CERPEN: Dogok Dah Mati

Penulis: Abdullah Hussaini

Selepas bersara aku mula berjinak-jinak dengan pemeliharaan lembu. Semasa kecil aku masih ingat arwah atuk aku ada membela lembu. Tapi tidak banyak. Hanya tiga ekor sahaja. Yang paling kuingat tentulah seekor lembu berwarna coklat pudar yang kupanggil Dogok. Lembu itu akhirnya dijual setelah ia besar. Sekarang aku sudah memiliki sepuluh ekor lembu. Esok kawan aku semasa kecil dulu mahu bawa aku berjumpa dengan seorang pekebun yang hendak menjual lembunya. Kata Jali, aku pasti tertarik dengan lembu itu. Aku tidak tahu apa maksudnya dan apabila kuminta dia terangkan, katanya pekebun itu terdesak memerlukan wang dan bersedia melepaskan satu-satunya lembu yang dia miliki pada harga murah.

Aku memandu lori bersama Jali dan Budin, pembantuku. Kami sampai pada waktu tengah hari dan dijemput terus oleh pekebun yang tua itu ke belakang rumahnya. Aku sungguh terkejut kerana rupa lembu itu tak ubah seperti Dogok dahulu. Telinganya bergerak-gerak, tanduknya baru hendak tumbuh dan warnanya sama macam Dogok. Matanya besar dan terlihat comel sekali lebih-lebih lagi apabila ia mengerlip. Aku sekarang baru faham akan apa yang dikatakan Jali. Memang aku tertarik pada lembu ini. Selain rupanya seperti Dogok, lembu ini juga jinak. Semasa aku merapatinya dan membelai-belai bonggolnya itu, dia menjilat-jilat tapak tangan aku seolah-olah dia tahu yang aku akan jadi tuan barunya.

“Berapa encik nak jual ni?” tanyaku.

Kami berempat berdiri di bawah pohon mempelam tua yang besar di mana lembu itu, atau aku mula ingin panggilnya Dogok, tertambat. Pekebun itu mengulum-ngulum lidahnya barangkali kekeringan air liur dek cuaca panas. Aku melihat urat-urat yang berseribat pada lengannya dan kerutan pada mukanya serta kematu pada tapak tangannya. Tentu sepanjang hidupnya bergelumang dengan kerja-kerja berat, kataku dalam hati. Sungguh, orang tua itu merupakan seorang yang rajin pada pandangan mataku.

“Berapa encik sanggup ambil?” Dia bertanya pula.

Kalau diikutkan harga pasaran harganya sekitar RM1500-RM2000 sahaja. Tapi sebelum ini Jali beritahu yang pekebun itu sangggup jual pada harga murah. Oleh hal yang demikian aku sudah siap-siap membawa wang tunai bersama sekitar RM1500.

“Seribu?” dugaku. Pekebun itu memandang ke arah Dogok. Dia mendekatinya dan menyentuh-nyentuh pangkal kepalanya. Dogok kelihatan manja dengan tuannya itu. Aku merasakan betapa pekebun ini sayangkan lembu ini dan tentunya dia mempunyai momen sentimental bersama lembu ini. Aku sempat membuang pandang ke arah rumah pekebun itu. Rumahnya sangat daif. Kayu-kayu lapisnya ada yang rebeh, atap zinknya berkarat dan pangkal tiang kayunya seakan-akan mereput dek kerja anai-anai. Aku rasa dalam hatinya dia tentu tidak sampai hati untuk menjual lembunya.

“Murah sangat tu,” katanya cuba menawar.
“Baiklah, seribu setengah?”

Dia tersenyum sedikit dan mengangguk bersetuju. Aku terus menghulurkan duit kepadanya dan dia berterima kasih. Kami sama-sama menarik Dogok ke dalam lori. Lembu itu tidak memayahkan kami dengan aksi-aksi penolakan atau kedegilan. Sebaliknya dia hanya menuruti tarikan tali pada hidungnya terus ke dalam lori.

“Jaga dia baik-baik,” kata pekebun itu dengan sayu. Aku hanya menangguk. Aku tahu dia sedih. Ini dapat kulihat pada riak mukanya ketika melambaikan tangan pada Dogok buat kali yang terakhir. Kami singgah sebentar di kedai makanan haiwan. Dengan adanya Dogok maka keperluan untuk makanan pun bertambah. Aku membeli beberapa guni makanan dedak, vitamin dan ketulan garam.

Sesampai di rumahku, kami membawa Dogok turun dan terus dibawa ke kandang yang terletak dalam kawasan kebun kelapa sawit di belakang rumahku. Lembu-lembuku yang lain mula memandang tajam dan kehairanan pada Dogok. Tatkala aku menambat Dogok pada tiang kandang, baru aku perasan Dogok rupanya yang paling kecil tubuhnya berbanding lembuku yang lain.

Aku menyuntik paha Dogok dengan vitamin. Aku mahu dia berselera makan dan membesar setanding dengan lembu-lembu yang lain. Aku menghabiskan masa dengan memberi makan dan minum pada Dogok. Aku belainya dan aku lihat Dogok begitu selera sekali mengunyah-ngunyah makanan yang kuberi. Aku arahkan Budin untuk memberi makan pada lembu lain sehingga petang menjengah, aku tidak sedar langsung betapa aku asyik dengan lembu baruku ini.

***

Anak sulungku yang baru pulang untuk cuti pertengahan semester merungut-rungut kerana mahukan sebuah komputer riba baharu. Dia ingatkan yang aku pernah berjanji padanya sebelum masuk universiti dahulu yang aku akan membelikannya komputer riba baru. Apabila dia menyebutnya barulah aku teringatkan janji itu. Dia memberitahu sangat susah untuk dia membuat kerja dan tugasan kelas kerana tidak mempunyai komputer sendiri. Aku cuma katakan padanya supaya bersabar dan menunggu sehingga duit pinjaman masuk. Dia tarik muka dan mengadu kepada isteriku.

Isteriku pula seperti biasa pada mulanya akan memujuk. Kemudian apabila aku mengatakan yang duit aku baru saja dihabiskan untuk membeli Dogok dia mula membebel. Aku tahu dari mula membela lembu lagi dia sangat tidak setuju dngan tindakan aku. Katanya duitku banyak dibazirkan pada binatang-binatang yang tidak mendatangkan hasil. Dia bertambah tidak suka apabila aku mengupah Budin, seorang budak kampung yang diketahuinya sebagai seorang penagih dadah, untuk bekerja denganku. Hal Budin ini telah kujelaskan berkali-kali padanya. Aku sedar dia penagih dadah dan juga kerap mencuri getah sekerap penduduk kampung. Namun aku juga kesian padanya yang hidup sebatang kara. Dia perlukan wang untuk meneruskan kehidupan maka aku sediakan peluang untuknya. Hal dia hendak beli dadah atau buat apa sekalipun dengan duit gajinya, di luar pengawasan aku. Sekurang-kurangnyanya dia tidaklah mencuri. Kalau nak diharapkan budak kampung lain, tidak payahlah. Semuanya tidak sudi bekerja berat. Kalau pekerja asing pula, walaupun seperti digembar-gemburkan yang mereka itu rajin, hakikatnya hanya yang pernah mengupah mereka saja tahu cerita sebenar. Mereka cepat naik kepala, itu satu hal. Dan kalau tidak dibayar upah yang mahal, hasil kerja mereka sambil lewa sahaja.

Bebelannya tidak henti-henti sehinggalah aku tidak tahan lagi. Aku menuju ke kandang semula dan merenung wajah Dogok. Sebenarnya apabila merenung Dogok, aku dapat merasakan semacam dia menjadi penghubung antara aku dengan memori silamku. Saat-saat paling menyeronokkan aku sewaktu kecil menemani Dogok makan rumput di pinggir hutan sambil arwah atuk dan nenek akan sibuk membanting tulang di bendang. Kadang-kadang atuk dan nenek akan turut bersamaku dan memerhatikan Dogok, membelainya seperti Dogok itu cucu mereka juga. Aku anak tunggal dan yatim piatu pula. Mujur atuk dan nenek menjagaku. Entahlah, Dogok itu kurasakan semacam adikku pula. Betapa rapatnya aku dengan dia sehingga bila dia dijual aku merajuk beberapa hari.

Sedang aku asyik bermain dengan Dogok datang pula anak lelakiku. Dia meminta duit kerana hendak membaiki telefon pintarnya. Katanya sekarang semua kerja sekolah diberikan melalui e-mel sahaja dan perlu menyiapkannya dan hantarnya melalui email juga. Aku tidak pernah percayakan anak lelaki aku yang satu ini. Semasa di asrama dulu dia telah tertangkap kerana menjalankan aktiviti penjualan rokok. Sampaikan aku tebal muka naik ke bilik guru bertemu dengan wardennya untuk diberitahu yang anak aku ini dibuang asrama.

“Kedekut la ayah ni!” rungutnya apabila aku hanya menghulurkan sepuluh ringgit.

Beberapa hari kemudian aku mula melepaskan Dogok daripada tali tambatnya. Aku fikir dia sudah boleh berjalan-jalan di sekitar kebun kelapa sawit, bergaul dengan lembu lain, mungkin mengawan kemudian makan rumput-rumput yang melata. Kebiasaannya aku mengharapkan Budin untuk mengawasi lembu namun entah mengapa Budin tidak dapat dikesan. Puas aku menghubunginya malah ke rumah dia tapi dia tidak ada. Terpaksalah aku menguruskan hal lembu ini sendiri.

Daripada mencuci kandang, memberi lembu makan dan minum sehinggalah menyabit rumput (aku terpaksa ke pinggir kampung mencari rumput jenis napier kerana rumput di kebunku semakin berkurangan) semuanya aku lakukan. Memang terasa penatnya dan badanku naik lenguh kerananya. Namun kepenatan itu hilang apabila aku mendekati Dogok dan bermain dengannya. Kadangkala aku bercakap dengannya dan dia entahkan faham atau tidak apa yang aku cakapkan.

Sangkaanku yang Dogok akan bergaul baik dengan lembu lain ternyata meleset. Dek tubuhnya yang lebih kecil, aku sering melihat dia tertewas sewaktu aku mengagihkan makanan, sama ada makanan ruminan ataupun rumput. Malah dia sering disondol lembu lain sehingga terjatuh dan susah sekali hendak bangun. Aku cuba juga mengasingkannya dan menambat semula pada kandang namun sondol-menyondol tetap berlaku.

Sehinggalah pada suatu saat aku ternampak Dogok disondol dengan kuat oleh seekor lembu bapak besar, tubuhnya terdorong ke belakang dan mengenai bucu kayu kandang. Perutnya luka berdarah. Aku bergegas dengan sebatang kayu dan memukul lembu bapak yang menyondolnya. Aku mendekati Dogok yang terjatuh, lesu dan tubuhnya tidak bermaya. Aku cuci lukanya, aku sapukan ubat dan begitu lama aku duduk dengannya untuk cuba memulihkan dia.

Akibat sondolan itu juga, Dogok sudah tidak terdaya untuk bangun. Lukanya yang kufikir akan sembuh makin melarat pula. Ia terperahang, bernanah, dihurung lalat dan aku perasan semacam ada ulat yang menggeliut pada lukanya itu. Kakinya pula kemerahan dan membengkak. Aku tetap sabar mencucinya sampai bersih dan memberi perhatian sepenuhnya pada dia. Aku bubuhkan makanan pada mulutnya dan aku berikan air secukupnya. Kadang-kadang aku duduk di sebelahnya dengan begitu lama dari pagi santak ke petang.

Aku semakin risau apabila Dogok masih belum pulih beberapa hari kemudian. Aku ke pejabat jabatan haiwan dan memberitahu berkenaan Dogok. Dua orang pegawainya datang keesokan harinya namun yang membuatkanku bengang ialah pegawai itu tidak mahu pergi dekat pun ke kandang. Aku memperincikan mengenai masalah Dogok dan pegawai itu seperti tidak mahu mengambil perhatian sangat.

“Begini encik. Saya rasa saya tak perlu masuk pun untuk mengetahui penyakitnya. Encik tengok kandang encik, patutnya kalau tahu lembu tu kecil, janganlah dicampurkan. Lembu kalau yang besar tu menyondol berulangkali pada lembu kecil, memang lembu kecil tu akan sakit. Ususnya boleh pecah dan akhirnya mati. Lagi satu, kenapa seekor tu saja yang kecil? Patutnya belilah yang semuanya besar,” ujar pegawai itu. Jawapannya menimbulkan rasa tidak puas hati. Naik geram aku mendengarnya.

“Habis tu, takkan nak biar dia sakit melarat macam itu?” tanyaku dengan nada keras. Pegawai itu memandang kawannya dan melihat aku dengan wajah menjengkelkan. Rupa wajahnya, aku pasti, tidak dapat kulupa sampai bila-bila.

“Encik beli sajalah ubat di kedai. Suntik. Nanti baiklah dia,” katanya sebelum meninggalkan aku. Petangnya aku terus ke kedai. Berdasarkan penerangan aku pada pekedai itu, dia menyarankan aku membeli sejenis ubat cecair untuk penyakit sendi. Aku beli dan suntiknya pada Dogok sambil berharap dia akan pulih. Aku belai wajahnya yang tidak bermaya dan berdoa supaya semuanya akan menjadi baik esoknya.

Esoknya seusai subuh aku lekas-lekas ke kandang. Aku memeriksa Dogok. Ternyata dia semakin lemah. Tubuhnya terlentang mengiring, anak matanya membolen luas dan semacam lendir mengalir melalui hidungnya. Lukanya semakin bernanah dan ulat-ulat beruit padanya. Aku naik risau. Aku bersusah payah membangunkannya namun kepalanya tetap saja terlentok jatuh. Aku paut kepalanya dengan rasa gusar. Aku cuba suapkan makanan pada mulutnya. Mujurlah perlahan-lahan dia dapat kunyah dan telannya. Aku berikannya air dan dia minum dengan bersusah payah. Hati aku menjadi sayu melihat keadaannya.

Aku menunggunya sampai matahari naik sedikit. Kemudian aku ke bandar dan membeli pelbagai jenis ubat penyakit lembu. Barangkali perutnya ada cacing, kata pekedai. Aku pun membeli ubat cacing. Mungkin dia lumpuh, aku pun membeli juga ubat lumpuh. Agaknya ada bakteria. Aku pun membeli ubat membunuh bakteria. Aku tidak sedar telah berapa botol ubat yang aku beli demi Dogok.
Aku bergegas pulang dan terus ke kandang. Aku nampak Dogok terlentang semula seperti pagi tadi. Aku beri dia semua jenis ubat dan mulutnya seakan tersedak hendak menelan ubat yang kuunjuk ke dalam mulutnya. Lukanya yang bernanah dan busuk melehung aku cuci sebersihnya. Aku membelai kepalanya dan berdoa lagi supaya dia cepat sembuh.

Intimasi aku dengan Dogok terganggu. Isteriku melaung supaya menghantar anakku ke stesen bas untuk pulang ke universiti. Aku dengan berat hati terpaksa meninggalkan Dogok. Sepanjang perjalanan di dalam kereta kepalaku asyik terfikirkan Dogok. Ingatan anak aku supaya membelikannya komputer langsung aku tidak kuendahkan. Bagaimana kalau sakit Dogok terus melarat? Lebih teruk lagi bagaimana kalau dia mati?

Anak aku meminta wang untuk belanjanya di kampus. Aku menghulurkan padanya RM50 sahaja dan dia mencebik kecewa. Aku terus memandu dengan laju dan apabila sampai ke rumah, aku berlari ke kandang. Aku melihat Dogok terlentang semula. Aku mendekatinya dan merasa tiada denyut pada tubuhnya yang keras dan kaku. Semut-semut menghurung mata dan mulutnya yang terbuka. Dengan rasa yang amat pilu aku kaputkan matanya yang terbuka. Dogok sudah mati.

Oh Tuhan, mengapa?

Aku mengambil cangkul dan menggali lubang. Entah mengapa aku tidak berasa penat pula. Sambil menggali aku menyumpah-nyumpah pada pegawai jabatan haiwan yang tolol itu. Aku menyumpah pada pekedai yang mencadangkan aku membeli ubat yang bukan-bukan. Aku merungut pada isteri dan anak-anakku yang tidak faham akan sayangku pada binatang. Aku menarik tubuh Dogok dengan susah payah ke dalam lubang dan mengambus tanah. Selamat tinggal Dogok, bisikku perlahan. Ketika itu pelipis mataku mengalirkan air mata hangat.

***

Aku tidak tahu mengapa kematian Dogok ini begitu menyedihkan aku. Sampaikan aku tidak berminat lagi untuk menguruskan lembuku yang lain. Beberapa hari kemudian isteriku memaklumkan yang kubur Dogok telah digali babi hutan. Aku pergi ke kuburnya dan melihat tanahnya yang kucar dan bangkai yang berulat dihurung lalat. Sambil aku mengambus semula tanpa kusedar seekor lalat telah hinggap di kepala. Ia lalat lembu yang gigitannya boleh menghasilkan luka. Ku tampar lalat itu sampai ia mati.

Beberapa hari kemudian aku ditimpa penyakit. Mulanya aku berasa pening dan loya. Aku ke hospital dan meminta ubat. Namun ubat tidak memberikan kesan. Aku semakin tidak berdaya untuk berjalan dan hanya terlantar di atas tilam. Seleraku hilang dan tubuhku menjadi kurus. Malah aku tidak mampu bercakap dengan betul. Sepanjang aku sakit, isteriku tidak mengendahkanku sangat. Begitu juga dengan anak-anakku. Memang mereka ada usulkan untuk bawa aku ke hospital namun kutolak keras. Tapi tidakkah, dengan rasa tanggungjawab, patutnya mereka usung saja aku ke hospital? Memang aku ego dan menolak apabila mereka katakan mereka mahu bawa aku ke hospital, namun tidakkah mereka fikir bahawa penolakanku itu cuma sekadar satu protes kecil untuk menjungkitkan rasa prihatin dan sayang dalam hati mereka? Akhirnya aku terima saja yang aku ini tidak lagi perlu diambil peduli. Biarlah mereka tidak mau membawaku ke hospital. Lantaklah, aku sudah tak ambil kisah. Ada pula adik-beradikku yang melawat namun kedatangan mereka cuma menyakitkan hati aku. Apakah mereka sudah gila, sebelum aku mati lagi mereka membincangkan mengenai harta pusaka dengan isteriku. Apa hak mereka? Sampailah pada suatu hari mereka membincangkan tentang lembu. Kata isteriku dia hendak menjual lembu-lembu itu kerana tidak ada siapa yang hendak menjaganya lagi.

Aku berasa marah. Aku cuba bangkit namun terjatuh semula. Kesakitan tiba-tiba menyerang. Dadaku seperti sekah, nafasku tersekat dan aku tahu itu saat terakhirku di dunia.

***

Aku melihat tubuhku yang terbaring kaku berbalut kain putih. Isteri, anak-anak dan saudara-mara mengerumuninya sambil membaca yasin dengan kelopak mata berkaca-kaca. Aku berlalu ke belakang rumah. Aku melihat lembu-lembu yang kurus-kering dan tidak cukup makan memandangku dengan sayu. Melihat nasib mereka aku tiba-tiba menjadi sebak lalu menangis.

‘Untuk apa engkau menangis?’

Aku semacam terdengar gema suara itu. Datangnya dari lembu-lembu itu atau daripada bangkai Dogok yang sudah mereput?

Disunting oleh: Aisa Benasri

Photo by Rachel Lees on Unsplash

Artikel Lain Untuk Di Baca