Cadangan Kepada Tuan Speaker Berkenaan Mencarut Dalam Dewan

 

Saya ada kawan, di rumah dia, cara didikan ialah dilarang mencarut di rumahnya. Jika setiap kali mencarut, denda seringgit dikenakan. Saya pernah kena, kawan-kawan lain pernah kena, adik dia pun kena. Duit itu kemudiannya disimpan dalam tabung dan pada hujung bulan akan digunakan untuk membeli makanan.

Pada mulanya, bolehlah beli pizza, tapi lama kelamaan ia cuma mampu beli cempedak goreng sahaja. Maksudnya, orang semakin kurang mencarut kerana tak mahu didenda.

Tetapi itu di peringkat budak sekolah. Seringgit (pada masa itu) untuk satu perkataan mencarut, agak berat. Seringgit boleh beli sepinggan nasi goreng atau bubur nasi di kantin. Seringgit boleh beli tiga keping karipap pada masa itu.

Saya ingin memberi cadangan kepada Tuan Speaker, daripada hanya memberi arahan tarik balik perkataan (yang bagi saya cuma hilang dalam Hansard, tapi tiada guna lagi memandangkan zaman teknologi ini, videonya sudah viral), apa kata kita denda sahaja Ahli Parlimen yang mencarut, yang ponteng dewan, yang mencelah tapi suka merapu, dan yang suka memekak bising-bising tapi tak memberi sebarang input dalam Dewan Parlimen.

Saya juga mencadangkan dalam PRU akan datang, rekod kehadiran incumbent disiarkan di khalayak ramai serta scorecard markah untuk penilaian rakyat, perlu disiarkan kepada semua tentang apa yang Ahli Parlimen telah lakukan sepanjang tempoh mereka menjadi ahli dewan, dan begitu jugalah saya harap ia berlaku di DUN negeri yang lain.

Tapi janganlah denda seringgit macam budak sekolah. Dendalah dalam RM2000 ke. Barulah orang segan sikit nak mencarut atau mencelah tapi suka merapu macam Rayer Jelutong tu.

Ini untuk memastikan ahli dewan agar mengangkat semula martabat Dewan Parlimen serta memulihkan semula imej dewan dan prestij menjadi Ahli Parlimen yang telah dirosakkan seperti YB Kinabatangan atau Jelutong.

Sekian, saya pengundi Parlimen Serdang, DUN Balakong, mohon mencadang.

Dari FB Nami Cob Nobbler

Artikel Lain Untuk Di Baca