Cemburu Punya Pasal, Lelaki Ini Belasah Teman Lelaki Bekas Kekasih Sampai ‘Lunyai’

Gara-gara cemburu melihat bekas teman wanita bersama dengan lelaki lain, seorang lelaki ditemani dua orang rakannya bertindak menyerang kekasih baru wanita itu dengan parang. Kejadian ini berlaku di tepi jalan berhampiran Plaza Tol Gombak, Gombak pada Ahad.

Dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 1.05 pagi itu, mangsa berusia sekitar 20-an bersama dengan teman wanitanya berusia 21 tahun sedang menaiki kereka hendak menuju ke Genting Highlands bersama sepupu wanita tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak iaitu Asisten Komisioner Samsor Maarof, sekitar jam 2.30 pagi di mana sewaktu itu wanita berkenaan tertidur di dalam kereta, dia dikejutkan sepupunya memberitahu teman lelakinya diserang tiga orang lelaki yang menaiki sebuah kereta.

Difahamkan, suspek menghampiri kereta dipandu mangsa sewaktu dia berhenti untuk membuang air kecil di tepi jalan berhampiran Plaza Tol Gombak.

“Wanita itu kemudian melihat mangsa diserang dua orang suspek bersenjatakan parang manakala seorang lagi menunggu di dalam kereta.”

“Wanita itu mengecam salah seorang suspek yang juga merupakan bekas teman lelakinya,” katanya.

Ujar Samsor, suspek bertindak melarikan diri selepas selesai membelasah mangsa. Pada masa yang sama, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa luka dan terdapat serpihan kaca di kepala, patah tangan kanan serta patah kaki kiri.”

“Motif kejadian adalah disebabkan cemburu apabila suspek melihat bekas kekasihnya bersama teman lelaki baru,” katanya.

Tambah beliau, mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di zon kecemasan HKL dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca