Penulis pasti ramai dalam kalangan kita yang pernah mengalami cagu. Penulis kerap juga mengalami cagu di ibu jari kaki kerana cara pemotongan kuku yang salah.
Apabila kena cagu, tahu-tahu sahajalah bagaimana rasa sakitnya. Ibu jari akan membengkak kerana ada lebihan kuku yang mencengkam di ruangan tepi.
Apa Sebenarnya Cagu?

Cagu atau dalam Bahasa Inggerisnya; ‘Ingrown Toenail’ terjadi apabila sudut ataupun hujung kuku pada ibu jari kaki anda mencengkam dan tumbuh di dalam kawasan kulit sekitarnya.
Seperti yang penulis sebutkan, ini akan mengakibatkan bengkak di kawasan tersebut. Sakitnya bukan kepalang.
Sebab-Sebab Berlakunya Cagu
Ini adalah di antara sebab-sebab common berlakunya cagu kepada diri seseorang:
- Kemalangan kecil seperti ibu jari kaki anda tersadung atau terlanggar sesuatu (seperti kaki meja atau kaki katil)
- Pemakaian kasut yang terlalu ketat
- Memotong kuku terlampau pendek
- Memotong kuku di bahagian sudut
Untuk mengelakkan sebarang jangkitan daripada berlaku, cagu harus segera dirawat. Tapi kebiasaannya, kita hanya akan membiarkan sahaja cagu yang terdapat pada jari kaki anda dan berpegang pada prinsip, “Nanti dia baik sendiri,” sebab kita tidak tahu cara untuk merawatnya!
Penulis pun selalu biarkan sahaja. Tetapi bila dah semakin dewasa ni, sel-sel otak pun berhubung untuk membuat kajian tentang cara-cara merawat cagu yang betul.
Cara-Cara Untuk Merawat Cagu
#1. Rendam kaki dengan air yang suam dan bersabun
Merendam kaki yang mengalami cagu dapat mengurangkan bengkak dan sakit yang dialami. Anda boleh merendam kaki anda di dalam air suam dan bersabun sebanyak tiga kali sehari selama sekurang-kurangnya 20 minit.
#2. Rendam kaki dengan cider epal dan cuka
Cider epal dipercayai mempunyai antiseptik dan keupayaan untuk mengurangkan kesakitan, walaupun bukti-bukti saintifik tentang trivia ini adalah sangat sedikit.
Untuk melakukan petua ini, sediakan satu besen penuh air suam yang dicampur dengan 1/4 cawan cider epal. Rendam kaki anda selama 20 minit setiap hari. Keringkan kaki anda sepenuhnya selepas itu.
#3. Selitkan flos gigi atau kapas di kawasan yang terkena cagu
Anda disarankan untuk menyelitkan kapas kecil atau flos gigi di ruangan hujung kuku yang mengalami cagu untuk membolehkan kuku di bahagian tersebut tumbuh semula dengan elok.

Menurut American College of Foot and Ankle Surgeons, meletakkan kapas di bawah kuku anda dapat membantu untuk mengurangkan rasa sakit dan menghalang bakteria daripada merebak.
#4. Sapu krim antibiotik
Pergi ke farmasi dan dapatkan krim antibiotik. Sapu krim tersebut mengikut arahan di kawasan yang membengkak. Krim-krim antibiotik ini termasuklah Neosporin, Polysporin dan Bactroban. Pastikan ibu jari kaki anda dibalut selepas krim telah disapu.
#5. Pakai kasut dan stoking yang selesa
Pemakaian kasut dan stoking yang terlalu ketat akan mengakibatkan cagu. Untuk mencegahnya, anda dinasihatkan untuk memakai kasut dan stoking yang ‘fit’ dan tidak terlalu longgar.
#6. Pakai ‘toe-protector’
‘Toe-protector’ menyediakan penghadang untuk ibu jari kaki yang mengalami cagu. ‘Toe-protector’ didatangkan dalam bentuk cincin yang akan dipakaikan pada ibu jari kaki.

#7. Berjumpa dengan doktor
Jika cagu yang anda alami mempunyai sebarang jangkitan, anda harus segera berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan sebarang ubatan-ubatan.
Antara tanda-tanda jangkitan termasuklah:
- Ibu jari kaki menjadi bertambah merah dan membengkak teruk
- Kesakitan yang amat sangat
- Nanah
- Bau busuk
#8. Pertimbangkan untuk pembedahan pembuangan kuku (jika cagu menjadi teruk)
Jika petua-petua yang dikongsikan di atas tidak membantu untuk memulihkan cagu yang anda alami, pembuangan sebahagian ataupun keseluruhan daripada kuku ibu jari kaki adalah digalakkan untuk mengelakkan sebarang jangkitan yang lebih teruk.
Cara-Cara Untuk Mengelakkan Cagu Daripada Berlaku
Cagu adalah masalah biasa yang berlaku kepada setiap individu. Cara yang anda lakukan untuk mengelakkan cagu adalah dengan sentiasa awasi langkah anda untuk mengelakkan daripada terlanggar apa-apa benda seperti kaki meja dan kaki katil. Anda juga harus memotong kuku dengan cara yang betul.

Sumber: healthline