Penulis: Thiya Ahmad
+ Kita putus.
Kekal pandangan mata itu tertumpu pada skrin telefon bimbitnya. Dahinya berkerut seribu. Razin tidak faham apa yang sedang berlaku sekarang. Pesanan ringkas dari aplikasi WhatsApp yang diterima daripada tunangnya dipandang berulang kali. Saat itu, segala harapannya telah mati. Seakan tidak percaya.
Lantas, jarinya laju sahaja menekan nombor tersebut. Dia menginginkan kepastian mengenai mesej itu tetapi, nombor itu sukar untuk dihubungi. Beberapa kali percubaannya gagal. Sekadar menembusi peti suara tanpa sebarang balasan daripada gadis itu.
Hampa.
Razin tetap tidak mahu mengalah. Sekali lagi telefon itu ditekapkan pada telinga kirinya. Tubuh itu berlegar-legar di bahagian balkoni apartment miliknya. Dia sabar menanti.
Akhirnya, panggilan itu dijawab oleh pemanggil. Senyuman kecil tersungging di tepi bibir Razin saat itu. Gembira. Tetapi senyuman itu tidak bertahan lama kerana talian itu hanya disambut sepi. Tunangnya diam seribu bahasa.
“Awak.. kenapa ni? Ada apa masalah?” tanya Razin inginkan jawapan.
“Awak sayang saya?” suara di hujung talian itu memecah keheningan setelah agak lama berdiam diri.
“Of course, saya sayangkan awak, Yasmin Insyira. Soalan apa yang awak tanya ni? Kalau saya tak serius dengan hubungan kita, saya tak akan sunting awak untuk menjadi isteri,” jawab Razin tegas. Dia mahu Yasmin tahu perasaan terhadapnya adalah benar, bukan gurauan semata. Apatah lagi perkara yang melibatkan hati.
“Razin,” Yasmin memintas.
“Ya?”
“Lepaskan saya,” tenang sahaja Yasmin melontar bicara. Cukup mudah dua perkataan itu meluncur dari bibirnya.
Seketika terasa waktu seakan terhenti. Razin beku.
“Kenapa? Tell me. Kita dah nak nikah, Yasmin. Tinggal lagi dua bulan sahaja lagi. Awak dah tak sayang saya lagi ke?” tanya Razin berulang-kali. Dia benar-benar terpana dengan permintaan Yasmin itu.
Razin benar-benar hairan dengan perubahan sikap Yasmin. Hatinya mula berdebar kencang, perlahan dan semakin kuat. Resah dia menanti bicara seterusnya daripada Yasmin. Razin cuba untuk menyedapkan hatinya sendiri, barangkali Yasmin tidak sedar apa yang diutarakan. Mungkin apa yang diucapkan Yasmin itu hanyalah gurauan.
“Now, you listen to me,” mendatar suara Yasmin meluncur laju. Perlahan tetapi terselit ketegasan dalam nada suaranya.
“Saya nak lelaki yang saya cinta dapat wanita terbaik dalam hidupnya… Dan saya bukan wanita itu, Razin Amsyar,” sayu suara yang dilontar Yasmin. Untuk menuturkan kata-kata itu, Yasmin telah berfikir sedalam-dalamnya. Benar, memang bukan mudah. Namun, desakan hatinya tidak dapat dibendung lagi.
Razin mendengus geram. Dia fikirkan Yasmin hanya main-main, rupanya sangkaan dia meleset sama sekali. Kenapa harus perpisahan terjadi di saat begini? Apa dia tidak layak untuk merasa bahagia? Segala persoalan itu berlegar di ruang fikiran Razin.
Hancur luluh hati Razin.
“What are you talking about? This is nonsense! Awak sudah cukup terbaik dalam hidup saya. Saya tak perlukan wanita lain, Yasmin,” Razin sedaya upaya cuba menahan suaranya daripada meninggi.
Jeda.
Kebisuan Yasmin merenggut rantai hati Razin. Dia cuba untuk mengumpul kekuatan dan kesabaran.
Razin cuba memujuk lembut. Rintihan seorang lelaki yang sudah terlanjur menyayangi. Kata-kata itu ikhlas lahir dari lubuk hatinya yang terdalam. Jujur, dia sangat mencintai gadis itu sepenuh jiwa dan raga.
“Kenapa awak buat saya macam ni, Yasmin? Apa salah saya?” lirih suara Razin menerjah ke gegendang telinga Yasmin.
Yasmin mengeluh. Biarlah rahsia itu tersimpan untuk dirinya dan Tuhan. Dia tidak bersedia menyatakan perkara yang sebenar-benarnya pada Razin. Lelaki ini sangat istimewa di matanya, tetapi biarlah ia hanya begini.
“Untuk pengetahuan awak, cincin pertunangan kita saya sudah pulangkan pada Mama Jelita. Pada mama awak, Razin,” ujar Yasmin tanpa berdolak-dalih.
Terbeliak mata Razin. Yasmin sungguh tekad. Wanita ini sungguh menguji kesetiaan dirinya.
“Are you serious! Stay there, saya datang sekarang. Kita bincang elok-elok, Yasmin,” belum sempat Razin melangkah, kata-kata Yasmin mematikan langkahnya.
“Sudah tak ada apa untuk dibincangkan, Razin. Ini jalan yang terbaik untuk kita berdua. Cukuplah sekadar di sini. Mulai detik ini, tiada apa lagi ikatan antara kita. Saya nak awak faham itu! Maafkan saya dan terima kasih untuk segalanya,” jelas Yasmin. Dia hanya mahu Razin memenuhi permintaan ini. Dia mahu Razin mendengar kata akhirnya. Dia ingin semua ini ditamatkan tanpa kedua mereka saling menyakiti.
Yasmin mengetap bibir menahan segala rasa yang bergelodak dalam hatinya. Jiwanya merintih dalam diam.
Tut!
Panggilan itu terus ditutup oleh Yasmin. Terpinga-pinga Razin untuk menghadam senario ini. Kini, dia sudah ditinggalkan. Perit kenyataan untuk dia terima. Tidak tertelan dan tidak terluah. Semudah itu Yasmin menamatkan segalanya. Dia benar-benar kecewa.
Keluhan berat dilepaskan oleh Razin. Batang tubuh Razin melorot jatuh di pintu kaca balkoni miliknya. Terduduk Razin.
‘Apa salah aku?’ hatinya berbisik sendu.
Tubuhnya tersandar lemah pada pintu kaca itu. Telefon bimbitnya digenggam kuat. Seakan melepaskan geram yang terlalu kecewa. Luka di hatinya tidak dapat dikawal lagi. Sakitnya seolah ditikam.
Kolam matanya mula bergenang. Tiada esak tangis, hanya air matanya yang tumpah setitis demi setitis. Razin menunduk dan membisu. Hati ini terlalu dalam lukanya. Jalan ini yang telah dipilih oleh Yasmin tetapi bukan dia!
Yasmin memberhentikan keretanya di perkarangan tasik yang berada di kawasan rumah mama Razin. Setelah berjumpa empat mata bersama mama, Yasmin sedar tindakannya akan menyakiti semua pihak lebih-lebih lagi Razin Amsyar. Mama Razin yang sudah dianggap sebagai ibunya sendiri juga terkejut dengan tindakan daripada bakal menantunya. Dia juga turut terpukul dengan keputusan nekad Yasmin.
“Maafkan saya, Razin,” rintih Yasmin.
Yasmin tidak kuat. Perkara itu bukan mudah untuk dirinya. Air matanya terus berguguran jatuh tanpa henti. Tiada kata-kata mampu diungkap untuk menggambarkan kekecewaan yang dirasai. Perasaannya kacau-bilau.
Yasmin memangku kepala. Ini bukan kali pertama dia menangis. Sejak lima bulan lalu, sudah terlalu kerap dia menangis. Hatinya bagaikan kaca yang berderai. Hampa, kesal dan benci mula bersarang di jiwa. Bahunya terhenjut-henjut akibat menangis. Dahinya berbantalkan pada stereng kereta. Habis shawl yang berwarna coklat itu dibasahi permata berharga.
Andai sahaja dunia ini seindah yang disangka, pasti tidak akan ada sesiapa pun yang merasakan kesedihan serta kepayahan. Tetapi, inilah lumrah kehidupan kita sebagai manusia biasa. Begitu juga dengan Yasmin yang mengharapkan kebahagiaan bersama insan yang disayangi.
Saat ini, telah tertulis takdir tidak memihak padanya. Benarlah apa yang dikata, kita sebagai manusia hanya mampu merancang, kerana sebaik-baik perancangan datangnya dari Allah.
Cermin tingkap kereta diketuk berulang kali mengejutkan Yasmin. Dia mengangkat kepalanya dan dengan pantas, air matanya diseka di pipi. Wajahnya sudah seperti disengat tebuan. Sembab. Perlahan-lahan dia menoleh. Kelihatan seorang lelaki tinggi lampai berdiri di luar kereta miliknya.
Lalu, cermin tingkap bersebelahan dengan Yasmin diturunkan separa. Yasmin mengangkat kening.
“Kenapa ya?” soal Yasmin perlahan. Suaranya serak.
Lelaki itu menurunkan cermin matanya dan tepat memandang ke arah bola mata Yasmin. Sebenarnya, sudah agak lama Asyraf memerhatikan Yasmin sebaik sahaja kereta itu tiba di kawasan tasik tersebut.
“Miss, are you okay?” tanya Asyraf. Kacak.
“Huh?” berkerut dahi Yasmin. Keningnya terangkat.
Yasmin melarikan pandangan.
“Ingatkan cik pengsan tadi,” Lelaki itu bersuara lagi. Pandangan matanya tidak lepas dari terus memandang Yasmin. Hampir setiap inci wajah gadis itu dijamahnya.
“Eh, taklah! Saya baik-baik sahaja,” jawab Yasmin lurus. Bibirnya tersenyum tawar. Dia cuba berlagak tenang dan bersahaja walaupun wajahnya jelas pucat tidak bermaya.
Asyraf patuh dengan jawapan Yasmin dan menganggukkan kepalanya.
“Baguslah kalau macam itu. By the way, cik ni ada masalah ke?” duga Asyraf. Matanya memandang ke dalam anak mata Yasmin yang jelas masih berkaca.
Mulut Yasmin seakan terkunci erat. Perlahan Yasmin tersenyum tawar. Namun tiada jawapan daripadanya. Lelaki asing itu tidak perlu tahu apa yang ditanggungnya atau apa yang mengganggunya.
Yasmin menggeleng. Entah untuk apa gelengan itu. Dia sendiri buntu.
Asyraf sedar mungkin dia sudah melampaui batasnya. Mungkin tidak wajar untuk dia bertanyakan soalan itu kerana hanya akan menambahkan kekusutan yang sedia ada di hati Yasmin.
Yasmin menoleh ke sisi, memandang tunak wajah Asyraf.
“Erm.. awak boleh ke tepi sikit? Saya nak keluar ambil angin,” pinta Yasmin lembut. Kedudukan tubuh Asyraf menghalang pintu kereta Yasmin.
“Boleh-boleh. Sorry. Hehe…” Asyraf segera berganjak ke tepi bagi memberi laluan pada Yasmin. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Segan pula.
Yasmin mula melangkahkan kaki menuju ke sebuah kerusi kecil yang bertentangan dengan permukaan tasik, ingin mencari secebis ketenangan bagi meredakan kekecewaan yang melanda dirinya. Yasmin melabuhkan punggung pada kerusi tersebut. Dia mendongak memandang dada langit. Serta-merta kumpulan awan itu seakan bergumpal melakar wajah lelaki kesayangannya, Razin Amsyar.
Bibirnya tersenyum mesra. Kemudian terletus pula tawa kecil dari bibir Yasmin. Indah sungguh detik-detik kenangan mereka bersama. Tapi itu dulu! Dia sedar mulai detik ini, tiada lagi memori akan tercipta antara mereka. Yasmin sendiri telah membataskan dirinya agar tidak terus tenggelam dalam lautan kenangan.
Nafas dihela lemah.
Jujur, dia tidak bersedia lagi. Tetapi, kenapa harus dia? Berita yang diterima lima bulan lepas sangat memeranjatkan Yasmin. Dunia Yasmin terasa kelam dengan berita itu. Dia sebenarnya tidak punya banyak waktu lagi.
Tanpa sedar, Asyraf telah mengikuti jejak Yasmin dari arah belakang. Entah kenapa dia tertarik dengan gadis itu. Riak yang terpancar di wajah Yasmin cukup menyatakan yang dirinya sedang di dalam kesulitan. Sehinggakan Asyraf sendiri mampu menghidu itu. Dia tahu gadis itu memerlukan seseorang di sisinya ketika ini.
Asyraf melangkah menghampiri.
“Kenapa ni?” tanya Asyraf seraya melabuhkan duduknya bersebelahan Yasmin.
Yasmin menoleh memandang ke arah suara itu. Eh, dia ni lagi!
“Awak tak ada kerja eh? Ikut saya sampai ke sini,” sinis balas Yasmin.
Asyraf tergelak kecil mendengar sindiran itu tapi dia tidak peduli. Tetap juga dengan pendiriannya.
“If you want to share something with me, just say it. Tak kisahlah awak nak cakap saya busybody atau apa. I’m here,” Asyraf memaniskan muka.
Yasmin menggeleng kepala melihat kesungguhan lelaki ini. Benar-benar prihatin. Untuk Yasmin, sudah tiada lagi perkara hendak disorokkan. Lama-kelamaan tetap juga semua orang akan tahu.
“Mati,” hanya sepatah perkataan itu keluar dari mulut Yasmin.
Asyraf terkesima. Otaknya mengambil masa yang lama untuk memproses. Ada apa dengan mati? Asyraf diam. Dia membiarkan Yasmin mengambil masa untuk meluahkan luka di dada.
“Saya sakit,” ucap Yasmin lalu memandang Asyraf di sisi.
“Sakit apa?” Asyraf gusar.
“Itu awak tak perlu tahu, cumanya waktu saya dah tak lama. Anything can happen,” sugul wajah Yasmin.
“Siapa kata?” soal Asyraf.
“Doktor.”
“Teruskan kehidupan awak selagi mampu. Ajal itu semuanya terletak di tangan Dia dan bukannya doktor. Tugas doktor sekadar memberitahu sebarang kemungkinan yang bakal berlaku. Jangan pernah mengalah dan berharap. Percaya pada Dia. Allah tak pernah kejam kepada setiap hamba-Nya. Sekali pun ditakdirkan awak akan ‘pergi’, percayalah; Dia sudah menyediakan tempat terindah di sana kelak,”
Lancar bicara Asyraf menenangkan hati Yasmin. Patutlah dari tadi dia melihat Yasmin seakan sedih. Rupanya berat dugaan yang melanda gadis ini.
“Terima kasih atas nasihat awak,” Yasmin akur atas kata-kata Asyraf.
“Sama-sama,” Asyraf melakar senyum.
Yasmin mengerling jam di tangan. Sudah pukul enam petang rupanya. Rancak mereka berbual sehingga tidak sedar waktu sudah lewat petang. Dia meminta izin untuk pulang. Setapak Yasmin melangkah, dirinya dipanggil oleh Asyraf.
Yasmin memalingkan wajah ke belakang.
“Boleh saya tahu nama awak?” tanya Asyraf kekok.
Punyalah lama bersembang, nama pun tidak tahu. Aduh, dua-dua sama sahaja!
“Yasmin Insyira. Awak pula?”
Asyraf mengeluarkan beg dompetnya, lalu dihulurkan sekeping kad pada Yasmin. Huluran itu disambut oleh Yasmin. Matanya memandang isi kandungan kad tersebut. Tertera nama sebenar lelaki itu. Asyraf Maliki.
“Okeylah kalau macam tu, Asyraf. Saya balik dulu ya?”
“Hati-hati. Nanti sampai rumah, kalau tak keberatan, maklumkan kepada saya boleh?”
“Insya Allah,”
Asyraf hanya mampu berharap agar gadis itu akan menghubunginya.
Tiga hari berlalu. Tiada sebarang khabar berita tentang Yasmin. Razin tidak mahu membuang masa. Entah kenapa perasaannya tidak senang. Jiwanya merintih merindukan kesayangan hati. Keretanya meluncur laju membelah keheningan jalan. Dia harus bertatapan mata dengan gadis itu. Rumah sewa Yasmin dituju.
Manakala di rumah, Yasmin sudah batuk-batuk teruk. Allah. Hanya itu yang mampu dia ucapkan. Kalimat itu tidak pernah lekang dari bibirnya. Sejak pulang dari bertemu Asyraf tempoh hari, kesihatan tubuhnya mulai merosot sedikit demi sedikit. Rasa sakit yang amat sangat sudah menjalar pada anggota badannya.
Pintu rumahnya diketuk berulang kali. Kepalanya pening tapi cuba digagahkan untuk bangun. Lemah ayunan langkah Yasmin menuju ke muka pintu. Lalu, daun pintu dibuka. Yasmin kaku.
Razin terkejut melihat susuk tubuh Yasmin.
“Yasmin…” Razin cuba menghampiri.
Saat itu, terasa cecair pekat mengalir dari hidung Yasmin. Pandangannya mula kabur.
Tubuhnya juga sudah kebas.
“Zin,” panggil Yasmin.
Yasmin terus rebah. Pantas sahaja Razin menyambut tubuh itu sebelum mencium lantai. Erat dia berada di dalam pelukan Razin.
“Maaf..kan sa..ya,” putus-putus nafas Yasmin melontar kata. Lemah.
“Don’t say anything. Kita pergi hospital sekarang ya?” pinta Razin.
Pelupuk mata Yasmin mula tertutup rapat perlahan-lahan. Langsung tidak bergerak! Terketar-ketar tangan Razin cuba untuk menyentuh Yasmin. Nadi Yasmin diperiksa segera. Air mata Razin turun serta-merta tanpa dapat ditahan.
“Yasmin!” tangisan Razin menggila.
Foto Paparan Utama: Japanalia’s Photoblog