Sindiket penyeludupan menguasai 60 peratus pasaran rokok di negara Malaysia dan ia membabitkan RM5 bilion kerugian pendapatan cukai tidak terkutip.
Menurut Pengarah Perundingan Kesan Ekonomi dari Oxford Economics berpangkalan di United Kingdom (UK) iaitu Pete Collings, statistik berkenaan menunjukkan Malaysia merupakan negara paling ditembusi di dunia membabitkan rokok seludup.
Berdasarkan kajian, Sarawak menjuari pasaran rokok seludup dengan mencacat penembusan 83.5 peratus diikuti Sabah sebanyak 81.3 peratus.
“Di Malaysia barat, penembusan pasaran rokok seludup tertinggi berlaku di tiga negeri pantai timur iaitu Kelantan membabitkan 78 peratus diikuti Terengganu sebanyak 76.5 peratus dan Pahang mencatatkan 72.5 peratus penguasaan,” katanya.
Negeri tertinggi di pantai barat dikuasai pasaran rokok seludup adalah Selangor (56.4 peratus), Kedah (55.2 peratus), Pulau Pinang (54.5 peratus), Melaka (52.4 peratus), Kuala Lumpur (50.8 peratus), Perak (46.2 peratus), Johor (43.9 peratus), Negeri Sembilan (43.6 peratus) dan Perlis (39.3 peratus), lapor Harian Metro.
Menurut Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Seri Akhbar Satar, bagi menangani penjualan rokok seludup ini, penubuhan badan bebas mengetuai pasukan petugas khas perlu disegerakan.
“Pasukan petugas khas ini perlu dianggotai pelbagai agensi kerajaan dan wakil industri untuk memastikan pencegahan penyeludupan rokok dilaksanakan secara komprehensif,” katanya.
Pada masa yang sama, David turut bersetuju bahawa senario penyeludupan rokok ini disebabkan oleh kurangnya komunikasi antara agensi.
Bekas Atase Kastam UK, Kenneth Head mengatakan bahawa masalah utama penguatkuasa yang menjaga sempadan negara ini ialah integriti.
“Integriti perlu bermula dari atas ke bawah. Ada anggapan jika menteri pun terbabit rasuah, mengapa saya tidak?”
“Apabila ada pegawai baru ditempatkan, 80 peratus di situ ambil rasuah, bagaimana?”
“Sepatutnya kena didik rasuah tak boleh lagi diterima. Memang ini akan mengambil masa panjang dan Kabinet juga kena reformasi ke arah kerajaan yang bersih,” katanya.