CEO FINAS Ahmad Idham Bakal ‘Direhatkan’, Warganet Anggap Berita Ini Sebagai Perkara Baik

Beberapa minggu lalu, Ahmad Idham Ahmad Nadzri yakni Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menimbulkan kontroversi apabila beliau memberi cadangan supaya kandungan Netflix perlu ditapis sebelum mengumumkan platform penstriman baru buat media tempatan yang diberi nama Aflix.

Semenjak dari itu, beberapa khabar angin telah tersebar menyatakan bahawa Ahmad Idham bakal ‘direhatkan’ dari jawatannya di FINAS.

Perkara itu akhirnya disahkan oleh Ahmad Idham sendiri pada Selasa lalu dalam perhimpunan bersama pegawai dan kakitangan FINAS. Menurutnya, dia akan mula bercuti pada minggu hadapan selama tiga bulan.

Walau bagaimanapun, sumber dalaman telah memberitahu portal berita Astro Awani bahawa kedudukan Ahmad Idham kini ibarat telur di hujung tanduk dan jawatannya sebagai CEO FINAS berkemungkinan besar bakal digantikan dengan individu lain.

“Berdasarkan situasi masa kini, sepertinya Ahmad Idham tidak akan kembali lagi ke FINAS selepas bulan Mac tahun hadapan. Alasan yang diberikannya adalah kerana mahu menyelesaikan urusan peribadi. Namun, jawapan Ahmad Idham itu mencetuskan pelbagai soalan,” ujar sumber dalaman FINAS kepada Astro Awani.

Ketika dihubungi Astro Awani dan disoal mengenai spekulasi bahawa perkhidmatannya sebagai CEO bakal ditamatkan, Ahmad Idham membalas dia hanya menyerahkan segalanya kepada pihak berkuasa.

“Ada baiknya, kalau kita sama-sama nantikan pengumuman daripada pihak yang berkuasa. Biarlah saya bercuti seketika, selepas bulan Mac, Insya-Allah kita akan berjumpa lagi,” kata Ahmad Idham, 45.

Meskipun begitu, perkhabaran mengenai isu Ahmad Idham ini sepertinya disambut baik oleh warganet di laman Twitter.

https://twitter.com/fahmi_8989/status/1202558853969104897?s=20

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca