KONGSIKAN

Penulis: Kieraeinz

Bang!

Sebuah meja plastik patah akibat hempukan tangan gadis itu. Aku hanya mampu telan liur. Kulit putihnya memerah seperti udang masak.

“I said cancel it. Cancel it!” jerkahnya.

“Tapi Cik Lidiya ….”

No tapi-tapi. Saya nak cancel. He lie to me.” Butiran jernih yang ditahan tadi mengalir di pipi gebu Lidiya. Dia henyakkan punggung kuat sehingga berjaya mematahkan kerusi plastik itu.

Tergopoh-gapah pekerja-pekerja aku cuba menolongnya untuk berdiri. Aku bagi isyarat kepada salah seorang budak intern untuk hubungi pasangan Lidiya. Majlis makan malam untuk temu janji pertama mereka ini dirancang sendiri oleh pihak lelaki. Dalam rancangannya dia berhasrat untuk melamar Lidiya dengan ikhlas.

“Cik Lidiya.”

“Saya gemuk. Awak tengok saya ni. Saya gemuk. Dia tak. Saya hodoh. Dia tak. Saya tak layak untuk dia.” Tersedu-sedu Lidiya meluahkan perasaan. Usaha untuk mengangkat dia tidak berjaya. Lidiya hanya duduk terjelupuk di lantai.

“Apa kata dia?” soal aku perlahan. Aku hampiri Lidiya, aku usap bahunya perlahan.

Lama Lidiya diam. Air matanya makin laju mengalir. Tergeleng-geleng dia menjawab soalan tadi.

He love you. So much. Dia tahu Cik Lidiya macam mana dan dia tetap terima Cik Lidiya.”

“Tapi, dia tipu saya. Kenapa perlu dia bagi gambar orang lain. Saya ingat dia sama macam saya. Sama-sama gemuk, sama-sama hodoh. Saya dan dia tak layak untuk bersama.” Lidiya masih dengan keputusannya.

“Sebab dia tahu cik takkan terima dia kalau cik tahu yang dia kurus, tahu yang dia ada rupa. Tak semua pasangan perlu sama padan, sama cantik.”

“Awak cakap macam tu sebab awak cantik,” bidas Lidiya.

Aku tertawa kecil. Cantik sangat ke aku ni? Kalau cantik kenapa bukan lelaki hensem seperti pasangan Lidiya yang sukakan aku. Kenapa lelaki yang berupa biasa yang menjadi jodoh aku?

“Awak takkan faham apa yang saya rasa. Awak takkan faham perasaan orang gemuk macam saya. Dah banyak lelaki hensem pandang hina saya, saya ….” Lidiya kesat air mata. Dia pandang aku dengan pandangan redup, cukup sayu renungannya. Mungkin juga hatinya sudah banyak terluka.

“Saya memang tak faham perasaan cik tapi saya faham macam mana rasa cinta pasangan cik. Cinta kepada seseorang yang tak mahu membalas. You love him and he love you. Dia terima kekurangan cik dan cik kena terima kelebihan dia.”

“Kisah cinta ni takkan bertahan!” jerit Lidiya putus asa.

“Macam mana dengan kisah saya? Cinta saya masih lagi bertahan sampai sekarang.”

“Pasangan awak pun gemuk?” Soalan penuh naif itu berjaya menggeletek hati aku. Aku geleng perlahan.

“Pasangan saya dah tinggalkan saya. Dia pergi buat selama-lamanya. Saya menyesal sebab hingga ke saat- akhir saya tak ucapkan perkataan cinta kepada dia.” Aku ukir senyuman hambar. Rindu kembali membuak-buak dalam hati.

“Oh, saya minta maaf.” Lidiya kelihatan terkedu.

“Lidiya! Lidiya! Lidiya, saya minta maaf. Tolong jangan buat macam ni. Saya betul-betul cintakan awak. Saya terima awak dengan ikhlas. Tolong terima saya dalam hidup awak.” Kemunculan pasangan Lidiya secara mendadak mengejutkan aku dan dia. Merayu-rayu lelaki itu melutut memohon maaf.

Lidiya tertawa. Pandangannya menjamah anak mata aku. Dia tersenyum manis seraya mengucapkan terima kasih tanpa suara.

“Saya terima awak kalau awak berjaya angkat saya.”