CERPEN: Cerita Tentang Kau Dan Aku

Yay, we found you a driver

Afiq Khalid 
*****
XYZ 123 Perodua Myvi
GrabCar

Wajah aku berona merah seperti udang panggang madu saat melihat nama kau yang tertera di skrin telefon pintar, menyahut panggilan yang ke-8 sementelah pemandu-pemandu Grab lain asyik ‘busy’ dan menolak tempahanku.

” HAHAHAHA.” Keluarga aku ketawa lucu bila tahu pemandu yang akan menjemputku adalah kau setelah hampir 10 tahun kita tidak bersua. Ya, mereka tahu tentang perasaan aku terhadapmu dan kisah silam kita. Kata orang, kalau keluarga tahu tentang diri seseorang itu, maksudnya dia penting dan namanya sering disebut-sebut.

Pernah cuba move on. Hampir berjaya tapi mengapa kau muncul semula melalui aplikasi serba hijau ini.

Kiriman mesej teks darimu berbunyi ‘Tunggu kejap ya. Saya on the way.’ Afiq, aku pernah tunggu kau selama 10 tahun. Setakat 10 minit apa ada hal.

Your driver has arrived.

Akhirnya kau tiba di pekarangan rumahku dengan kereta berwarna silver bagai knight in shining armor yang gagah perkasa. Kalau bawa kereta sorong sekalipun, aku tetap sudi naik.

“Hai.” sapaku setelah membuka pintu kereta dan mengambil tempat duduk diikuti adik-adikku yang turut menjadi penumpang. Maaf, aku duduk belakang bukan sebab mahu tunjuk lagak ‘Mem’ Besar tetapi ada rasa malu dan kurang manis bila kita berdua duduk bersebelahan begitu. Lagipun aku tidak mahu sampai kau boleh dengar paluan jantungku yang seperti gendang perang. Perkara pertama yang dilihat adalah jari jemarimu di stereng yang masih belum bersarung cincin.

“Oh, hai. Agak dah, it’s you.” kata kau memandang sejenak ke belakang sambil tersengih. Cute.

Kita mula pecahkan atmosfera kekok itu dengan berbasa-basi dan berbual seperti sudah lama kenal. Memang dah lama kenal pun tetapi momen ini baru datang sebab semasa zaman sekolah dulu aku malu nak bertegur sapa dengan kau dan setakat berani memandang dari jauh, sebelum melarikan pandanganku ke siling, dinding atau kipas bila tiba-tiba mata kita beradu.

Kereta mula bergerak perlahan sehingga tiba di persimpangan jalan dan kau tanya mahu pilih jalan mana satu ni.

“Ikut awak la.” Ke bulan pun kusanggup ikut kau asalkan berniat baik. Lagipun aku ada bawa dua orang bodyguards (adik-adik) yang perhatikan saja kita.

Kau pilih route jalan paling jauh sekali bagi mengelak kesesakan trafik dan kita sambung berbual dari topik mengarut sehinggalah serius seperti masalah susah dapat kerja. Kau berkisah perihal diri, pengalaman sewaktu belajar di luar negara dan menjadi pemandu Grab.

Dan aku, mendengar apa saja yang terlontar dari mulutmu sambil bertanya itu ini agar kau terus bercerita.

Sesekali kau bertanya tentangku. Kau tahu aku menulis. Tapi tak pernah tahu siapa yang pernah menjadi ilham dalam salah satu lembaran karyaku.

Siri cerita tentang kau itu menemui episod akhir apabila destinasi yang dituju kunjung tiba.

“Jumpa lagi.” kata kau sambil memandang tepat ke arahku bersama segaris senyuman usai aku membayar tambang sebelum menutup pintu kereta.

Kalaulah senyuman manis dan kata-katamu itu boleh disimpan di dalam botol sos cili, sudah lama kulakukan kerana aku juga mengharapkan perkara yang sama iaitu pertemuan seterusnya dengan restu Ilahi.

Kereta kau mula meluncur pergi untuk mengambil penumpang lain. Aduhai Afiq, bila agaknya dirimu boleh peka yang kau telah grab hati aku? Sinaran matamu tidak pernah gagal menembusi hati ini.

Artikel Lain Untuk Di Baca