai-ramai. Pejabat felda itu jauh juga, adalah dalam lima kilometer ke atas. Kot. Ah, tidak pandailah aku hendak sukat jaraknya. Turun naik bukit, jalan lurus, bengkang-bengkok semua kena redah. Serius masa kecil-kecil, aku ini legam budaknya sebab selalu bermain masa  cuaca panas. Teruja kami lima orang tidak payah cakaplah. Masuk, isi nama di kaunter perpustakaan pejabat lalu kami pun bacalah buku yang kami mahu. Seronok gila! Bermacam-macam buku kami belek sampai rasa masa tidak cukup.

Sedar tidak sedar, jam sudah hampir menginjak ke 5 petang. Sekejap lagi, perpustakaan pun hendak tutup sudah. Kami pun bersiap jalan kaki balik ke rumah. Fuh, macam-macam kami berceloteh sepanjang jalan. Pokok utama haruslah mengenai buku-buku dekat perpustakaan tadi. Siap berangan nanti mahu pergi lagi. Balik itu, kami ikut jalan pintas belakang rumah. Yang jumpa, adalah rumah Ebab dulu. Masa kami balik, ada budak kecil-kecil sedikit daripada umur kami tengah main masak-masak di bawah pokok nangka belakang rumah Ebab.

Rumah kami ini, kalau keluar pintu belakang boleh nampak belakang rumah orang lain juga. Sebab susun atur bahagian lorong rumah kami, Felda bina berbentuk P. Jadi, kalau memandu atau jalan ikut jalan besar, boleh jadi jalan pusing dan keluar semula. Macam huruf P. Tidak faham? Abaikan. Aku dan empat orang itu pun acah berhentilah untuk tengok mereka bermain. Aku tidak berniat hendak join sebab baju aku kan tengah bersih. Nanti emak marah. Aku berdiri di tepi sambil tengok mereka tenggek tin sardin yang diisi tanah dan air atas api. Kami memang main hardcore punya. Api semua pandai kawal biar tak terbakar tangan. Mana main Barbie apa semua tu macam sekarang.

Sedang ralit memerhati, tiba-tiba aku terdengar sayup suara mak memanggil aku, “Uda! Uda!”

Aku menoleh. Aku lihat mak berada di belakang rumah di kawasan ampaian baju. Baru lepas angkat sidaian agaknya.

“Apa, mak?” jawab aku sedikit melaung. Nada aku bukan kurang ajar, okey. Sebaliknya aku bertanya lembut dan polos. Cuma nyaring sebab jauh.

“Sini kau! Mak nak tanya!” suara mak sudah berubah lain macam. Aku telan liur.

Dada sudah berdebar sebab aku dapat agak ada benda mak tidak puas hati. Aku toleh dekat kawasan masak-masak. Kawan aku semua diam buat macam tidak dengar. Masing-masing kecut perut juga dengan nada suara mak aku. Aku perlahan-perlahan melangkah balik menuju ke rumah. Dalam hati, doaku tidak payah cakaplah. Tak putus-putus. Dalam perjalanan aku yang terhegeh-hegeh itu, aku sudah nampak mak sedang patahkan ranting pokok, mana-mana sahaja yang tercapai dek dia. Adalah sebesar jari kelingking. Ah sudah, menghadap rotanlah ini gamaknya, fikirku.

Jenis mak aku ini, kalau masa dia marah, memang cepat naik tangan hendak menyebat. Maklumlah, garang. Tapi, tidak pula pernah aku anggap dia mendera ke apa. Sebab zaman itu, mana ada kes dera (atau tudu dera) macam sekarang. Semua itu ibu bapa buat untuk jadikan kami manusia berguna.

Sebaik sampai mak terus tanya aku dengan nada marah, “kau kata pergi perpustakaan? Aku nampak kau pergi main pondok-pondok ni, kenapa?” Haa, mak aku bila marah memang. Perkataan mak akan berganti aku. Tandanya dia marah sangatlah itu.

“Pergi perpustakaanlah tadi mak. Uda baru balik,” jawab aku takut-takut menekur tanah. Zap! Betis aku kena libas dengan ranting. Menjerit aku kesakitan.

“Oh, pandai kau menipu, ya? Kecik-kecik menipu mak engkau ni? Siapa ajar? Kau cakap, nak pergi perpustakaan. Tapi yang aku nampak, kau sibuk main pondok-pondok dekat rumah orang! Siapa ajar kau menipu ni?” sambil mak bertalu-talu membebel marah, betis dan punggung aku sedang kemerahan berbirat jadi pelampiasan kemarahan mak.

“Tak, mak. Uda tak tipu! Sumpah! Uda pergi perpustakaan tadi!” aku pertahanan diri aku yang tidak menipu mak sama sekali.

“Oh, bersumpah pulak? Bukan main kau, ya? Menipu lagi!” mak terus menyental belakang badan aku sampai puas. Aku hanya mampu menjerit kesakitan sambil meminta maaf.

“Mak ampun, mak! Uda janji tak buat lagi!” aku sudah tidak larat kena sebat. Sakit gila. Mujur belum tahap berdarah.

Aku terpaksa merayu begitu agar tidak dipukul mak. Tapi, serius aku terasa hati dengan mak sebab mak tidak percayakan aku. Aku tidak menipu mak. Tapi kenapa mak tidak percayakan aku? Mak memang tidak sayangkan aku! Macam-macam yang aku sumpahkan mak dalam hati masa itu. Hendak cakap depan-depan, boleh masuk kubur aku ni. Masa itu aku fikir satu perkataan yang buat aku sedih bercampur sakit hati. Mak tuduh aku tipu. T.I.P.U!

“Kau masuk rumah sekarang pergi mandi! Mulai hari ni, kau jangan berani keluar rumah pergi main sana-sini! Dengar ke tidak?” mak jerit kuat sambil telinga aku pula jadi mangsa kena piat. Jiran dengar emak jerit? Harus. Tapi zaman itu, bila mengajar anak masing-masing tiada orang luar akan campur.

“Dengar.” aku masuk ke dalam rumah papan separuh batu sambil menangis teresak-esak pergi mandi. Hati aku duka sebab sakit badan kena sebat. Tapi hati aku yang luka ini bagai kena toreh dan disiram limau bila mak tuduh aku menipu mak! Sedangkan aku tak! Sejak itu, aku kotakan janji aku pada mak. Aku tidak pernah lagi keluar bermain dengan kawan-kawan. Bila mereka ajak, aku tolak. Bila mereka main dekat tanah lapang rumah aku, aku pekakkan telinga pergi tengok TV. Iyalah, ada masa mereka main di rumah aku sebab adik aku dua orang itu tidak kena hukuman seperti aku.

Hukuman? Mungkin layak dipanggil begitu pada masa itu. Tapi sekarang, bagi aku itu adalah pengajaran. Bila aku duduk di rumah, aku mula belajar banyak kerja rumah orang perempuan. Masak, basuh baju sendiri dan menyapu. Sebelum itu, semua harapkan mak dan kakak-kakak aku. Aku tidaklah jadi pendiam. Tapi, aku mula tidak bercampur dengan jiran tetangga sampai aku besar habis SPM. Di sekolah, aku berkawan macam biasa, riang macam kanak-kanak ribena lain. Tapi di rumah, dunia aku cuma dalam, No. 78 Felda….

Mak aku meninggal semasa aku darjah lima. Sedih? Memanglah. Tapi jujur aku cakap, rasa dendam dan terkilan aku tidak pernah hilang. Sampai aku besar dan hendak berkahwin. Zaman remaja aku, memang susah sebab mak meninggal masa aku darjah lima kot! Rasa itu tetap tidak pernah pudar. Bila aku ingat semula momen manis lain, seringkali itulah momen aku kena cop menipu itu turut muncul. Tapi, bila aku berkahwin dan dah ada anak, aku rasa aku faham apa mak rasa masa itu. Bukan mudah hendak besarkan anak yang sepuluh orang. Setiap beradik perangai lain-lain. Mak kena hadap satu-satu di samping penyakit lelah yang kronik.

Kalau masa boleh diputar, aku menyesal maki mak dalam hati. Aku tidak sempat minta maaf pada mak sebelum arwah meninggal. Semasa raya tahun sebelum itu, aku minta maaf ala kadar, bukan ikhlas dari hati. Padahal, itu kali terakhir aku beraya dengan mak. Kalau masa boleh diputar, aku hendak jadi anak baik yang mendengar kata, agar mak tidak perlu pening-pening hadap perangai nakal aku. Semua itu, kalaulah. Ya, kalaulah.

Mak, Uda mintak maaf sebab susahkan mak jaga Uda masa kecil-kecil dulu. Uda selalu tak dengar cakap, melawan cakap mak. Uda bodoh sebab terasa hati perkara sekecil itu dengan mak sampai mak dah meninggal pun Uda masih fikir. Malah, sampai besar!

Uda mintak maaf mak. Uda tahu doa Uda bukan mustajab sebab mungkin Uda ini cuma anak derhaka pada pandangan Sang Pencipta. Entah Allah terima atau tak. Tapi, tolonglah, izinkanlah mak masuk syurga, Ya Allah.

Al-Fatihah untuk arwah mak aku yang aku harap tenang di alam sana.

Inilah antara kenangan zaman kanak-kanak aku yang aku tidak dapat lupakan sampai sekarang. Kalau kau masih punya emak, hargailah.

Photo by Annie Spratt on Unsplash

Artikel Lain Untuk Di Baca