Search
Close this search box.

CERPEN: Hujan, Pak Tua Dan Hati Yang Merdeka

Penulis: Nazifah Awi

Hujan.

Sangat lebat aku kira kerana langsir bilikku sedikit berombak ditiup angin yang menerobos masuk melalui celah-celah dinding. Jam di celah bantal aku tarik. Sudah hampir enam tiga puluh pagi rupanya. Aku hanya separuh sedar sewaktu Pak Bilal melaungkan azan Subuh tadi. Akhirnya, aku terbabas melayan mimpi yang tiada kesudahan. Bangunku mula sedikit malas memikirkan hujan yang mendinginkan tubuh. Hanya beberapa timba air kolah dicedok buat membersih diri disusuli dengan mengambil wuduk.

Solat Subuh disudahi dengan doa ala kadar. Walaupun tidak perlu tergesa-gesa ke sekolah pagi ini, mata terasa seperti sudah ditarik-tarik. Mimpi yang tiada kesudahan minta disudahkan. Baru sahaja tangan mahu menarik selimut, suara emak keras memanggil di luar bilik.

“Wan, emak buat pulut gaul nyiur pagi ni. Pergi hantar dekat Pak Tua sedikit. Sudah lama dia teringin nak makan.” butir kata emak kuat bergema di luar bilik.

Nampak gayanya terbantutlah niat untuk kembali mengulit mimpi.

Badan terasa amat malas untuk digerakkan. Mahu tidak mahu, dia bangun menyauk baju serta seluar track yang tergantung di dinding. Kenapalah hari ini emak buat pulut nyiur? Bukan esok? Bukan pada hari yang bukan hujan seperti pagi ni?

Tapi bukan ke pulut nyiur memang sesuai dimakan pada hari hujan? Aduh. Dengan kaki yang berat dia menolak daun pintu untuk keluar. Emak sudah di dapur dengan tenong di tangan.

“Banyaknya bagi pulut dekat Pak Tua? Kembung nanti Pak Tua makan pulut hujan-hujan begini mak.”

“Kamu makanlah sekali dengan Pak Tua. Teman dia pagi ni.”

Aku mengangguk pendek.

Hujan makin mencurah-curah turun daripada dada langit. Sekarang sudah penghujung bulan Ogos. Sudah terasa angin monsun timur laut yang bakal menjengah lagi dua bulan. Tinggal di negeri pantai timur membolehkan rakyatnya menikmati curahan hujan yang banyak pada penghujung tahun dan kadang-kadang membawa hingga permulaan tahun baharu. Seperti tinggal di Eropah lagaknya. Menikmati salji di akhir tahun menjelang Krismas.

Payung yang tersangkut di kayu ampaian baju diambil lalu dikibas-kibas sedikit bagi membuang sarang labah-labah yang sudah mula menumpang. Rumah Pak Tua hanya berselang dua buah rumah, namun kedudukan rumah itu sedikit jauh ke bawah lembah.

Siapa Pak Tua bagi dirinya? Dan boleh dia kata kepada seluruh penduduk kampung sebenarnya. Pak Tua tinggal seorang diri di rumah yang hanya ada sebuah bilik, bilik air, dapur dan ruang hadapan yang kecil. Pak Tua bukanlah orang kaya, ternama dan punya tanah yang banyak untuk dia mendapat penghormatan yang bukan sedikit daripada penduduk kampung. Pak Tua hanya seorang lelaki tua yang umurnya jika dia agak sudah melepasi angka 100. Namun, Pak Tua masih kuat. Masih gagah untuk ke masjid yang terletak lebih kurang 300 meter daripada rumahnya dengan hanya berjalan kaki. Masih cergas jika diajak untuk bermain baling selipar, dan jika bernasib baik, Pak Tua pula yang menang mengalahkan anak Ucu Temah yang sekolah rendah itu. Maka menangis kuatlah si Rykal itu berjalan balik ke rumahnya.

Pak Tua hanya si tua yang hidup seorang diri. Yang wataknya tidak penting jika dilihat pada lahirnya, namun pada zahirnya, Pak Tua ada nilai yang tersendiri. Dan nilai Pak Tua ini akan makin berkilau menjelang tarikh keramat negara, 31 Ogos. Aku sendiri setiap tahun menyaksikannya. Masuk sahaja bulan Ogos, ramailah orang-orang berita datang menemuramah Pak Tua. Mencari berita tentang hal Pak Tua yang hidupnya pada zaman negara dijajah.

Hujan aku redah dengan cepat. Rumah Pak Tua tertutup rapat. Tidur lagikah Pak Tua? Sebaik salam kedua aku laung, Pak Tua sudah terjengul di muka pintu dengan berkain pelikat dan berbaju panas berwarna putih. Aku naik ke ‘lambor’ rumah yang hanya sejengkal dengan pintu depan.

“Emak buat pulut gaul nyiur. Dia kata Pak Tua sudah lama teringin.”

Senyum lebar aku lemparkan tanda menyapa Pak Tua yang nampak sedikit kaget menerima tetamu hujan-hujan begini.

Pak Tua duduk bersila rapat di tepinya. Bekas tenong di tanganku dipandang lama.

“Kamu makan sekali. Banyak nampak gayanya tu.”

“Ya lah. Niatnya pun memang begitu.”

Aku merapatkan sila sambil mengatur bekas-bekas yang penuh dengan pulut, nyiur dan  ikan kukus goreng. Lengkap pula makan pagi kami. Pak Tua sejurus menghilang ke dalam rumah.

Hujan yang masih turun, makin menggila. Mujurlah ‘lambor’ Pak Tua ini terlindung dengan atap zink yang panjang. Bau kopi pekat mula menyengat hujung-hujung hidung. Seketika kemudian keluar Pak Tua menatang seteko penuh kopi dan dua biji cawan.

Tersengih panjang Pak Tua melihat bekas-bekas yang sudah siap aku susun. Nampak benar perasaannya yang gembira apabila keinginannya sudah tercapai.

“Dua hari lepas, saya ada nampak orang berita datang ke sini. Mahu wawancara Pak Tua lagi?” Aku tertarik untuk menyoal Pak Tua perihal orang berita tempoh hari.

“Biasalah Wan. Tiap-tiap tahun macam ni lah. Habis sahaja bulan Ogos, tak adanya orang datang jenguk aku. Tapi aku tak kisah. Sekurang-kurangnya ada jugak yang ingat.”

Pak Tua termenung jauh. Kopi pekat sudah berganti dengan rokok daun yang dikepit di birai bibir.

“Aku pun kadang-kadang sudah naik serba salah. Tidak dilayan, mereka semua datang dari jauh. Lagi pula, Islam melarang kita tidak menghormati tetamu.”

“Pak Tua sudah bosan bercerita kisah zaman komunis dahulu?” Aku sedikit pelik mendengar kata-kata Pak Tua. Setahuku Pak Tua tidak pernah bosan bercerita kisah dirinya yang menjadi mangsa kekejaman komunis. Ada sahaja yang bertanya, maka panjang lebarlah cerita Pak Tua.

“Sebenarnya Wan, merdeka ini bukan setakat kita mengenang hal-hal sejarah dahulu. Apa guna bercerita kisah-kisah pejuang tanah air, kalau hati kita sendiri tidak merdeka.”

“Maksud Pak Tua?” Aku menyoal kembali apabila butir patah kata Pak Tua kedengaran ada makna tersirat.

“Merdekanya sesebuah negara akan dilihat apabila tiada kuasa lain yang menjajah. Namun, merdeka pada diri kita sendiri macam mana? Aku makin sedih tengok anak-anak muda sekarang ni. Tak payah tengok jauh. Dekat kampung kita ni sudah.” Pak Tua mengeluh panjang.

“Makin hilang arah aku tengok mereka. Bawa motor ke hulu, ke hilir. Yang perempuan berkepit di belakang. Kalau sudah kahwin, tidak aku herankan. Ini belum ada ikatan apa-apa sudah berani berpeluk situ sini. Nak ditegur, tidak dipandangnya aku.” sayu nada Pak Tua.

Aku terpana. Kata-kata Pak Tua ada betulnya. Dan aku sendiri mengakuinya. Budak-budak di kampungku masih dibelenggu masalah-masalah sosial. Mat rempit, penyalahgunaan dadah dan terbaru kes lari mengikut teman kenalan daripada laman sosial.

“Sebab tu aku jadi makin sedih bila sampai sahaja bulan merdeka ni. Dilaung-laung perkataan merdeka, tapi betul ke kita ni sudah merdeka?” Pak Tua kembali menghirup kopi pekat yang sudah sejuk.

“Bagi Pak Tua, hati kita ini harus merdeka macam mana?” aku menyoal lanjut.

“Kita ni orang Islam, Wan. Hati kita ini harus kuat imannya, pegangannya. Kalau dulu, mungkin penjajah mahukan negara, tapi sekarang, mungkin jajahannya cara lain. Aku orang tua. Hidup bukan macam zaman kamu sekarang ni. Tapi bila aku tengok berita, baca surat khabar, tengok anak cucu aku balik ke kampung, lagak mereka sudah lain. Semua sibuk dengan urusan masing-masing. Gembira dan merdeka mereka cara lain.”

“Aku berani cakap dengan kamu ni sebab kamu seorang cikgu. Hari-hari kamu memberi ilmu pada budak-budak, bergaul dengan mereka, mesti kamu faham dan arif dengan corak hidup zaman sekarang. Faham dengan erti merdeka yang sebenar.”

Pak Tua memandang aku dengan pandangan yang susah untuk aku faham. Mata tuanya yang berkedut seribu itu menjadi semakin kecil.

Aku mengalih pandang ke tengah lembah. Air sudah banyak bertakung. Hujan masih turun walaupun tidak selebat tadi. Kata-kata Pak Tua membuatkan aku hilang diri. Teringat tingkahku pagi tadi. Bangun untuk solat Subuh pun aku liat. Berdoa sekadarnya kerana turutkan nafsu untuk tidur. Walhal, aku ini seorang guru. Seorang pembimbing generasi akan datang. Seorang yang harus kenal dan faham erti merdeka pada diri dahulu sebelum memerdekakan anak-anak didikku.

Hari ini, pada hari ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-60 tahun, aku disekolahkan oleh Pak Tua yang hidupnya menyaksikan negara ini dijajah. Pak Tua yang dirinya pernah dipukul komunis, tetapi minda dan hatinya merdeka.

Bunyi bekas-bekas yang berlaga di dapur membuatkan aku tersedar yang Pak Tua sudah lama menghilang ke dapur. Belum sempat aku bangun, Pak Tua sudah terjengul di muka pintu.

“Kita solat Dhuha dulu, Wan. Lepas tu boleh tengok perarakan merdeka dekat TV sama-sama.” Pak Tua tersengih.

“Boleh Pak Tua.” Aku bangun dan memegang lengan Pak Tua.

“Pak Tua, terima kasih.” Pak Tua menepuk lembut bahuku seakan mengerti isi hatiku. Mungkin hari ini hari hujan yang sangat sesuai untuk tidur, tetapi hari ini tetap hari merdeka. Dan aku, aku akan mula memerdekakan hatiku hari ini. Benarlah kata Pak Buya Hamka, “Kemerdekaan sesuatu negara akan dapat dijamin teguh berdiri apabila berpangkal pada kemerdekaan jiwa.”

 

Glosari

‘lambor’ – anjung, beranda dalam loghat Terengganu

 

Artikel Lain Untuk Di Baca