KONGSIKAN

Penulis: Kieraeinz

“Tak sayang ke? Syarikat besar tu.”

Aku hanya mampu tersenyum kecil. Bohong jika aku katakan tidak sayang. Bukan mudah untuk melepasi beberapa ujian dan interview dengan syarikat tersebut. Pernah seminggu aku bersekang mata cuba mengumpul segala informasi mengenai syarikat terkemuka itu. Kini aku mampu tersenyum lega, aku terpilih untuk menjadi salah seorang warga syarikat itu.

“Betul ni kau nak tolak?”

Aku angguk dengan pertanyaan dia.

Bodoh bukan! Segala titik peluh aku membuahkan hasil tetapi tindakan drastik menolak tawaran yang diterima memang kelihatan bodoh. Dia juga kehilangan kata-kata. Puas dipujuk, puas juga dirayu, aku tetap dengan pendirianku.

“Jadi, kau nak buat apa? Nak cari kerja lain?” soal dia lagi.

“Aku nak balik kampung.” Terlopong mulut dia mendengar jawapan aku.

“Kenapa? Kau ingat dekat kampung tu ada kerja ke? Kalau tak, takkan la budak-budak kampung semua masuk bandar.”

Aku hirup sirap bandung perlahan, membiarkan sahaja kata-kata dia dibawa angin.

Kenapa? Cukup la aku sendiri yang mengetahui sebabnya. Jiwa aku dan ibu kota ini tidak serasi. Aku tidak pernah selesa tinggal di sini. Aku tidak pernah rasa selamat untuk bergerak ke mana sahaja. Aku tidak betah apabila pakaian yang tersarung di badan menjadi perbandingan dengan gadis lain. Malah pakaian itu seumpama menjadi salah satu faktor untuk menarik perhatian lelaki. Aku tidak suka mendapat perhatian seperti itu.

“Kau ada masalah ke? Cuba cerita. Aku kan kawan kau, nanti aku bantu la,” ujar dia mengharap. Aku geleng.

Benar, tanpa kehadiran dia sebagai sahabat takkan aku mampu untuk terus bertahan di kota ini. Dialah satu-satunya sahabat yang telah menunjukkan wajah sebenar ibu kota terkenal ini. Teguran diberi saat aku masih pekat dengan dialek negeri sendiri. Setiap kali berhadapan dengannya aku dipaksa untuk bertutur dalam bahasa standard. Awalnya memang aku kekok tetapi lama-kelamaan tiada siapa lagi yang mampu meneka negeri kelahiran asal aku.

“Serius la. Cerita dekat aku. Kau rindu keluarga kau? Bukan ke kau selalu call mereka?” Dia masih lagi tidak putus asa.

“Tak la.” Dalam diam aku akui itu merupakan salah satu faktor untuk aku pulang ke kampung.

Aku juga tersedar akan satu perkara. Termasuk minggu ini sudah sebulan aku tidak mendengar suara ibu. Aku cuba merungkai kesibukan yang menghalang aku dari menghubungi keluarga di kampung. Rasa bersalah menghantui diri, masa aku banyak terbuang begitu sahaja. Lebih banyak digunakan untuk berfoya-foya.

“Pelik. Dulu kau juga yang beria-ia bagitahu yang kau memang dah lama pasang angan-angan nak bina kehidupan dekat sini.”

Aku tertunduk malu. Malu dengan impian tinggi melangit yang aku pasang secara membuta tuli. Angan-angan yang dibina sebelum aku berhadapan realiti sebenar. Realiti yang menyakitkan serta menakutkan.

Aku tidak sedar saat aku menjejakkan kaki ke kota tumpuan ini aku bakal menghadapi kejutan budaya. Dan aku tanpa amaran turut terjerumus. Aku tidak salahkan kota ini tetapi aku salahkan diri sendiri. Terlalu rapuh rupanya iman yang disemai sejak kecil dalam diri ini. Itu baru sahaja di dalam Malaysia, tidak lagi aku merentas lautan. Entah apa akan berlaku.

Aku masih ingat bagaimana aku terikut-ikut dengan fesyen gadis-gadis kota. Aku bukanlah seorang yang alim, aku juga tidak bertudung labuh. Tetapi dari segi penampilan cukup menggambarkan bahawa aku menitikberatkan penjagaan aurat. Hanya disebabkan perasaan cemburu melihat kecantikan dan perhatian yang diterima gadis-gadis kota, aku sanggup melepaskan pelindung mahkotaku.

Aku pejamkan mata. Terasa kebodohan diri aku kala itu. Aku sendiri yang merendahkan martabat aku sebagai seorang perempuan. Tidak cukup dengan kebodohan mempamerkan mahkota milikku kepada warga kota, aku dengan beraninya mula memakai pakaian yang terdedah. Saat itu aku benar-benar merasakan diri ini setaraf gadis-gadis kota yang lain.

“Mengelamun pula.” Satu tamparan kecil hinggap di lengan. Aku bagi tumpuan kepada dia.

“Aku nak terkucil.” Dia tersenggih sebelum berlalu meninggalkan aku sendirian.

Aku memerhati rentak gadis hijabista itu. Penampilannya cukup ringkas namun kelihatan cantik pada pandangan. Sekali lagi aku leretkan senyuman. Jasa dia terlalu besar. Bersungguh-sungguh dia cuba membetulkan persepsi bodoh aku dulu. Biar pun dimarahi dan dituduh cemburu dia tetap tidak mengalah.

Fesyen hijabista yang diperkenalkan dia kepada aku sedikit sebanyak berjaya mengubah penampilan aku ketika itu. Pakaian seksi berjaya digantikan dengan pakaian bertutup tetapi tetap kelihatan daring. Untuk memiliki penampilan seperti ini harus juga helaian-helaian bertandatangan gabenor melayang-layang.

Aku lepaskan keluhan. Jam tangan berjenama yang berharga RM1989 itu aku tenung. Jam ribuan ringgit itu merupakan jam berjenama pertama aku pakai atas bantuan PTPTN, sedikit duit pemberian ayah dan hasil part time. Kadang-kadang aku marah kepada diri sendiri kerana terikut-ikut dengan rentak perbelanjaan dia sedangkan dia sedia asal mewah.

Aku perhatikan pelanggan-pelanggan di dalam restoran ini. Kebanyakan mereka berpakaian kemas dan rata-ratanya kelihatan berduit. Hanya ada dua, tiga orang sahaja yang memakai t-shirt biasa dan jeans lusuh. Aku cukup dengki akan mereka. Mereka tidak mempedulikan pandangan yang diterima. Mereka kelihatan cukup selesa dengan diri sendiri. Betapa aku berharap agar aku juga seperti itu.

Bukan tidak pernah aku cuba memakai barangan tidak berjenama. Malah aku pernah bercerita mengenai barangan mampu milik itu kepada rakan-rakan yang lain. Dan hasilnya benar-benar mengecewakan. Aku dihina dan dikutuk teruk. Mereka juga dengan sengaja menghulurkan not RM100 setiap seorang sebagai pinjaman agar aku membeli barangan berjenama setaraf dengan mereka.

Ah, semua itu sudah tidak penting lagi. Aku tahu jiwa aku tidak akan tenteram selagi aku berada di sini. Aku tidak mampu mengawal emosi. Aku tidak mampu mengawal nafsu. Aku tidak mampu berpegang teguh pada pendirian. Aku tidak mampu kawal diri sendiri. Dan keputusan terbaik adalah untuk tinggalkan ibu kota ini.

“Kau tak malu ke kalau mak cik, pak cik or orang-orang kampung duduk tanya-tanya?” Aku tersentak. Jauh benar lamunan tadi sehingga aku tidak sedar dia sudah pun kembali dari tandas.

“Tak malu?” Nada tegas dia berjaya memainkan wajah-wajah yang disebut itu satu per satu. Tidak dinafikan persoalan itu akan terkeluar juga dari mulut mereka. Bagi aku pula itu adalah perkara normal, lagi-lagi aku munculkan diri di hadapan mereka cuma beberapa kali dalam setahun sahaja.

“Tak.” Dengan penuh yakin aku balas pertanyaan itu.

“Kalau tak malu tak apa. So, bila kau nak balik ni?” Dia akur dengan jawapan itu.

“Malam ni.”

“Cepatnya. Macam betul-betul tak sudi je nak duduk sini.”

Bukan tidak sudi cuma aku lebih selesa tinggal di kampung.