CERPEN: Kaos Seekor Lipas

Penulis: Adam Taufiq Suharto

Bulan mengintai kawanan lipas yang terbang di celah-celah dinding usang universiti subsidi kerajaan. Seekor lipas merayap keluar dari kelompoknya hingga sampai ke salah sebuah rumah felo kolej. Dia terlihat sebuah kotak bercahaya yang memaparkan imej bergerak. Televisyen. Rancangan TV ketika itu adalah rancangan ‘Merayau-merayau buru makanan.’ Dia melihat seorang lelaki Tiong Hua di kaca televisyen mula menjamu sate lipas di Thailand.

“Fantastik! Rasa epal!”

Si lipas mula mengalihkan pandangan ke bulan. Dia mula berteki-teka, bagaimana spesisnya boleh dijamu sedangkan di sini, dirinya dianggap kotor, keji. Bulan tak memberikan respon apa-apa. Bulan seperti biasa cuma menjadi mengintip paling tegar waktu malam.

Si lipas merayap lagi ke rumah yang lain. Dia tetiba berhenti, bila melihat seorang gadis sunti. Gadis yang sedang merapi rambut lembut. Bibirnya kemerah-merahan. Si lipas cuba mendapatkan gadis itu tapi tingkap tutup. Si lipas terhantuk dan jatuh ke tanah.

Dia terus memandang bulan. Masih teringin bersoal-soal dengan bulan. Baginya, kewujudan bulan sangat baik di sisi manusia, ia menghadiahkan malam kepada manusia. Ia menjadi lambang, ini waktu untuk manusia berehat.

Tidak seperti si lipas. Dia merasakan, kewujudannya tak ubah seperti kewujudan syaitan, jin mahupun nenek kebayan. Antagonis kepada manusia. Dia sering dianggap hina, jelek, kotor dan keji. Kenapa manusia tak boleh pandang aku sebagai makhluk hidup? Itu antara persoalan yang muncul dalam akal si lipas.

Si lipas berjalan, mencari ruang-ruang terselindung yang gelap, untuk tidur. Dia terlihat mesin basuh baju, dia pergi ke belakang mesin basuh dan berehat, tidur. Mesti seronok kalau dapat jadi manusia. Itu adalah antara impian-impian sebelum lena. Tapi dia tahu, bila dia buka mata nanti, dia tetap seekor lipas.

***

Sejuk. Pipi aku rasa sejuk. Kesejukan ni tidak seperti sejuk-sejuk yang pernah aku rasa. Aku buka mata. Aku terbaring di sebelah sebuah mesin basuh. Tapi kenapa kali ni saiznya makin kecil. Aku melihat tubuh aku. Sekejap, aku bukan seekor lipas? Ini bukan tubuh aku! Aku kini ada seorang jejaka tanpa baju! Aku ketakutan. Aku cuba mencari bulan, tapi hari sudah subuh, bulan sudah hilang.

Ini pasti angkara bulan. Kenapa dia perlu perkenankan impian-impian yang menjengkelkan. Aku dah tak tahu apa aku nak buat. Aku segera berlari ke mana sahaja, nasib baik pelajar universiti ni jarang sembahyang waktu fajar baru naik. Aku berlari, mencari mana-mana sahaja rumah yang aku boleh masuk.

Ada sebuah tingkap terbuka!

Aku terjah. Seorang lelaki tua memakai t-shirt putih koyak rabak sedang menggosok baju kemaja. Dia ialah felo yang aku tampak pagi tadi. Di atas katil berdekatan, adalah isterinya, masih muda, mungkin isteri kedua atau ketiga. Aku dengar manusia memang boleh berdua atau bertiga atau berempat isteri. Perempuan itu terjaga dan menjerit terlolong meminta tolong.

”Arghhhhh!! Orang Minyak!”

Aku hairan bagaimana si felo tua tu boleh tak sedar keberadaan aku, barangkali telinga sudah usang. Aku bergegas keluar, masih tanpa seurat benang. Belum jumpa. Sistem berjalan aku juga belum stabil. Masih bak bayi yang baru bertatih berjalan. Sekejap, dari mana aku belajar semua perkataan manusia ni?

Aku masih berlari entah ke mana aku tak ada idea. Tiba-tiba aku tampak dua lelaki berbaju biru yang sedang merokok di hadapan papan tanda dilarang merokok. Polis bantuan! Salah seorang terlihat aku.

“Oi! Orang gila tu!”

Dia menunjukkan aku kepada kawannya, aku didakwa orang gila. Inilah masalah mereka, jika aku binatang aku tak berpakaian, tak adalah mereka akan anggap aku tetap gila. Semuanya tercipta semula jadi. Aku rasa tidak. Aku bodoh. Aku manusia. Aku perlukan baju.

Kedua-dua polis bantuan tersebut mengejar aku. Nasib mereka sudah tua, yang satu, perut maju kedepan, yang satu, bak isteri tak masak di rumah, bak tulang badannya. Aku lebih tangkas. Dalam banyak hal juga, semasa aku adalah lipas, manusia kekal tak dapat menangkap aku. Mereka geli pada aku. Cuma dalam beberapa waktu, aku tetap dimakan manusia.

Aku berjaya menyorok di balik bangunan. Untuk beberapa detik, aku rasa selamat. Tetiba, aku melihat sebuah tingkap, ada gadis yang sedang tidur, sambil helai-helai rambutnya terbuai dengan angin. Aku cuba mendekatkan diri ke cermin, aku tak tahu apakah perasan yang wujud, tapi jantung aku berdegup laju.

Aku perhatikan wanita itu, tiba-tiba kepala aku dihentak dari belakang. Pap! Semuanya gelap. Gelap.

***

Mata aku kabur-kabur. Figura-figura di hadapan aku juga masih mengabur. Aku melihat sebuah kipas berpusing-pusing di atas aku. Kipas berhenti. Dua tiga orang wanita masuk ke bilik tersebut.

“Selesa duduk bawah kipas!”

Seorang dengan tubuh tertutup tuala, dan kepalanya pula surat khabar, (seakan-akan tudung) juga memakai varsiti yang lengannya menutup sampai tapak tangan.

Seorang perempuan lagi berjalan ke arah sebuah televisyen. Dia tekan butang ‘on’. Lagu ‘Negaraku’ berkumandang.

‘Dahlah tu. Kita nak selesaikan cepat.’

Seorang perempuan dengan keadaan berkemban mahu masuk ke bilik tempat aku berada, tapi perempuan di hadapan televisyen marah, maki dengan menyebut sekali perkataan mak dan ayah.

‘Tutuplah kepala.’

Lagu ‘Negaraku’ masih berkumandang. Salah seorang perempuan arah tukar siaran televisyen. Televisyen tukar kepada sebuah siaran lain. Muncul berita tentang video viral seorang Cina dipukul habis-habisan oleh sekumpulan manusia di hadapan masjid.

Sampai sekarang aku masih tak ada idea apa yang wanita-wanita ini mahu. Takkan keinginan mereka sama seperti kawan-kawan lipas betina saya. Ini mustahil, mereka manusia.

Seorang gadis, yang pernah aku perhatikan dari luar jendela beberapa jam lalu. Dia menutup kepalanya dengan surat khabar dan memakai baju sejuk lengan panjang, dia duduk di hadapan aku. Tangannya mendekati pipi aku, dia usap-usap beberapa kali sebelum dia menampar aku.

‘Pap!’

Kepala manusia sangat kuat. Kalau aku masih seekor lipas, kepala aku pasti hancur, berderai, bernanah.

Aku hadapkan kembali muka kepada gadis itu.

‘Aku nak kau makan lipas. Baru aku puas.’

Beberapa orang perempuan bawa beberapa ekor lipas kepada aku dalam keadaan geli-geliman. Aku cuba lepaskan diri. Tapi aku tak berjaya. Nampaknya aku sudah sedar, seekor lipas tak mudah nak lepas dari tangan seorang manusia. Seorang manusia juga rupa-rupanya tak mudah terlepas daripada tangan manusia. Mereka buka mulut aku dan… masukkan… kesemua… li…pas. Cahaya matahari timur masuk masuk dan tubuh aku tiba-tiba terasa lain.

***

Seorang psikitiaris duduk di belakang kerusi yang diduduki seorang gadis. Mata gadis itu bulat, lebam seperti setahun tak dapat lelapkan mata, berair. Tubuh badannya sentiasa menggigil.

“Apa jadi dekat lelaki tu? Awak nampak apa masa tu?” tanya psikitiaris.

“Li..pas..li…pas.”

“Lepas lipas tu dikunyah?”

“Li..pas…besar..”

“Lipas yang dikunyah tu jadi besar, atau lelaki tu adalah lipas?”

“Lipas kunyah manusia. Hah?! Lelaki tu lipas, dia kunyah manusia.”

Gadis itu mula meracau-racau.

“Tenang, tenang. Pandang belakang. Pandang saya. Pandang saya.”

Gadis itu memutarkan kepalanya, dia mahu lihat psikitiaris tersebut. Gadis itu menjerit sebelum rebah dan pengsan.

Di kerusi si psikitiaris, duduknya seekor lipas gergasi.

-TAMAT-

Artikel Lain Untuk Di Baca