Adanya garisan hitam atau berwarna gelap yang menegak dari kawasan bawah pusat sehingga ke bahagian kemaluan ini amat sinonim kepada wanita hamil.
Garisan yang dipanggil sebagai linea alba ini kebiasaannya muncul pada usia kehamilan 23 minggu atau trimester kedua. Apabila garisan semakin jelas dan berubah menjadi warna gelap, ia dikenali sebagai linea nigra.
Berikut kami kongsikan tentang lima perkara yang perlu ibu tahu mengenai garis hitam sewaktu kehamilan:
1. Penentu jantina bayi
Orang dahulu gemar mengaitkan garis hitam pada perut ibu hamil sebagai cara untuk menentukan jantina bayi dalam kandungan mereka. Menurut telahan mereka, si ibu akan mendapat anak perempuan jika garis hitam itu berhenti hingga sampai ke pusat. Sekiranya garis hitam itu berada sehingga atas perut iaitu abdomen, kebarangkalian si ibu memperoleh zuriat lelaki adalah sangat tinggi.
2. Muncul akibat perubahan hormon
Hormon yang aktif sewaktu hamil bukan sahaja berperanan untuk menyokong perkembangan bayi, namun ia berfungsi dalam menghasilkan susu badan.
Dalam kes ini, hormon estrogen yang hadir akan merangsang hormon lain lalu menghasilkan hormon melanocyte-stimulating. Hormon ini berperanan membuatkan kulit ibu mengandung kelihatan lebih gelap.
Maka, tidak hairanlah jika terdapat bahagian lain yang turut menjadi semakin gelap ketika mengandung. Contohnya, leher, pelipat dan kawasan sekitar areola.
3. Kekurangan asid folik
Garisan hitam terjadi kerana kekurangan asid folik dalam tubuh si ibu. Oleh itu, pengambilan vitamin asid folik yang dipreskripsikan oleh doktor harus diambil. Ini kerana asid folik amat penting untuk perkembangan janin, mengelakkan kecacatan pada bayi dalam kandungan dan menjaga kondisi kulit ibu yang hamil.
4. Waktu garis hitam menghilang
Tahukah anda? Garisan serta pigmentasi ini hanya bersifat sementara. Menurut kajian, ia akan pudar dan hilang selepas beberapa bulan bersalin. Jadi para ibu tidak usah khuatir tentang garisan ini kerana ia sama sekali tidak memudaratkan diri dan bayi dalam kandungan.
5. Cara untuk menghilangkan garis hitam
Linea nigra tidak boleh dihilangkan dengan begitu mudah kerana memerlukan tempoh yang agak lama. Namun begitu, terdapat beberapa cara sebagai inisiatif untuk menghilangkan garisan ini.
Para ibu digalakkan untuk menggunakan gel atau krim yang mengandungi sumber semulajadi seperti cocoa butter atau vitamin E. Amalan ini bukan sahaja dapat memudarkan garisan hitam, malah mampu mengurangkan tanda regangan pada permukaan perut si ibu.
Kesimpulannya, para ibu tidak perlu risau lagi tentang garisan hitam yang muncul pada permukaan perut. Ini kerana garisan tersebut menjadi suatu kebiasaan yang harus dialami oleh setiap wanita hamil. Maka, nikmati setiap detik indah sewaktu tempoh kehamilan yang semestinya akan anda rindukan suatu hari nanti.
Penulis