Sesetengah sejarawan percaya bahawa asal usul ayat ‘Three Blind Mice’ terletak semasa zaman pemerintahan Ratu Mary I (1516-1558). Permaisuri yang turut dikenali dengan nama Bloody Mary ini bertanggungjawab ke atas membakar ratusan paderi Protestan sehingga mati.
Lagu kanak-kanak Three Blind Mice dikatakan bermula dengan pergolakan antara golongan Protestan dan Katolik.
Beberapa penindasan terhadap mereka yang bermazhab Katolik berlaku antaranya rampasan tanah dan penghapusan biara-biara. Tidak cukup dengan itu, Raja Edward VI telah bertindak memburu dan membunuh paderi-paderi Katolik.
Disebabkan Mary I juga merupakan seorang Katolik, beliau juga hampir menjadi mangsa penghapusan ini. Namun begitu, pemerintahan Raja Edward VI tidak bertahan lama.
Apabila Mary I menjadi permaisuri England sejurus selepas kematian Raja Edward VI, beliau telah bertekad untuk menjadikan Katolik sebagai agama rasmi kerajaan England.
Difahamkan, semasa zaman pemerintahannya, seramai 800 orang penganut Protestan yang kaya telah meninggalkan England. Manakala 300 lagi mati dibakar hidup-hidup. Peristiwa berkenaan digelar Marian Persecutions.
Tiga orang paderi Protestan yang menjadi penyokong hebat Raja Edward VI semasa pemerintahannya merupakan mangsa Permaisuri Mary I yang paling terkenal.
Dikenali sebagai Oxford Martyrs, Paderi Latimer, Paderi Ridley dan Paderi Cranmer dikatakan diseksa dengan teruk oleh Permaisuri Mary I. Malah, ada sumber yang mengatakan mata ketiga-tiga mereka telah dibutakan sebelum dibakar hidup-hidup di tengah-tengah bandar Oxford sambil disaksikan ratusan penduduk.
Dikatakan, lagu Three Blind Mice yang ditulis oleh Thomas Ravencroft di antara tahun 1609 sehingga 1611 adalah berdasarkan peristiwa sejarah tersebut.
Tiga ekor tikus buta yang disebut di dalam bait-bait lirik lagu kanak-kanak itu difahamkan merujuk kepada tiga orang paderi berkenaan yang sudah ‘buta’ hati mereka kerana menolak ajaran Katolik.
Kisah di sebalik lagu kanak-kanak ini dikongsikan seorang warganet yang memegang @PopPelangi di laman Twitter.