CERPEN: Banglo Lot 54

Penulis: Zaf

Pemandu kereta Sapu. Itulah kerja baru Faiz sejak diberhentikan kerja bulan lepas. Keadaan ekonomi negara yang sedang kucar-kacir sekarang menyebabkan syarikat tempat kerjanya gulung tikar. Ramai yang hilang punca pendapatan termasuk Faiz.

Namun, hidup perlu diteruskan. Dia cuba mencari kerja baru yang setaraf dengan ijazahnya tetapi ramai bakal-bos-tak-jadi yang berkata ‘NO’ kerana mereka juga mahu merendahkan kos operasi dan tenaga pekerja. Mungkin belum rezekinya lagi. Alternatif lain, bawa Sapu, e-hailing car tersebut.

Mengenangkan mulut-mulut anak bini yang perlu disuap, Faiz tetap berusaha mencari duit bagi memastikan dapur rumahnya terus berasap. Dia bekerja dari pukul lapan pagi hingga lapan malam. Kadang-kadang dia buat overtime hingga 12 malam. Duit masyuk namun sejak ramai yang menjadi pemandu Sapu sepertinya, saingan makin sengit dan dia perlu kerja kuat. Kereta makin lama makin hancur namun apa lagi pilihan yang dia ada buat masa ni?

Pelbagai ragam penumpang mewarnai kehidupannya sebagai pemandu Sapu. Ada yang baru pulang dari kelab malam dalam keadaan mabuk-mabuk (mujur tak muntah dalam keretanya) dan merapu bukan-bukan. Ada yang tiba-tiba tak cukup duit nak bayar. Ada yang tiba-tiba cancel booking bila Faiz dah sampai. Macam-macam lagilah. Setakat ni, mujur tiada kejadian yang membahayakan dirinya dan dia masih selamat.

Namun ada satu insiden yang dia tidak boleh lupa…

Pada suatu malam, nama ‘Puteri’ tertera di apps Sapu. Dalam masa lima minit, dia sampai ke banglo Lot 54, lokasi tempahan penumpang itu.  Seorang gadis yang memakai gaun putih membuka pintu keretanya dan mengambil tempat duduk di belakang.

“Nak pergi Taman Kenanga ya Cik?”

“Ya.” balas gadis itu sepatah.

Selepas mendapat pengesahan daripada penumpangnya, Faiz pun menekan minyak dan kereta pun bergerak menuju ke destinasi. Memandangkan dia tidak tahu jalan hendak ke Taman Kenanga yang dimaksudkan, dia hanya mengharapkan Waze sebagai memandu arah. Ah, jalan je la.

Dalam kereta, hanya gelak ketawa DJ yang annoying dalam radio memecahkan suasana sunyi. Tiba-tiba gadis itu ketawa.

Faiz hanya mendiamkan diri kerana dia pun sudah penat seharian dalam kereta. Mungkin gadis ini penumpang terakhir untuk malam itu dan lepas ini dia akan pulang ke rumah.

Entah kenapa Faiz berasa bulu romanya terpacak meremang namun dia malas melayan perasaan seram itu. Gadis itu pun lain macam kerana asyik ketawa. Tak kisahlah, hantu atau orang, yang penting gadis itu mempunyai duit untuk membayar tambang.

Tiba-tiba bau busuk menyapa hidung Faiz lalu dia terus membuka tingkap kereta. Faiz mahu bertanya adakah gadis itu terhidu bau yang sama tetapi tidak jadi kerana gadis itu hanya tunduk membisu.

Kereta yang mereka naiki melalui sebuah kawasan perkuburan. Faiz memandang cermin sisi kereta belakang dan alangkah terkejutnya dia apabila mendapati gadis itu tiada! Dia menekan brek secara mengejut kerana memang terkejut pun. Dia tidak berani melihat ke belakang kerana teringat filem seram ‘Jangan Lihat Belakang’ yang pernah ditontonnya dulu.

Setelah reda sedikit rasa terkejut, Faiz menekan minyak dan keretanya terus melepasi kawasan perkuburan itu. Tiba-tiba gadis itu muncul semula di tempat duduknya tetapi ada darah pula di sekitar mukanya.

‘Tak boleh jadi ni’. getus hati Faiz. Dia memberhentikan kereta di pinggir jalan dan menyuruh gadis itu turun.

“Kenapa encik? Tak sampai lagi ni, kenapa dah suruh saya turun?”

“Awak ni hantu ke orang? Seram tengok awak ni. Asyik ketawa, bau busuk, dengan muka darah-darah macam tu. Tak pernah lagi berlaku sepanjang saya jadi driver ni tau.”

“Oh, encik ingat saya hantu ke? Macam ni lah encik, saya ketawa sebab lawak bodoh dalam radio tu dan bau busuk tadi pula sebab saya kentut tapi saya malu nak mengaku. Lepas tu ada darah kat hidung saya ni sebab sebenarnya tadi saya tengah tunduk korek hidung tiba-tiba encik brek mengejut pula.”

Faiz menepuk dahinya ketika itu juga dan memohon maaf kepada gadis tu kerana tersilap faham. Kesian pula kalau tinggalkan gadis yang bernama Puteri itu seorang diri malam-malam di tepi jalan itu. Dia pun hantarlah gadis itu sampai destinasinya.

“You have arrived at your destination.” kata Waze tersebut.

Biar betul Waze ni, memanglah sampai Taman Kenanga tapi, err kenapa patah balik ke banglo Lot 54? Kenapa aku tak perasan tadi? Kena pukau ke apa.” Faiz tertanya-tanya sendirian.

Puteri menghulurkan tiga keping not seringgit kepada Faiz kerana gadis itu menggunakan kod promosi jadi murahlah sikit tambang.

Puteri keluar menutup pintu kereta. Bila Faiz melihatnya, tengok-tengok gadis itu sudah lesap. Baru dia perasan, banglo Lot 54 tu rupanya sudah usang dan terbiar. Dompet dicapainya. Tiga ringgit jadi tiga helai daun?

Faiz menepuk dahinya sekali lagi. “Come on la, tiga ringgit je kot… itu pun nak bayar pakai daun ke.”

Sebelum pulang, dia mencampak daun-daun itu keluar tingkap kerana tidak mahu benda bukan-bukan mengikutnya sampai ke rumah. Dia ada tiga orang anak yang masih kecil.

 

 

Artikel Lain Untuk Di Baca