Cawangan Family Mart, Sushi King Dan 3 Jenama Lain Bakal Dibuka Di R&R Terpilih

Sememangnya kawasan rehat dan rawat (R&R) dibina untuk memudahkan rakyat Malaysia untuk perjalanan jauh mahupun dekat. Terdapat pelbagai kemudahan disediakan seperti kedai makanan, tandas, surau dan taman permainan supaya mereka dapat berehat sebentar sebelum memulakan perjalanan semula.

Pada hari Khamis lalu, satu pengumuman telah dibuat semasa sesi menandatangani perjanjian di Pusat Konvensyen Kota Setia dalam Persidangan Rakan Niaga PLUS Malaysia Berhad. Dalam pengumuman tersebut dinyatakan bahawa cawangan Family Mart, Sushi King, Daily Fresh, Bon 900 Café dan My Laksa bakal dibuka di kawasan R&R terpilih.

Menurut Ketua Pegawai Komersial PLUS, Christine Liew, banyak jenama yang terkenal berminat untuk bekerjasama dengan PLUS tetapi pemilihan jenama ini dipilih berdasarkan maklum balas dan keperluan pelanggan.

“Kami memilih jenama berdasarkan maklum balas daripada pelanggan, sekiranya rakan kongsi kami memenuhi syarat keperluan pelanggan, sama ada besar atau kecil, kami akan memilih jenama tersebut. Selain daripada jenama yang disebut, kami juga mempunyai banyak jenama lain yang akan diperkenalkan nanti.” kata Christine Liew.

PLUS Malaysia Berhad akan memperkenalkan cawangan-cawangan terbaru ini secara berperingkat di kawasan R&R yang terpilih bermula pada bulan ini. Di samping itu, terdapat kerja-kerja naik taraf dilakukan di beberapa kawasan seperti R&R Seremban.

Berikut adalah kawasan R&R yang terpilih untuk penambahan baru:

1. Bon 900 Café – R&R Dengkil (arah Selatan)

2. Daily Fresh – R&R Machap (arah Utara) dan Gunung Semanggol (arah Utara dan Selatan)

3. Family Mart – Restoran Jambatan Sg Buloh

4. My Laksa – R&R Gurun (arah Utara)

5. Sushi King – R&R Rawang (arah Utara) (beroperasi)

Dalam persindangan tersebut, PLUS turut memperkenalkan Program Inisiatif Rakan Niaga (BPIP) bagi mengiktiraf dan menghargai rakan niaganya. R&R Seremban (arah Utara) telah dinobatkan sebagai R&R PLUS terbaik.

Tidak lama lagi, anda bolehlah berkunjung ke R&R yang terpilih dan menikmati pelbagai hidangan makanan yang baru dan enak.

Artikel Lain Untuk Di Baca