Penulis: Hain Husna
Nama aku Elisa. Umur aku 22 tahun. Penuntut di sebuah universiti terkemuka di Kuala Lumpur. Setiap pagi sebelum pergi ke kelas selalunya aku akan keluar berjoging.
Pagi ini, aku keluar berjoging seperti biasa. Namun, hampa saja aku dapat bersama peluh dan penat. Senyuman di bibir pun tiada terukir. Entah kenapa, murung hari aku bila si dia yang aku dambakan, yang aku gelar sang atlet buta itu tidak muncul pagi ini seperti biasa. Ahh sudah! Mana nak cari semangat pergi kelas ni?
Oh ya, sang atlet buta tu ada nama. Nama dia Mikael bin Fikry. Tapi nama panggilannya ialah Mika. Kali pertama aku terpandangkan dia, jantung ini bagai terhenti, bibir tak henti-henti mengukir senyuman, jasad aku bagai terpaku umpama didendangkan muzik latar lagu Jampi nyanyian Hael. “Dan bila kau hadir bagai suatu misteri…” Cewahhh hahahaha!
Senyuman dia manis bak gula sampai cair bak aiskrim hati aku ni. Rambut dia menawan, berbadan sado tinggi lampai dan berkulit sawo matang. Ahh sudah, angau aku ni!
Selama sejam aku menunggu Mika, namun dia tak muncul-muncul. Puas aku dail nombor dia berkali-kali tetap tidak terjawab. Hati aku mula risau bertambah beban rindu dah ni. Aku pun terus berjoging sehingga jam 9.00 pagi. Rasa berat pulak hati ni nak pergi ke kelas pukul 10.00 pagi nanti dengan hati yang resah memikirkan Mika ni.
Aku tetap pergi ke kelas seperti biasa. Cuma kali ini dengan muka murung. Tiba tiba…
“Elisa ! Elisa ! Sang atlet kau si Mika tu kemalangan motor semalam, nasib baik tak cedera parah, sekarang dia ada dekat hospital.”
Zappp!
Jantung aku bagai nak gugur dan entah bila air mata aku turut gugur. Habis saja kelas, cepat-cepat aku ke hospital melawat Mika. Mujur dia cuma cedera sikit di kepala. Aku bawakan bubur nasi dengan air jus epal buat Mika.
Aku mula berkenalan dengan Mika apabila setiap pagi aku akan bawakan air botol yang sejuk dengan roti sandwich. Selalunya selepas dia berjoging, dia nampak keletihan dan memang dia jenis tak suka bawa bekalan air dan jarang bersarapan. Jadi, sejak aku tahu dia macam tu, setiap pagi aku akan bawa air sejuk dan roti sandwich untuk dia. Mujur dia terima dan kami mula berkawan. Hati aku mula berbunga-bunga. Mengharap dia sedar rasa cinta yang aku cuba hulurkan.
Begitulah permulaan aku dan Mika berkawan. Apabila teringat balik aku pasti tersenyum sendirian. Eh, mengelamun pulak aku! Lupa Mika sedang menanti makanan untuk sampai ke dalam mulutnya. Bubur tadi aku suap ke dalam mulutnya, diikuti air jus epal tadi.
“Terima kasih Elisa, susah susah je awak ni. Saya dah banyak kali susahkan awak. Mula-mula dulu awak kata awak rajin buatkan sandwich untuk saya setiap pagi sebab awak memang suka buat sarapan lebih. Saya terima je. Saya suka, sedap. Sekarang pulak awak sanggup jaga saya di hospital, siap bawakkan makanan lagi tu. Saya memang banyak terhutang budi dengan awak.”
“Tak susah pun. Lagipun saya gembira dapat lawat awak harini. Sebelum ni pun saya sangat bersenang hati dapat berjoging dengan awak dan dapat sediakan minuman serta sandwich untuk awak. Kalau diizinkan Allah selamanya pun saya sanggup buat begitu, sampai awak tua pun takpe oppss! Gurau je hehe.”
“Ahahahaha, pandai awak bergurau. Terima kasih, awak memang kawan yang sangat baik.”
Dalam hati aku kecewa bagai retak seribu. Dia anggap aku sebagai kawan je? Dasar atlet buta tak faham cinta yang aku cuba hulurkan. Ish!
Aku dan Mika semakin bertambah akrab selepas itu. Setiap kali dia dalam masalah, aku sedia menghulurkan bantuan. Gembira hati aku bila tengok dia gembira. Aku terus menjadi pendengar setia masalah dia dan kisah harian dia. Kadang-kadang tanpa sedar selalu aku bagi hint aku cintakan dia. Tapi dia macam blur dan asyik membuat lawaknya yang kadangkala hambar.
*Pada tahun akhir pengajian…
Sedar tak sedar, kini aku sudah berada dalam tahun akhir pengajian, begitu juga Mika. Hmm, begitu lama aku pendam cinta ini. Takkan Mika tak rasa apa yang aku rasa. Selama ni pun cuma aku perempuan yang dia rapat dan tidak pernah dia berahsia apa-apa dengan aku. Haih, Mika tu cuma tau bersukan dan berlari je. Memang dasar atlet buta. Buta tak melihat cinta aku!
Pagi ni aku tak kira, aku nak luahkan isi hati aku. Aku menunggu Mika. Tiba-tiba..
“Elisa!! I love you so much, i love you from the first time we met”.
Muka aku merah kerana malu. Seronoknya aku bagai bunga mekar setaman di hati.
Namun, tiba tiba.. “Elisa, saya dah ungkapkan ayat keramat itu kepada crush saya sejak zaman sekolah. Nama dia Elina. Selama ni saya pendam perasaan tu, dan cuba memahami perempuan apabila rapat dengan awak. Itulah satu-satunya rahsia yang saya simpan dan tiada siapa tahu kerana saya hanya mahu Elina orang pertama yang tahu. Akhirnya, saya berjaya mencuri hati Elina. Semua sebab awak. Terima kasih Elisa!”
Aku hanya tersenyum tawar dan lalu membalas,”Baguslah kalau awak dah bahagia dengan orang yang awak cintakan. Saya doakan kebahagiaan awak.”
“Terima kasih Elisa, saya sayang awak. Awaklah kawan baik saya yang memang terbaiklah!”
“Ye, kita tetap kawan. Awak pun kawan yang baik untuk saya.”
Aku berkata begitu walaupun air mata seakan mahu jatuh bercucuran bersama hati yang remuk.
*Setahun kemudian..
Aku sekarang sudah mula bekerja di sebuah syarikat penulisan sebagai editor. Aku gembira sekarang kerana telah berjaya melupakan cinta aku kepada Mika.
Kali terakhir aku bertemu Mika ketika konvo. Waktu tu, Mika kelihatan gembira menerima hadiah tamat belajar daripada Elina. Pada ketika itu, walau hati aku patah seribu, aku turut tumpang gembira melihat orang yang aku cintai bahagia.
“To love someone is to let him happy even its not with you kan?”
Kini, hati aku tidak mencintai sesiapa. Aku hanya mahu menunggu cinta sejati aku pada waktu yang tepat.
“The right one will come at the right time kan?”
Aku yakin Allah dah tetapkan jodoh yang baik untuk aku.
Mika pulak? Hmm, dengar khabarnya Mika dah putus dengan Elina kerana Elina tidak pernah memahami dia. Elina sering bersosial dan rapat dengan mana-mana lelaki tanpa memikirkan perasaan Mika. Aku hanya mampu ketawa ketika mendengar berita itu.
“Hahahaha! Tulah dulu kau tak pernah perasan cinta yang aku hulurkan, aku ada bila kau sedih, aku paham kau luar dalam tapi kau memang betul lah dasar atlet buta hahahaha! Mana pernah nampak cinta aku.”
Aku mengomel sendirian. Mujurlah cinta aku untuk Mika telah pudar. Ketika teringatkan Mika, sempat aku menulis sebuah puisi.
Lari,
Lari,
Lari,
Penat aku kejar,
Penat aku gegar,
Penat aku berlegar.
Dasar atlet buta,
Puas aku berlari ke arah kau,
Puas aku cuba gegarkan pintu hati kau,
Puas aku berlegar di tubir mata kau,
Dasar atlet buta,
Bikin aku yang berlemak padat,
Makin lelah mengejar kau,
Yang kau lihat,
Hanya dia yang sempurna.
Dasar atlet buta,
Usai aku penat,
Penat mengejar cinta kau!
Dasar atlet buta!