Bunuh Suami Demi Mencari Cinta Sejati, Ini Kisah Nenek Ketawa Nannie Doss

Bagi Nannie Doss, impiannya hanya satu iaitu mahu mencari pasangan yang sempurna. Semuanya gara-gara dia mahu hidup dalam dunia yang penuh romantis bak novel-novel cinta yang sering dibacanya.

Jadi, apabila empat daripada lima suaminya tidak menjadi seperti pasangan sempurna yang diinginkan, Nannie Doss bertindak mengambil nyawa mereka. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa percaya Nannie mungkin telah membunuh beberapa ahli keluarganya yang lain.

Latar belakang

Nannie Doss atau nama sebenarnya, Nancy Hazel dilahirkan pada 4 November 1905 di Blue Mountain, Alabama. Ibu bapa Nannie, Lou dan James merupakan pesawah.

Nannie dan Lou amat membenci James ekoran lelaki terbabit sangat suka mengawal pengerakan mereka sekeluarga. Ketika kanak-kanak lain pergi ke sekolah, Nannie dan empat orang adik-beradiknya yang lain dipaksa untuk tinggal di rumah untuk mengerjakan ladang keluarga atas arahan James. Perkara ini menyebabkan gred pelajaran Nannie merosot.

Pada usia tujuh tahun, Nannie telah mengalami satu kecederaan teruk di kepala yang telah mengubah hidupnya. Kepalanya terhentak pada palang besi apabila kereta api yang dinaikinya berhenti secara tiba-tiba.

Perkahwinan dan pembunuhan

Perkahwinan pertama Nannie Doss berlaku ketika wanita itu hanya berusia 16 tahun. Lelaki yang dikahwininya, Charley Braggs merupakan teman sekerjanya di sebuah kilang. Penyatuan tersebut berlaku cuma empat bulan setelah Nannie berkenalan dengan Charley.

Hasil daripada perkahwinan itu, Nannie dan Charley dikurniakan empat orang cahaya mata. Namun begitu, penyatuan dua jiwa itu tidak bertahan lama apabila dua daripada empat anak pasangan terbabit mati akibat keracunan makanan. Ditambah pula dengan tekanan ketika tingal bersama ibu mertua yang suka mengarah, Nannie dan Charley akhirnya berpisah pada 1928.

Setahun kemudian, Nannie berkahwin lagi dengan seorang lelaki bernama Frank Harrelson. Walaupun Frank merupakan seorang pendera dan kaki botol, perkahwinan mereka berdua bertahan selama 16 tahun.

Dalam tempoh perkahwinannya dengan Frank, Nannie mungkin telah menyebabkan kematian cucunya yang baru lahir. Wanita itu dikatakan telah membenam satu pin topi ke dalam kepala bayi terbabit. Beberapa bulan kemudian, seorang lagi cucunya yang berusia dua tahun turut menemui ajal semasa dalam jagaan Nannie. Kedua-dua kanak-kanak itu merupakan anak Melvina iaitu salah seorang anak Nannie daripada perkahwinan pertamanya.

Selepas melakukan pembunuhan itu, Nannie beralih kepada suami barunya pula. Nannie dilaporkan telah mencampurkan sesuatu ke dalam minuman suaminya mengakibatkan Frank menemui ajal seminggu kemudian pada 15 September 1945. Punca kematian dikatakan akibat keracunan makanan.

Sementara itu, Nannie tanpa rasa bersalah telah menggunakan wang insurans kematian cucunya dan Frank untuk membeli tanah dan rumah di Jacksonville, Florida.

Tidak lama selepas kematian Frank, Nannie dilaporkan telah berkahwin buat kali ketiga dengan seorang lelaki bernama Arlie Lanning. Seperti Frank, Arlie turut menemui ajalnya di tangan Nannie. Namun, disebabkan Arlie merupakan seorang kaki botol, doktor mengklasifikasikan punca kematiannya akibat serangan jantung ekoran pengambilan minuman keras secara berlebihan.

Richard Morton merupakan suami Nannie yang seterusnya. Walaupun Richard merupakan seorang kaki perempuan, Nannie terlalu sibuk menguruskan ibunya yang sakit untuk menyedari kecurangan lelaki itu. Namun, perkara itu tidak lama apabila ibu Nannie tiba-tiba sahaja meninggal dunia semasa dijaga Nannie. Malah, salah seorang kakak Nannie juga meninggal dunia setelah menghabiskan masa bersama Nannie. Richard mati secara misteri tidak lama kemudian.

Pengakhiran Nannie Doss

Mangsa terakhir Nannie Doss adalah Samuel Doss yang berasal dari Tulsa, Oklahoma. Tidak seperti suami-suami Nannie yang lain, Samuel bukanlah seorang pendera, kaki botol atau kaki perempuan. Kesalahan lelaki itu hanyalah satu iaitu tidak membenarkan Nannie menonton televisyen atau membaca buku kisah-kisah yang tidak berunsur mendidik.

Nannie membunuh suami terakhirnya dengan mencampurkan racun ke dalam satu kek prun. Akibatnya, Samuel terpaksa bermalam selama satu bulan di hospital. Beberapa hari setelah dia pulang ke rumah, Samuel akhirnya mati setelah minum secawan kopi beracun.

Ketika inilah Nannie mula culas dalam jenayahnya.

Doktor yang merawat Samuel mula curiga apabila kali pertama lelaki itu datang ke hospital. Oleh kerana kekurangan bukti, doktor terbabit tidak dapat membuat apa-apa. Namun, apabila Samuel meninggal dunia, doktor berkenaan berjaya meyakinkan Nannie yang sedang sibuk mengumpul wang insurans kematian suaminya untuk melakukan satu ujian autopsi terhadap mayat lelaki tersebut.

Ternyata sangkaan doktor itu benar apabila dia menjumpai kandungan arsenik yang tinggi di dalam badan Samuel. Pihak berkuasa dimaklumkan dan Nannie Doss segera diberkas. Wanita terbabit kemudiannya mengaku bersalah terhadap pembunuhan empat orang suaminya. Namun begitu, dia tidak mengaku terlibat dalam kematian ahli keluarganya yang lain.

Demi membuktikan kebenaran, pihak berkuasa telah bertindak mengali semula kubur ahli keluarga Nannie yang lain. Hasil bedah siasat mendapati majoriti mangsanya mati akibat keracunan arsenik atau racun tikus.

Ketika disoal siasat, Nannie menyalahkan kecederaan kepalanya atas pembunuhan yang dilakukan. Apabila ditanya mengenai motif jenayah, Nannie memberitahu dia sebenarnya tidak mahu wang mangsa-mangsanya.

“Saya hanya mencari pasangan sempurna untuk merasai cinta agung dalam kehidupan,” ujar Nannie.

Nannie Doss akhirnya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Namun begitu, wanita terbabit meninggal dunia di dalam penjara akibat penyakit leukimia pada tahun 1965 ketika berusia 59 tahun.

Pihak media memberi jolokan nama The Giggling Granny atau Nenek Ketawa kepada Nannie Doss kerana karakternya yang terus ketawa semasa menceritakan pembunuhan mangsa-mangsanya.

Artikel Lain Untuk Di Baca