“Putihhh, pergi masak nasi. Aku lapar!”
Bawang Besar bercekak pinggang di hadapan anak tirinya, Bawang Putih yang sedang menyental periuk di dapur. Manakala anak daranya yang seorang lagi, Bawang Merah pula sedang sedap tidur terbongkang di dalam bilik walaupun matahari sudah berdiri tegak atas kepala.
“Baiklah, mak cik.” Putih segera menyahut arahan wanita yang dipanggilnya mak cik Bawang itu. Begitulah nasib si gadis yatim piatu bernama Bawang Putih Binti Serai. Dia sering diperlakukan seperti Bibik tanpa gaji di dalam rumah kayu itu.
Ayahnya meninggal dunia setelah jatuh sakit disengat ikan sembilang. Kemudian ibunya yang merupakan isteri pertama, Mak Labu pula menyusul pergi meninggalkan Putih kerana terjatuh dan mati lemas dalam tasik. Kata mak cik Bawang, dia berusaha menyelamatkan Mak Labu namun sudah terlambat.
Tinggallah Putih bersama ibu dan adik tirinya yang berlagak seperti Puan Besar di situ. Tapi Putih tak kisah sebab dia tidak punya sesiapa lagi. Mereka berdua itu sajalah keluarga yang dia ada.
Kemunculan Ikan Kaloi
Pada suatu hari, Putih pergi ke tasik untuk mencuci pakaian. Dia ternampak seekor ikan kaloi yang sedang menganga mulutnya di permukaan.
“Hai ikan, kamu lapar ya? Ini aku ada bawa nasi melukut sayur keladi. Nah, makanlah sikit…” kata Putih sambil menabur bekalan nasi yang dibawanya. Ikan itu menelan rakus rezeki yang jatuh dari darat.
Sejak itu, ikan kaloi sering muncul setiap kali Putih datang ke situ. Ikan itu bagaikan diari bernyawa yang menjadi tempat Putih bercerita, mengadu tentang keluarga tirinya dan mencurahkan rasa.
Perlakuan Putih itu diintai oleh sepasang mata di sebalik semak.
Jadi Lauk
Merah tersenyum sinis. ‘Oh, dekat sini rupanya kau membawang. Siap kau. Nanti aku report dekat ibu.’ Lantas dia bangkit dari persembunyiannya dan berlari anak pulang ke rumah.
Dia menceritakan dari A sampai Z bagaimana Putih bercakap dengan ikan. Dua beranak itu merancang untuk merampas kebahagiaan si Putih waima sekecil perkara.
Petang esoknya, Merah dan mak cik Bawang pergi ke tasik untuk tangkap ikan kaloi itu semasa ketiadaan Putih. Dipendekkan cerita, akhirnya ia berjaya ditangkap berumpankan nasi melukut sayur keladi ditabur-tabur dalam tasik.
“Putih, malam ini biar mak cik yang masak. Lepas tu kita makan sama-sama.” kata mak cik Bawang sambil tersenyum penuh makna.
Putih berasa sedikit hairan mengapa layanan mereka tiba-tiba begitu baik sekali. Mungkin mereka sudah insof dan mahu berbaik dengannya. Menu istimewa makan malam itu adalah ikan kaloi goreng berlada.
Rahsia Terbongkar
Usai makan, mereka dua beranak masuk ke dalam bilik. Setelah mengemas tempat makan, Putih mahu keluar untuk membuang sampah. Semasa lalu di sebuah bilik, dia terdengar perbualan antara mak cik Bawang dan Merah:
“Sebenarnya senyap-senyap ibu yang tolak Labu jatuh ke dalam tasik tu masa dia tengah basuh kain.”
“Entah-entah ikan kaloi yang kita makan tadi tu jelmaan Mak Labu tak? Euwww.”
“Hahahaha! Nasib kaulah Labu.” kata Bawang dengan penuh kejam dan dua beranak itu ketawa jahat.
Putih tergamam dan seakan enggan percaya mendengar butir-butir percakapan dua beranak itu. Empangan air matanya pecah sebelum mengalir ke pipi. Dengan sisa tenaga yang masih ada, dia berlari sambil membawa tulang ikan kaloi itu pergi ke suatu tempat, tepi tasik yang sering dikunjunginya.
“Mak, Mak, Mak!” Putih terduduk menangis semahu-mahunya dan meratap hiba, memanggil emaknya yang sudah tiada setelah menguburkan tulang ikan itu dengan cara terhormat.
Gadis malang itu menangis, menangis dan terus menangis sehingga tertidur kerana keletihan, bertemankan cahaya rembulan.
Di alam mimpi, Mak Labu datang mengusap lembut pipi anaknya dan mereka berpelukan hiba. “Jangan risau, sayang kerana Tuhan selalu bersama orang yang sabar. Tiba masanya, Dia mengirim seseorang untuk datang menghapuskan air matamu.”
Di Istana
Seorang raja yang masih muda dan bachelor merenung bulan yang sama dari jendela kamar peraduan. Entah mengapa hatinya berasa pedih dan sayu, seolah-olah sakit merindui seseorang. Tapi siapa?
Di Tepi Tasik
Putih terjaga dari tidur sebaik cahaya mentari menyuluhnya dari balik kanopi pokok teduhan. ‘Aik, sejak bila ada pohon-pohon setinggi ini di sini?’ Putih yang kehairanan itu bermonolog sendiri apabila melihat dua batang pokok besar yang meneduhi gadis itu.
Kemudian Putih terpandang buaian cantik lengkap dengan hiasan flora terikat pada dua batang pokok besar itu. Dia naik ke atas buaian tersebut dan mula bersenandung.
Laju… Laju… Buaiku laju..
Ajaibnya, buaian itu berayun sendiri mengikut alunan suara buluh perindu si Bawang Putih. Itulah salah satu cara sang gadis berhibur kerana Facebook, Netflix dan Spotify masih alien pada zaman itu.
Tanpa disedari, nyanyiannya yang asyik itu sampai ke deria pendengaran rombongan diraja yang berburu di kawasan itu.
Bakal Bersambung…