CERPEN: Dating

Penulis: Zafirah Zapri

Sarah memandang dirinya sekali lagi depan cermin setelah hampir sejam bersolek. Dia melaram sakan hari ini. Biasanya nak pakai gincu pun malas bila rasa malas sangat. Sebelum keretanya keluar dari perkarangan rumah pun, sempat lagi dia membelek wajahnya di cermin sisi kereta sampai puas hati.

Lawa-lawa ni nak ke mana Sarah? Ke mana lagi jika bukan ke hati Helmi, lelaki yang dikenalinya menerusi laman Instakilogram. Lelaki itu yang mula-mula follow, menegur dan mendekatinya.

Pada mulanya Sarah jual mahal, diskaun pun dia tidak mahu beri kepada lelaki itu. Dia tidak mahu tunjuk murah seperti harga baju atau kasut yang ada jualan murah setiap hujung tahun.

Tapi, lelaki ini fighter. Perkataan putus asa memang ada dalam kamus Dewan namun tiada dalam kamus hidup seorang Helmi.

Mungkin itu yang mencairkan hati ‘aisberg’ Sarah yang selama ini membeku.

Bermula dengan salam atau ‘Hi awak’ daripada Helmi. Hari-hari tanpa jemu, mereka mula berkawan dan chit-chat di online.

Sarah stalk gambar-gambar Helmi yang hanya ada empat keping saja di profile. Dia jarang post. Berlainan dengan Sarah yang berada di depan cermin tandas awam pun mahu diberitahu kepada satu dunia maya. Handsome. Sweet talker. Misteri. Cukuplah menjadi sebab mengapa dia sukakan lelaki itu setakat ini.

Hari ini Helmi ajak date di Hundredbucks Coffee buat pertama kalinya setelah dua bulan berkawan di alam siber.

Sarah berasa sedikit berdebar, apa reaksi Helmi apabila melihat dirinya yang indah gambar dari rupa hasil makeup, filter dan photoshop?

Ah, biarlah. Dia cantik je… cuma cantiknya itu luar biasa dalam gambar. Fotogenik.

Sarah melangkah yakin masuk ke dalam kedai kopi paling hit dalam kalangan warga urban itu dan nampaknya dia sampai awal kerana kelibat Helmi masih belum kelihatan. Dia mengambil tempat duduk di meja paling hujung sekali agar lebih privasi.

***
Helmi tiba lewat sikit, dia baru lepas jumpa klien. Dia ternampak seorang gadis yang memakai tudung warna biru (Sarah kata dia pakai tudung warna dusty blue) yang sedang duduk membelakanginya berhampiran pintu masuk dan mula menegurnya.

“Ops, sorry, sorry… Salah orang.” kata Helmi, setelah mendapati muka gadis itu dengan Sarah tidak sama. Malu tapi macho tetap kena control, jadi Helmi menuju ke meja Sarah yang sebenar dengan selamba.

“Hi, awak. Dah lama sampai?”

Sarah yang sedang asyik skrol telefon pintar tergamam apabila melihat Helmi yang sedang menarik kerusi di hadapannya. Hi, handsome.

“Hi. Oh tak, tak… tak lama pun.” Adalah dalam setengah jam saya jadi penunggu di sini.

Setelah memesan minuman, mereka cuba berbual bagi membunuh masa. Janggal rasanya bila berbual muka ke muka begini berbanding dalam online. Atau sebenarnya Sarah yang malu-malu bila crush ada depan mata.

Sarah sempat tertanya sendiri, adakah ritma jantung mereka berdua senada? Di manakah kedudukan dirinya dalam carta hati jejaka ini…

Siapakah dia bagi Helmi?

“Awak, saya nak tanya something ni.” kata Helmi sambil memandang tepat ke wajah Sarah.

“Apa dia?” Jantung Sarah mula dub dub dub seperti tempo dubstep.

Adakah…Sarah, will you be my girl? OMG!

“Ni saya nak tanya, awak pernah dengar tak pasal penapis air COCO? Saya ejen sah COCO tau.” kata Helmi sebelum mengeluarkan risalah dan fail biru daripada beg galasnya.

Sedang Helmi asyik menerangkan produk-produk jualannya, sedarlah Sarah di mana zon dia berada kini. Customer-zone.

-TAMAT-

Artikel Lain Untuk Di Baca