Lelaki Ini Kongsi Cabaran Dalam Menjadi Penternak Lembu Yang Berjaya

Penternakan merupakan satu kegiatan pertanian yang membiakkan haiwan. Ia telah diamalkan sejak beribu-ribu tahun dahulu apabila kambing dan biri-biri berjaya dijinakkan. Penternakan lembu merupakan suatu kegiatan ekonomi yang mula diceburi ramai kerana ia mampu memberikan pulangan yang lumayan.

Haji Mohd Saham bin Haji Sungadi merupakan salah seorang penternak lembu yang berjaya di Johor. Beliau menternak lembu di Kampung Sri Menanti Sri Medan, Batu Pahat, Johor berkongsi sedikit pengalaman beliau dalam menghadapi cabaran dalam usaha menternak lembu.

Haji Mohd Saham berkata, cabaran paling besar yang perlu dihadapi seseorang penternak adalah cabaran dalam menangani penyakit haiwan ternakan. Hal ini demikian kerana penyakit ini boleh melumpuhkan usaha untuk menternak lembu.

Mereka akan menanggung kos yang tinggi sekiranya virus yang terkena itu merebak pantas keseluruh haiwan ternakan mereka. Secara tidak langsung, perkara ini akan membawa kepada kegagalan dalam bidang penternakan.

Haji Saham pernah mengalaminya apabila beberapa ekor lembu beliau diserang penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD). Beliau bertindak cepat dengan memanggil Pegawai Perkhidmatan Veterinar untuk merawat lembu beliau.

Selain itu, sebagai penternak mereka mestilah mempunyai minat yang tinggi dalam usaha memajukan bidang penternakan mereka. Mereka tidak boleh hanya berdiam diri. Mereka mesti cekap mengambil ruang dan peluang.

Haji Saham memberitahu, beliau berjaya membawa Menteri Pertanian dan Asas Tani, YB Dato’ Salahuddin Bin Ayub ke kampung dan kawasan penternakan beliau pada tahun 2018 untuk melihat bagaimana kebolehan belaiu menternak lembu.

Dengan ini, kementerian tahu bahawa ada penternak yang berjiwa besar yang boleh diketengahkan. Secara tidak langsung, ia mendatangkan impak positif kepada perusahaan penternakan di kampung beliau.

Tambahan pula, sebagai seorang penternak yang telah lama menceburi bidang ini, Haji Saham berpendapat bahawa cabaran daripada segi persaingan juga merupakan antara yang terhebat. Walaupun pasaran kita sudah meluas tetapi kita tetap akan bersaing dengan penternak lain.

Kita mesti pandai menjaga pelanggan dan harga yang diberikan mestilah berpatutan. Pesaing lain akan mencuba untuk lakukan pelbagai strategi untuk bersaing. Beliau pernah gagal memasarkan bekalan beliau kerana harganya agak tinggi pada tahun 2012 dan pesaing lain menawarkan harga yang murah.

Di samping itu, cabaran yang seterusnya ialah dalam mendapatkan bahan mentah. Haji Mohd Saham menggunakan bahan mentah seperti minyak petrol, dedak lembu, gula merah, tahi minyak dan sebagainya.

Bahan mentah ini ada kalanya sukar untuk diperoleh terutama sekali tahi minyak. Hal ini demikian kerana tahi minyak menggunakan pelbagai campuran bahan untuk menghasilkannya. Ia terdiri daripada hampas tahu dan bahan kasar yang lain. Penggunaannya juga tidak begitu meluas. Ia biasanya digunakan bagi mereka yang membela lembu di kawasan felda.

Akhir sekali, cabaran yang seterusnya ialah dalam menguruskan modal. Penternak yang baik akan pandai menguruskan modalnya untuk menjamin kemajuan dalam bidang penternakannya. Haji Saham mendakwa, sekarang ramai yang pandai berjanji tetapi tidak mampu tunaikan.

Oleh itu, penternak mestilah menjalinkan kerjasama dengan pihak Agro Bank dan Jabatan Perkhidmatan Haiwan untuk mendapatkan nasihat dalam menguruskan modal dan membuat perbelanjaan.

Kesimpulannya, bidang penternakan memang mudah memberikan keuntungan yang lumayan, namun cabaran yang mendatang dan membawa kepada kegagalan amatlah tinggi. Walau bagaimanapun, berbekalkan usaha dan keyakinan, setiap orang boleh berjaya dalam apa jua bidang yang mereka ceburi.

Penulis

  • Muhammad Hanafi Mohamad Zakariah adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca