Cara-Cara Kurangkan Risiko Dijangkiti COVID-19

Pengambilan lemon dan bawang putih boleh meningkatkan sistem imun badan sekali gus mengurangkan risiko individu dijangkiti COVID-19.

Dua bahan semula jadi itu dikatakan antara makanan unggul yang memiliki banyak khasiat dan amat baik untuk kesihatan tubuh dalam merawat penyakit tertentu.

Perunding Kesihatan Keluarga, Dr. Lim Ing Kien berkata, COVID-19 adalah sejenis virus yang menjangkiti manusia dan setakat ini belum ada ubat boleh merawat penyakit itu.

Cara paling baik untuk mengelakkan dijangkiti virus ini ialah dengan meningkatkan sistem imun tubuh menggunakan dua bahan semula jadi itu.

Katanya, penggunaan dan pengambilan bawang putih sudah lama diamalkan iaitu sejak ribuan tahun lalu ketika tamadun Mesir, Mesapotamia dan China. Tamadun itu ada merekodkan pengambilan bawang putih untuk mengelakkan selesema disebabkan virus.

Menurut Dr. Lim, pada masa ini banyak kajian menunjukkan pengambilan bawang putih boleh meningkatkan sistem imun tubuh.

Bawang putih tidak dapat mengelakkan seseorang daripada dijangkiti COVID-19, tetapi boleh mengurangkan risiko dijangkiti.

Ketika ini, digalakkan menggunakan lebih banyak bawang putih dalam masakan berbanding kebiasaan. Contohnya, jika sebelum ini menggunakan seulas bawang putih, tetapi kini bolehlah menggunakan dua ulas dalam setiap masakan.

Menurut beliau, bagi mereka yang tidak tahan dengan bau bawang putih boleh menggantikannya dengan pengambilan ekstrak bahan itu dalam bentuk pil atau minyak.

Menyentuh berkaitan lemon, Dr. Lim berkata, orang ramai disarankan mengambil sebiji jus lemon setiap hari sama ada dicampurkan ke dalam air putih, minuman berperisa atau makanan.

“Jumlah vitamin C diperlukan setiap orang antara 60 hingga 90 miligram (mg) sehari. Sebiji lemon mengandungi 30mg vitamin C.

Lemon ini menambahkan vitamin C dalam tubuh yang turut diperoleh daripada sumber makanan lain seperti buah-buahan dan sayur-sayuran,” katanya.

Di samping itu, vitamin C menyokong sistem imun yang sempurna. Apabila sistem ini berfungsi secara optimun, tubuh kurang terdedah kepada sebarang jangkitan virus termasuk COVID-19.

Akan tetapi, pengambilan dua bahan ini bukan menjadi ‘tiket’ kepada orang ramai untuk bebas keluar rumah tanpa mengambil langkah pencegahan.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, Dr. Lim menggalakkan orang ramai untuk melakukan senaman ringan di rumah sekurang-kurangnya 20 minit setiap hari.

“Ini kerana senaman juga boleh membantu meningkatkan sistem imun dan mengekalkan kecergasan tubuh.

Terdapat banyak senaman di media sosial yang boleh dipilih dan dijadikan sebagai rutin aktiviti fizikal. Pada masa sama, ia dapat menghilangkan kebosanan di rumah,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan gelombang ketiga pandemik COVID-19, Dr. Lim menyarankan orang ramai supaya lebih berhati-hati terutama apabila mengunjungi pasar raya untuk membeli barangan keperluan.

“Sebaik-baiknya berbelanja di pasar raya mini kerana pengunjung tidak ramai seterusnya mengelakkan risiko jangkitan,” katanya.

Untuk baca lebih banyak artikel berkaitan tips kesihatan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca