Penulis: Miefa Mohar
“Hai. Fazrin. Boleh panggil Yin.”
“Mon.” Tangan berjabat. Aku kembali duduk di birai katilku sambil menyemak dokumen untuk temuduga pinjaman yayasan negeri keesokan hari.
“Buat apa?” dia bertanya sambil menyikat rambut menghadap cermin meja yang ditegakkan di atas meja belajarnya.
“Oh, tengah semak dokumen untuk temuduga esok saja.”
Suasana kembali sepi. Aku dengar dia bernyanyi-nyanyi kecil. Ku biarkan kerana boleh tahan sedap juga suara dia.
“Kalau ada nampak atau dengar benda yang pelik buat tak tau saja. Tau?”
Dahiku berkerut. ‘Ah sudah, saka apa pula dia bawa duduk bersama ni,’ getus hatiku.
“Janganlah takut. Hahaha.” Matanya masih memandang cermin dan terus menyisir rambutnya yang panjang melepasi paras bahu. Lama betul sikat rambut, fikirku.
“Kau jenis orang yang macam mana? Suka buat hal sendiri atau penyibuk? Berani atau penakut?”
“Aku rasa, err, aku jenis yang suka buat hal sendiri. Kenapa tanya?”
“Saja.”
“Kau ni buat aku takut saja.”
Dia tersenyum manis tapi aku seram sejuk melihatnya.
“Tak semua benda kita kena tahu.”
Malam itu, aku terdengar suara rakan sebilikku seperti berbual-bual. Mungkin berbual dengan teman lelaki agaknya. Bukankah menjadi suatu kebiasaan anak muda berbual bersama pasangan hingga lewat malam? Aku membiarkan saja. Aku terjaga kerana ingin ke tandas. Menyedari kehadiranku, perbualannya terhenti seketika. Mungkin tidak mahu aku mendengar perbualannya.
Aku menuju ke tandas untuk melangsaikan hajatku dan segera menyambung tidur apabila kembali dari tandas untuk mengelakkan dia berasa terganggu. Sekali lagi, dia berhenti berbual apabila aku membuka pintu bilik. Aku berbaring membelakangkan katilnya dan menghadap tingkap di sebelah kiriku. Suaranya kembali kedengaran berbisik perlahan.
‘Aduh, mata ini tidak mahu lelap pula,’ keluhku.
Aku terkebil-kebil menatap dada langit yang gelap menerusi tingkap yang sengaja tidakku tutup. Biar angin bebas keluar masuk sesukanya. Tiba-tiba, terdengar esakan kecil dari katil sebelah. Aku mematungkan diri buat beberapa saat sebelum cuba untuk menegur Mon.
“Mon?”
Diam.
“Kau okey?”
Diam.
“Maaf ganggu. Aku tidur dulu.” Lantas aku menyelubungkan seluruh tubuhku dengan selimut. Fikiranku mula menerawang berfikir yang bukan-bukan. Bagaimana kalau itu bukan Mon? Bagaimana kalau Mon memang tidak pernah wujud dan rakan sebilikku sebenarnya merupakan hantu?
Terpengaruh dengan kisah-kisah hantu yang sering disogokkan dan menjadi bahan bacaan kegemaranku, otakku menayangkan imej-imej yang menakutkan sekaligus menganggu keharmonian mindaku untuk menyambung tidur. Dalam ketakutan dan kerisauan, mataku kembali terlelap.
Pagi itu, sewaktu aku bangkit dari tidur, Mon tiada di katilnya. Ku lihat bakul barang mandinya juga tiada. Mandi agaknya. Aku sekadar meregangkan tubuh dan mengambil udara pagi dari birai tingkap yang terbuka. Pintu terbuka dan Mon melangkah masuk dengan rambut basah dan wajah yang segar. Tidak sembab seperti orang yang menangis semalaman.
“Mon, aku nak tanya sikit. Boleh?” Aku memberanikan diri untuk mengorek asbab mengapa dia menangis malam tadi. Boleh tahan penyibuk aku ni.
“Aku okey saja. Jangan risau. Atau, patut aku katakan jangan menyibuk?” nadanya mendatar dan langsung tidak memandang mukaku. Aku serba salah.
“Kau kata kau jenis suka buat hal sendiri. Kenapa menyibuk?” Belum sempat aku bersuara, dia bertanya lagi.
“Memanglah aku suka buat hal sendiri. Tapi, kalau kau ada masalah, aku ada untuk tolong.”
“Ada aku minta tolong kau?” Dia sedang menyikat rambutnya yang lembab di hadapan cermin di atas mejanya.
“Baiklah, aku minta maaf. Salah aku.”
“Aku dah kata. Tak semua benda kita kena tahu.” Aku mengangguk faham dan cuba menanamkan ayat itu dalam otak agar selepas ini aku tidak menyibuk lagi. Aku duduk di atas katil sambil memerhatikan dia menyikat rambut. Hampir 30 minit aktiviti itu masih tiada tanda akan berhenti. Aku yang masih belum mencuci muka atau memberus gigi, kembali tertidur.
Beberapa hari selepas itu keadaan normal. Mungkin kerana aku tidak berjaga malam jadi aku tidak tahu apa jadi dengan rakan sebilikku ini. Tapi, hari ini perkara yang aneh berlaku. Aku baru pulang dari kelas. Mon ada di dalam bilik dan sedang duduk di meja belajarnya sewaktu aku pulang. Dia sedang menghadap cermin saktinya itu. Itu tidak pelik. Yang peliknya, dia bercakap dengan cermin itu!
Pada mulanya aku tidak mengendahkannya. Mungkin dia berbual di telefon menggunakan alat pendengar. Tapi setelah ku lihat telefon bimbitnya berada di atas katil dan tidak bersambung dengan wayar alat pendengarnya dan juga di telinganya tiada sebarang peranti yang membolehkan anggapanku ini masuk akal, aku terkedu.
Takkanlah dia berbual dengan cermin? Dia waras atau tidak sebenarnya? Perbualannya tidak terhenti-henti seperti sebelum ini apabila menyedari kehadiranku. Dia terus asyik ‘berbual’ dengan cermin sakti itu seolah-olah menceritakan tentang harinya pada seseorang. Aku cuba untuk mengusir fikiran itu dengan mengulang-ulang ayat “tak semua benda kita kena tahu” yang telah dua kali diingatkan oleh Mon.
Rutin itu berlangsung setiap hari dan aku sudah mulai lali. Aku tidak lagi punya keinginan untuk membuat andaian yang bukan-bukan. Aku anggap saja dia sedang mempraktikkan skil komunikasi atau latihan untuk mengurangkan gugup ketika berucap di hadapan orang ramai. Sekurang-kurangnya, itulah cadangan yang keluar ketika aku mencari ‘sebab orang gemar bercakap dengan cermin’ di Google.
“Hujung minggu ni aku tidur rumah mak saudara aku tau.” Sambil aku berfikir mengenai keanehan perangai rakan sebilikku ini, ku lihat dia sudah pun bersiap-siap untuk keluar.
“Oh baiklah. Balik semula hari apa?”
“Pagi Isnin sebab aku tiada kelas pagi itu.”
“Hati-hati.”
“Tak. Kau yang kena hati-hati.” Aku terkedu. Apa maksud dia?
“Aku gurau saja. Bye!” Dia tersenyum manis sebelum menutup daun pintu. Aku tergamam. Betulkah dia bergurau saja? Seram sejuk pula terasa.
Hari Sabtu itu aku mengajak rakan sekelasku untuk tidur bersamaku di bilik sehingga malam Ahad. Ini semua kerana pesanan Mon yang meragukan itu membuatkan aku jadi seorang yang penakut. Namun, awal pagi Ahad itu rakanku terpaksa balik kerana terdapat hal keluarga. Maka, tinggallah aku keseorangan. Untuk mengelakkan kebosanan dan fikiran yang bukan-bukan datang menghantui, aku bergotong-royong mengemas bilikku.
‘Nak bersihkan sekali ke tempat Mon ni eh? Ah bersihkan saja lah! Apa salahnya.’ fikirku. Sambil aku menyapu lantai di bawah meja Mon, sikuku terlanggar cermin sakti Mon yang berdiri megah di atas meja. Bunyi kaca berderai. Aku tergamam. Batang penyapu perlahan-lahan melorot dari tanganku. Apabila batang penyapu menyentuh lantai, aku terkejut.
“Ya Allah, dah pecah. Macam mana ni? Macam mana aku nak jawab nanti bila Mon tanya? Matilah aku. Ya Allah, tolong aku.” Kelam kabut aku mengutip serpihan cermin yang besar lalu meletakkannya di atas meja dan menyapu serpihan halus dengan penyapu. Bimbang melukakan tapak kaki. Selesai membersihkan lantai tempat kejadian dengan kain basah untuk pembersihan maksima, aku terduduk di atas kerusi Mon.
“Dah lah Mon sayang sangat kat cermin ni. Apa aku nak buat ni? Mana aku nak cari ganti?” sambil aku berfikir, aku memandang bingkai yang kini lompong tanpa cerminnya. Tiba-tiba aku perasan satu perkara mengenai cermin sakti Mon.
“Cermin dia ni bukannya istimewa sangat pun. Macam boleh beli kat MR.DIY saja. Aku nak cuba cari dulu kat sana.” Lalu aku segera bersiap dan keluar untuk mencari cermin yang serupa di kedai MR.DIY yang terletak berdekatan kampus kami.
‘Fuh, jumpa pun. Nasib baik. Eh Alhamdulillah.’ omelku sendiri dalam hati. Aku menolak pintu bilik selepas memasukkan kunci. Aku terkedu. Mon dah balik! Dia sedang duduk di kerusi meja belajarnya sambil menundukkan kepala.
“Err Mon, aku boleh jelaskan. Tadi aku…” Belum sempat aku menghabiskan kata-kataku, Mon memotong percakapanku.
“Kau pecahkan cermin aku.”
“Aku minta maaf, Mon. Aku sapu tempat kau tadi dan siku aku terlanggar cermin kau. Maaf, Mon. Ni, aku ada beli yang baru untuk gantikan cermin kau.” Aku menghulurkan beg plastik berwarna putih itu kepada Mon. Mon hanya merenung tajam. Bukan pada beg plastik itu. Tapi pada aku. Seram sejuk aku rasakan.
“Kau tau tak cermin itu penting pada aku?” Merah muka Mon menahan marah. Nada suaranya tertahan tahan.
“Ya, aku tahu Mon. Tapi aku tak sengaja. Maafkan aku, Mon.” Suaraku bergetar, menahan tangis. Aku sangat risau sekarang.
“That was the only thing my mom left me with! Orang kata muka aku macam muka mak aku. Sebab tu aku selalu bercakap dengan cermin itu. Seolah-olah aku bercakap dengan mak aku. Mak aku orang miskin. Waktu orang kemas rumah aku, aku cuma sempat ambil cermin ni saja. Memang cermin ni nampak biasa pada kau. Boleh beli kat MR.DIY. Tapi nilainya tak sama dengan harga. Nilainya jauh lebih tinggi. Dan kau, kau takkan faham.” Mon teresak-esak menangis.
Sekali lagi aku tergamam. Aku kelu. Tak tahu apa yang patut aku buat. Selama ini aku salah faham terhadap Mon. Aku sangkakan dia mempunyai saka atau susuk sehinggakan dia gemar bercakap depan cermin. Mungkin ini adalah satu pengajaran buatku supaya jangan memandai-mandai dan berfikir yang bukan-bukan.
“Ini satu-satunya cara aku boleh rasa dekat dengan mak aku. Cermin ini adalah cermin saktiku.”
* Anda mahu tulisan anda disiarkan untuk bacaan umum di portal I AM LEJEN? Emelkan tulisan anda ke [email protected]. Karya yang layak akan disiarkan berserta kredit kepada penulis.