CERPEN: Follow The Flow

Penulis: Benang Ungu

Buku ‘One Child’ karangan Mei Fong itu diselaknya helaian demi helaian. Kelihatan seperti khusyuk benar Qalesya menelaah buku ilmiah itu. Namun hakikatnya, perkataan-perkataan yang dihadapnya itu langsung tidak dihadam dek kerana fikirannya jauh melayang. Musim-musim cuti ini, banyak betul undangan perkahwinan. Satu per satu rakannya bakal dan telah menamatkan zaman bujang.  Kadangkala risau juga Qalesya memikirkan bulatan sosialnya yang semakin mengecil. Tapi dia lebih percaya pada prinsip ‘Follow the Flow’.

Teringat kembali kisah silamnya. Qalesya bukanlah seorang yang tidak percaya pada cinta, jauh sekali membenci insan bernama lelaki. Bahkan rakan-rakan akrabnya ramai terdiri daripada kaum itu. Namun, Qalesya masih tiada luck dalam percintaan. Disebabkan kisah silam yang masih segar di ingatannya, Qalesya menjadi begitu berhati-hati untuk memberikan hati.

“Kau nak nasi kandar? Nanti aku belikan,” ucap Shah kepada Qalesya.

“Ish kau ni, tak payahlah. Aku bukan habis pun. Kau pun tahu kan,” jawab Qalesya.

Namun, nasi kandar tetap dibelinya sebagai buah tangan untuk Qalesya. Begitulah rutin Shah setiap kali outing. Pasti ada sahaja yang dibelinya. Semua makanan kegemaran Qalesya seperti Kinder Bueno, nasi kandar, teh ais, tepung talam – semua dihafalnya dan pasti akan diberinya kepada Qalesya setiap kali dia keluar.

Hubungan mereka menjadi bertambah mesra dari hari ke hari dan Shah semakin payah untuk berenggang dengan Qalesya. Setiap kali di kelas, pasti dicarinya Qalesya. Setiap kali pulang bermalam, dimesej dan dicallnya Qalesya. Sementara Qalesya pula, seperti dirinya, hanya follow the flow.

Tidaklah dirasakan rimas. Mungkin kerana dia memang akui Shah sangat serasi dengannya. Tambahan pula, dirasakan, semenjak berkawan rapat dengannya, Shah menunjukkan perkembangan positif dalam pelajaran. Jika dulu Shah ialah di antara pelajar yang nakal dan sering melanggar peraturan sekolah. Tapi kini Shah semakin serius menumpukan perhatian dalam pelajaran. Hubungan akrab mereka ini direstui satu sekolah, dari rakan-rakan sehinggalah guru-guru kerana mereka nampak impak positif yang ada pada Shah dan Qalesya.

Tidak pernah terlintas dalam fikiran Qalesya untuk menaruh hati pada Shah. Namun hari demi hari dan bulan berganti bulan, Qalesya akui, dia benar-benar jatuh cinta pada Shah. Padanya, Shah bukanlah lelaki terkacak di seluruh alam semesta. Tetapi setelah mengenal hati budinya, dia yakin, Shah ialah lelaki yang terbaik untuknya.

Bulan berlalu, Shah menjadi semakin clingy dengan Qalesya. Buat pertama kali, Shah mengungkapkan perkataan ‘I Love You’ kepada Qalesya pada suatu malam melalui panggilan telefon. Qalesya hanya tergamam. Tidak pernah seumur hidupnya mengungkapkan perkataan keramat itu kepada orang lain selain daripada ibu bapanya. Qalesya tidak mampu membalasnya dan hanya mampu mematikan talian.

Sejujurnya, dia gembira. Ini rupanya perasaan orang bercinta. Tapi dia takut, terlalu takut untuk mengungkapkan perkataan tersebut kerana memikirkan masa depan yang masih jauh. Namun, hubungan dia dengan Shah kini ternyata lebih daripada seorang kawan, kecuali ‘I Love You’ Shah yang tidak pernah berbalas. Pada Qalesya, perkataan tidak penting, tindakanlah yang akan membuktikan segalanya.

Namun, ketakutan Qalesya ternyata benar. Beberapa minggu selepas mereka menjadi pasangan kekasih, Qalesya mendapat tahu Shah kini sudah bertemu pengganti. Qalesya hanya mendapat tahu melalui satu status Shah di Twitter yang memberi gambaran bahawa dia in a relationship.

Perkara itu disahkan oleh rakan mereka, Fayyadh, melalui kiriman mesej berbunyi “Baik kau lupakan saja Shah. Dia sekarang dengan Athirah,”

Sukar untuk diterima hakikat itu tapi tetap ditelannya. Kejadian itu menyebabkan Qalesya merasakan bahawa maruahnya dipijak henyak oleh Shah dan hatinya dipermainkan begitu sahaja. Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba sahaja dia dilupakan. Sakit itu menyebabkan Qalesya memadam semua memori bersama Shah, termasuk rakan-rakan yang pernah mereka kongsi.

Qalesya tak kuat.

Dia tak pernah menyangka hubungannya dengan Shah akan berakhir begini padahal Shah lah yang sering mengingatkan Qalesya supaya jangan lupakan dia.

Lelaki.

Itulah kesimpulan pendek yang Qalesya mampu simpulkan.

Semenjak episodnya dengan Shah berakhir, Qalesya tidak pernah memberi hati kepada lelaki.

“Weh gemok, kau dah tengok belum Polis Entri?” mesej daripada Faizal itu mematikan lamunan Qalesya.

“Belum lah gila. Asal? Best ke?” balas Qalesya sambil menelangkupkan buku ‘One Child’ yang konon dibacanya itu di atas dada.

“Best nak mam… Kau kena tengok weh. Kompem kau suka,”

“Aite. Will do,”

Itulah Faizal. Rakan karibnya kini. Faizal tak ubah seperti abang kepada Qalesya. Terlalu banyak persamaan yang mereka kongsi, termasuk genre movie kegemaranFaizal sentiasa menjadi tempat Qalesya mengadu segalanya, dari sekecil-kecil benda seperti dia tak boleh fokus di dalam kelas hari ini sehinggalah ke konflik dunia yang dihadapinya. Begitu juga dengan Faizal, Qalesya sudah menjadi secret keepernya. Semua hal peribadinya, tersimpan kemas dalam poket Qalesya.

Pada mata Qalesya, Faizal lelaki yang sempurna. Sepanjang perkenalan mereka, tidak sekalipun Faizal pernah cuba untuk mengorat Qalesya. Namun , keikhlasannya itulah yang menyebabkan Qalesya tertawan. Qalesya dilayannya dengan penuh perhatian. Sakit, demam, susah dan senang, Faizal lah yang sentiasa bersamanya. Tidak dinafikan, Faizal disenangi oleh semua orang. Dek kerana personalitinya yang selamba itulah menyebabkan semua orang senang mendekatinya.

“Eh kau nak tahu tak? Aku ada benda nak share ngan kau ni?” soal Faizal menerusi mesej.

“Apa benda?”

“Camni, hari tu Fatin ada bagitahu aku ada orang nak kenal aku. Kau rasa cemana?”

“Hahahaaaa… Pehh ada orang ada fan lah,” seloroh Qalesya. Jauh di sudut hatinya, dia tidaklah segembira itu. Entah kenapa perasaan cemburu tiba-tiba menyinggah.

“Hah, Qalesya! Kau mesej dengan siapa hah?” soal Linda. Dari tadi sebenarnya Linda perhatikan si Qalesya ralit membalas mesej.

“Haha. Siapa lagi. Kau rasa?”

“Hek eleh. Korang ni takde kerja lain ke? Dahlah selalu jumpa, mesej pun selalu. Tak boring ke? Kalah couple aku tengok korang ni,”

“Amende kau ni Linda? Eh Linda, kau lapar tak? Jom keluar makan,” soal Qalesya sambil tangannya mengusap perutnya yang flat itu.

“Jom. Aku lapar gak ni? Tadi last makan pukul 10 doh,” jawab Linda sambil menoleh ke arah jam dinding yang sudah menunjukkan pukul 6 petang.

“Okay. Kedai Selera Tom Yam?”

Onz!” sahut Linda.

Kedua-dua mereka bingkas bersiap dan terus pergi ke kedai makan tersebut menaiki kereta Myvi Qalesya.

Linda dan Qalesya sudah lama berkawan sejak dari zaman diploma sehinggalah zaman ijazah kini. Kira-kira sudah 5 tahun mereka berkawan rapat. Antara rakan-rakan rapat Qalesya, Linda lah antara rakan perempuan yang paling dia percaya. Mereka berkongsi semua cerita melalui sesi curhat sejak zaman kolej lagi. Semua crush masing-masing mereka hafal. Namun, bila masuk zaman ijazah, Linda kurang beri perhatian pada isu perasaan. Linda benar-benar fokus mahu menamatkan pengajian ijazahnya. Kemudian, barulah dia fikir untuk mencari pasangan hidup. Lain dengan Qalesya, dia sentiasa dengan prinsipnya – ‘Follow the Flow’.

Linda seorang gadis manis bertudung labuh dan berfikiran matang. Jika ingin dicari kekuranganyang ada pada Linda, sejujurnya agak sukar. Dia umpama pakej lengkap seorang Muslimah sejati. Walaupun luaran nampak seperti usrati sejati, hakikatnya Linda tidaklah se’baik’ itu. Kalau kenal betul-betul, boleh tahan K-Pop minah ni. Kelakar pun boleh tahan.

“Haha bengong la kau ni. Aku tanya betul-betul ni. Aku mana biasa dengan situasi macam ni. Aku perlukan honest opinion dari kau, sebagai orang yang paling dekat dengan aku,” mesej daripada Faizal yang dihantar satu jam lalu baru dibacanya sambil menikmati Mee Hailam di kedai Selera Tom Yam itu.

“Ok la, macam ni. Kalau orang yang tanya tu baik, why not? Kau boleh nilai kot melalui orang tengah,” jawab Qalesya ikhlas.

“Honestly, orang tengah dia tu memang boleh percaya. Takpelah aku fikir dulu lah. Apa apa nanti aku update kau,”

“Beres,”

Perbualan mereka tamat dsitu. Qalesya menghabiskankan baki Mee Hailamnya dan Linda pula dengan menu kegemarannya- Nasi Goreng Kampung. Kedua-dua mereka menghabiskan masa di situ kira-kira satu jam sebelum bergerak pulang.

 

…………………………………………………………………………………………………

 

Pagi hujung minggu itu, sejuknya lain daripada biasa menyebabkan Qalesya sukar untuk bangkit dari tidur. Tapi setelah handphonenya tidak berhenti vibrate, Qalesya akhirnya mengalah.

“Haishhh, Sapa lah yang yang rajin sangat nak mesej orang pagi-pagi ni? Get a life lah!” getus Qalesya.

Bertalu-talu mesej dihantar Faizal kepadanya semenjak pukul 9 pagi tadi. Sekarang sudah menunjukkan jam 10.30 dan Faizal masih belum berputus asa. Memang menjadi perangai si Faizal, satu mesej dihantarnya – satu perkataan sahaja. Sengaja ingin menyemak notifikasi si penerima.

“Amendeeeeeeee…?” balas Qalesya.

“Fuh bangun jugak kau akhirnya. Busuk ah kau. Gi mandi lah,” Balas Faizal. Seperti biasa, mesti menyakitkan hati.

“Yelah yelah, kau nak apa mesej aku banyak-banyak ni?” balas Qalesya sambil terus mengambil tuala di penyidai biliknya dan terus menghala kearah bilik mandi.

“Weh aku dah tahu siapa tanya pasal aku tu,” mesej yang bertanda ‘15 minutes ago’ itu tertera di skrin iPhone Qalesya setelah dia selesai mandi.

“Really? Sapa doh?” soal Qalesya. Pada masa yang sama, dia mengharapkan dia tidak mengenali perempuan itu kerana tak sanggup menahan cemburu di hatinya.

“Linda doh,” Jawab Faizal.

“Hahahaaaa sumpah aku dah agak weh. Sumpah aku dapat rasa dia suka kau. Ok lah tu weh dia baik kot,” Jawab Qalesya sepantas kilat.

Sebenarnya, dari dulu lagi dia dapat rasakan Linda sudah lama menaruh hati pada Faizal. Sebab itu lah beberapa kali Qalesya menahan diri daripada bercerita mengenai Faizal dengan Linda kerana dia sendiri tak mahu Linda perasan bahawa dia menyukai Faizal.

Sudah menjadi personality Qalesya, dia sentiasa ingin dilihat cool. Namun begitu, terdetik perasaan terkilan kerana Linda langsung tidak pernah berterus-terang dengannya mengenai Faizal padahal dia tahu betapa akrabnya Qalesya dengan Faizal. Tapi bila difikirkan kembali, mungkin ada hemahnya. Mana tidaknya, Linda juga mungkin rasa insecure dengan Qalesya.

“Woah. Macam tak percaya minah sebaik tu minat dekat aku,” Jawab Faizal.

“Kau dah kenapa? Kau ingat kau jahat sangat ke? C’mon Faizal!”

“Takdelah. Takkan dia takde cakap apa-apa dengan kau kot?” soal Faizal.

“Emm. Tak. Segan mungkin. Atau mungkin dia takut aku jealous kot. Haha.” Qalesya berterus-terang dalam nada gurauan.

Begitulah permulaan kisah Linda dan Faizal. Sejujurnya, Qalesya amat bahagia buat mereka berdua. Mana tidaknya, kedua-dua mereka ialah insan yang amat dia sayang dalam hidupnya. Itulah dirasakan hadiah terbaik yang mampu dia bagi untuk kedua-dua mereka.

Hari ini genap setahun usia perkahwinan Linda dan Faizal. Kedua-dua mereka tidak pernah tahu bahawa Qalesya pernah menaruh hati pada Faizal dan Qalesya lebih bahagia begitu. Yang penting mereka bertiga tetap bersahabat baik dan Qalesya masih dengan prinsipnya – ‘Follow the Flow’.

 

Foto Paparan Utama: Pixabay

Artikel Lain Untuk Di Baca