Burj Al-Arab: Cuba Lihat Apa Ada Di Dalam Hotel 7 Bintang Ini

Bayangkan, anda ada dua billion-ringgit, coronavirus sudah kalah, musim kuarantin habis dan anda mahu berlibur di luar negara. Lalu anda terbang ke kota Dubai dan menempah bilik di salah sebuah hotel termahal di dunia kerana di situlah antara tempat penduduk kayangan membuang duit.

Sumber gambar: Roman Logov /Unsplash

Sesampainya di airport, anda diberi dua pilihan untuk pergi ke hotel.

Pertama, melalui jalan darat. Saat anda melangkah keluar dari lapangan terbang, kelihatan limousin warna putih berkilat lengkap dengan pemandu sedang menunggu anda.

Sumber gambar: Arek Socha/Pixabay

Sekiranya anda membuat pilihan kedua, sebuah helikopter peribadi datang mengangkut anda sebelum mendarat di atas landasan helikopter berhampiran bumbung bangunan setinggi 321-meter ini.

Sumber gambar: Jumeirah

Ahlan wa sahlan! Selamat datang ke Burj Al Arab Jumeirah

Di pesisir pantai kota Dubai, tersergam Hotel Burj Al-Arab yang terletak di atas sebuah pulau buatan manusia, dikelilingi air dan bersambung dengan daratan melalui jambatan melengkung. Struktur bentuk bangunan ini direka mengikut kapal layar.

Sumber gambar: Irina Art/Pixabay

Pembinaan hotel mewah lima bintang ini mengambil masa lima tahun dan siap dibina pada tahun 1999. Sebelum hari pembukaannya, seorang wartawan British diberi peluang untuk merasa duduk di dalamnya dan dia telah melabel hotel tersebut “Tujuh Bintang” dalam artikel tulisannya. Sejak itu, gelaran Tujuh Bintang bergemerlapan di hotel itu walaupun kadar penilaian tertinggi bagi sesebuah hotel setakat lima bintang.

Sumber gambar: Makalu/Pixabay

Selepas lawatan mini ini, anda akan faham mengapa hotel ini menggapai bintang setinggi itu.

Lobi

“Marhaban, welcome, welcome.” Penyambut tetamu hotel menyambut kedatangan anda dengan ramah berserta air mawar, tuala sejuk dan kopi Arab. 

Usai urusan check-in, anda melontarkan pandangan ke sekeliling. Terdapat ‘air terjun’ berupa ilusi daripada koreografi air pancut, lampu optik dan kabus yang memisahkan ruang lobi dan atrium di atas.

Sumber gambar: Tyler Nowak/Unsplash

Di atrium, mata anda silau melihat kilauan emas 24 karat yang menghias dalaman hotel ini bermula dari perabot, dinding, tiang dan lampu chandelier. Malah pintu lif turut mendapat sentuhan Midas ini.

Sumber gambar: Nick Fewings/Unsplash

Bilik Hotel

Hotel Burj Al Arab ini mempunyai kira-kira 60 tingkat dan menempatkan sebanyak 202 bilik mewah serta 18 buah lif. Setiap bilik yang berpenghuni mempunyai butler yang eksklusif untuk melayan para tetamu.

Ana rasa nak makan kebab daging unta. Ente tahu mana nak cari?”

“Oh, ente jangan risau, nanti ana bawa mari sampai ke bilik.” Sekiranya anda perlukan apa-apa, katakan saja kerana butler ini akan uruskan semua.

Bilik suit yang anda tempah itu sangat besar dan mempunyai dua tingkat. Butler mengambil masa 30 minit untuk tunjuk sekeliling kepada anda. Dekorasi bilik itu sungguh elegan dan berwarna-warni inspirasi daripada budaya, tempat dan orang Dubai. Kebanyakan bilik mempunyai karpet geometri bercirikan zaman Greek purba. Apa yang menarik, warna-warnanya berunsurkan tanah, api, air dan angin.

Sumber gambar: Jumeirah

Kemudian anda diberi alat kawalan jauh untuk buka TV, langsir dan lampu. Manakala katil bersaiz super king pula boleh berpusing mengikut posisi yang anda mahu dengan menekan butang elektronik. Untuk memastikan anda mendapat tidur yang berkualiti, pihak hotel telah menyediakan 17 jenis bantal untuk anda pilih.  

Sumber gambar: Jumeirah

Bilik airnya pula luas mata memandang dan sebuah jakuzi besar berada di tengahnya. Terdapat lebih 10 kelengkapan dandanan diri dan minyak wangi berjenama Hermes tersedia di singki.

Sumber gambar: Jumeirah

Selepas puas menjelajah bilik, anda mengambil keputusan untuk bersiar-siar di sekitar hotel tersebut.

Spa

Anda menekan butang lif sehingga ke tingkat 18. Di situ ada Talise Spa. Semua bilik urut atau rawatan kecantikan mempunyai tingkap besar yang menghadap ke laut. Selain itu, ada juga bilik wap dan sauna. Suasananya dikatakan sungguh sunyi sehingga boleh dengar bunyi orang berbisik-bisik di hujung lorong.

Sumber gambar: Jumeirah

Kolam Renang

Hotel ini memiliki banyak kolam renang untuk tetamunya sama ada indoor atau outdoor.  Terdapat juga kolam renang khusus untuk wanita dan kanak-kanak.

Sumber gambar: Jumeirah

Malah pakej ‘Romantic Moonlight Swim’ pun ada sekiranya anda datang bersama pasangan dan mahu menempah sebuah kolam. Pihak hotel akan sediakannya siap dengan taburan kelopak bunga dan lilin terapung di atas permukaan air.

Sumber gambar: Jumeirah

Sarapan pagi

Pilihan pertama: Bersarapan di dalam bilik suit. Menunya adalah Eggs Benedict, ikan salmon salai dengan topping kaviar, pastri, yogurt, roti bakar, buah-buahan dan kopi.

Sumber gambar: Matej Vrtil/Pixabay

Pilihan kedua: Butler akan mengiringi anda ke sebuah restoran di tingkat bawah untuk hidangan bufet dari stail Eropah hinggalah Timur Tengah.

Makan tengah hari

Mahu melihat laut yang terbentang luas? Anda boleh pergi ke tingkat 27 di mana terletaknya restoran Al Muntaha yang bermaksud “Tertinggi”. Tingkap kacanya bermula dari lantai mencecah ke siling.

Sumber gambar: atimedia/pixabay

Pencahayaan malap lampu biru-hijau ini membangkitkan mood tenang dan membuatkan anda seolah-olah berada di bawah air. Untuk menunya, anda boleh rasai keenakan dan kelembutan filet wagyu yang mampu membuatkan garpu dan pisau tenggelam bila mencucuknya.

Makan malan

Pengendalian restoran ini diketuai oleh chef bertaraf 3 bintang Michelin. Untuk makan malam, anda menempah meja di Al Mahara yang bermaksud Oyster Shell.

Sumber gambar: Buiness Insider

Apabila melangkah masuk ke dalam koridor berbentuk cangkerang, anda akan jumpa akuarium gergasi yang dihuni pelbagai spesies hidupan laut. Meja disusun mengelilingi tangki akuarium itu. Restoran ini menawarkan pelbagai menu tetapi paling istimewa di sini sudah semestinya makanan laut, yang mungkin datang daripada akuarium tersebut.

Sumber gambar: Buiness Insider

Selamat malam

Sampai di bilik, ketibaan anda disambut taburan kelopak bunga ros yang dibentangkan seperti karpet merah dari pintu utama hingga bilik. Wow! Ini mesti butler anda punya kerja. Tab mandi turut sudah tersedia dengan buih mandian.

Kemudian anda menghempas tubuh ke katil, melepaskan lelah setelah berhabis banyak pitis untuk membeli pengalaman mewah itu. Gaya hidup seumpama itu mungkin celah gigi saja bagi anak seorang Tan Sri yang papanya merupakan pemilik syarikat Megah Holding serta bijak mengurus 250,000 pekerja dan mengendalikan projek mega bernilai RM 35.9 billion seperti yang tersiar di kaca TV petang-petang.

Perlahan-lahan mata anda semakin berat dan akhirnya terlelap…

“Tuan-tuan dan puan-puan, kita telah mendarat di lapangan realiti. Bagi pihak kapten, co-pilot dan seangkatan dengannya, kami ucapkan terima kasih kerana memilih Elelele Airline sebagai destinasi anda.”

Akhirnya anda tersedar dari lamunan panjang, kembali berpijak di bumi nyata dan sambung bergusti dengan kehidupan seharian.

-TAMAT-

Untuk baca lagi artikel-artikel berkaitan, klik pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca