Caj RM150 Jaminan IPTA, Tawaran Meragukan Syarikat Ini Sasar Lepasan SPM Seluruh Negara

Hanya dengan berbekalkan wang berjumlah RM150, sebuah syarikat berani memberi ‘jaminan’ kepada pelajar lepasan Sijil pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pelajaran di mana-mana institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini.

Lebih mengujakan apabila pelajar yang membayar bukan sahaja sudah dijamin tempatnya di dalam IPTA pilihan, malah mereka juga diberi kebenaran untuk memilih kursus yang diinginkan tanpa perlu melalui Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU) Kementerian Pendidikan (KPM).

Itu merupakan taktik sebuah syarikat perunding pendidikan yang berpangkalan di Negeri Sembilan untuk memperdayakan para pelajar yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat IPTA.

Difahamkan, syarikat berkenaan sudah ditubuhkan semenjak tahun 2007 lagi. Dengan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS), aplikasi WhatsApp dan media sosial Facebook, tawaran ini berjaya dikemukakan kepada semua pelajar sasaran di seluruh Malaysia.

Bagi pelajar yang berminat, mereka akan diminta hadir ke mana-mana lokasi program jelajah seminar pendidikan anjuran syarikat berkenaan yang dilaporkan dirancang akan berjalan di seluruh negara pada hari ini di Jitra, Kedah.

Menerusi satu temu bual bersama Sinar Harian, pengurus syarikat terbabit berkata pembayaran RM150 yang dikenakan adalah sebagai yuran proses kerana pendaftaran melalui syarikat mereka menggunakan sistem khas yang akan berhubung terus dengan sistem KPM tanpa perlu mengisi borang UPU.

Tambahnya lagi, mana-mana pelajar yang menggunakan perkhidmatan syarikat berkenaan tidak perlu membuat rayuan sekiranya mahu mendaftar kursus di IPTA yang diingini.

“Jaminan ini kami berikan kerana kami merupakan pihak ketiga yang dilantik KPM bagi memudahkan urusan kemasukan pelajar ke IPTA tanpa perlu melalui sistem UPU.”

“Syarikat kami mempunyai hubungan yang baik dengan beberapa IPTA sekali gus memudahkan urusan pertukaran pelajar ke IPTA yang diingini,” tambahnya lagi.

“Bagi pelajar lepasan SPM, syarikat kami menggunakan sijil percubaan SPM sahaja dan mereka perlu memperoleh keputusan minimum 6C sebagai syarat minimum kemasukan ke IPTA.”

Walau bagaimanapun, seorang waris pelajar yang dikenali sebagai Hisham, 40, menyeru orang ramai terutama ibu bapa dan pelajar agar tidak terpedaya dengan tawaran yang secara terang-terangan berunsurkan penipuan.

“KPM menubuhkan sistem UPU kerana mahu menyelaraskan aspek kemasukan pelajar yang layak ke IPTA di seluruh negara secara adil.”

“Tambahan pula, tinjauan saya terhadap laman sesawang syarikat itu amat meragukan kerana ia terlalu ringkas selain tidak mempunyai maklumat pelaksanaan progran tawaran kemasukan ke IPTA yang terperinci dan meyakinkan,” ujarnya.

Untuk membaca artikel lain berkaitan Kementerian Pendidikan, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca