Bunuh Lima Pelajar Kolej, Ini Kisah Danny Rolling Yang Menjadi Inspirasi Filem ‘Scream’

Menjadi mangsa dera sejak dilahirkan, Danny Rolling telah bertindak melepaskan rasa amarahnya kepada mangsa-mangsanya. Hanya dalam masa tiga hari, lelaki ini telah membunuh lima orang pelajar Universiti Florida dengan kejam di mana kepala salah seorang mangsanya telah dipancung.

Danny Rolling mendapat gelaran The Gainesville Ripper berdasarkan lokasi kejadian pembunuhan yang berlaku di daerah Gainesville di Florida.

Latar belakang

Dilahirkan pada bulan Mei 1954, Danny berasal daripada keluarga bermasalah. Bapanya yang merupakan seorang polis tidak pernah mahukan cahaya mata. Lelaki itu turut sering mendera isteri serta anak-anaknya yang lain.

Seawal umur satu tahun lagi Danny sudah menjadi mangsa penderaan bapanya. Dia dipukul kerana gagal merangkak dengan betul. Ibu Danny sudah beberapa kali mahu meninggalkan perkahwinan tersebut namun gagal.

Danny membesar menjadi seorang remaja bermasalah. Dia sering ditahan polis kerana mencuri di kedai-kedai. Kaunselor di sekolah mengatakan Danny merupakan seorang yang agresif serta mengalami masalah mengawal kemarahannya.

Pada bulan Mei 1990, Danny dan bapanya telah terlibat dalam satu pergaduhan besar. Dek kerana terlalu marah, Danny telah menembak bapanya sebelum melarikan diri. Walau bagaimanapun, bapanya terselamat dan hanya kehilangan sebelah mata dan telinga.

Kelahiran Gainesville Ripper

Pembunuhan pertama yang dilakukan Danny adalah pada 24 Ogos 1990. Dia telah memecah masuk ke dalam sebuah pangsapuri yang didiami Sonja Larson, 18 dan Christina Powell, 17. Ketika kejadian, kedua mangsa sedang tidur. Sonja yang tidur di tingkat atas ditikam di dada sebelum mulutnya ditutup dengan pita pelekat. Semasa dia sedang bergelut, Danny menikam gadis itu hingga mati.

Danny tidak membuang masa dan segera mendapatkan Christina yang berada di tingkat bawah. Gadis itu dirogol sebelum ditikam berkali-kali di belakang badan. Mayat gadis itu kemudiannya sengaja ditinggalkan dalam posisi seksual sebelum ditemui polis.

Keesokan harinya, Danny telah memecah masuk ke sebuah pangsapuri yang turut didiami oleh pelajar dari Universiti Florida. Christa Hoyt, 18 yang pulang ke rumah dikejutkan dengan Danny yang telah lama menunggunya di dalam kediaman tersebut. Christa turut menjadi mangsa rogol Danny sebelum gadis itu ditikam di belakang badan hingga mati.

Seolah-olah mahu menjadi tempat kejadian lebih mengerikan. Danny telah memenggal kepala Christa dan memotong puting payu daranya. Semasa polis tiba, kepala Christa berada di atas rak buku manakala badannya berada di atas katil bersama-sama dengan puting payu dara yang telah dipotong.

Pada 27 Ogos, Danny telah sekali lagi memecah masuk ke sebuah pangsapuri milik Tracy Paules dan Manny Taboada. Danny membunuh Manny terlebih dahulu sebelum beralih mengelar Paules yang telah melarikan diri sejurus terlihat pembunuhan rakan serumahnya itu. Paules turut dirogol sebelum ditikam di belakang badan hingga mati.

Penangkapan dan hukuman

Danny Rolling dibicarakan di mahkamah pada awal tahun 1991. Pada mulanya, Danny dihadapkan ke muka pengadilan kerana merompak. Namun, semasa di mahkamah, Danny secara tiba-tiba mengaku telah membunuh lima penuntut Universiti Florida. Pengakuan yang dikukuhkan dengan bukti DNA menyebabkan Danny disabitkan kesalahan pada Jun 1992.

Semasa menunggu perbicaraan, Danny mula menunjukkan perilaku yang pelik di mana dia kemudiannya di diagnosis mempunyai penyakit mental. Danny mengaku gangguan mental yang dialaminya telah mendorong dirinya membunuh pelajar universiti tersebut. Selain itu, dia turut mengaku terhadap satu lagi kes pembunuhan yang berlaku pada 1989.

Pada 25 Oktober 2006, Danny Rolling dijatuhkan hukuman mati. Seramai 47 orang menyaksikan hukuman tersebut.

Legasi Danny Rolling

Pada ketika itu, Kevin Williamson merupakan seorang penulis semasa kes pembunuhan oleh The Gainesville Ripper rancak diperkatakan. Berhubung peristiwa tersebut, Kevin telah menggunakan kisah tersebut untuk dijadikan sebuah filem bertajuk Scream. Filem tersebut mendapat sambutan hangat dan telah memangkin kerjaya Kevin sebagai seorang penulis dan pembuat filem yang tersohor.

Artikel Lain Untuk Di Baca