Bunuh Isteri Kerana Mimpi Diserang Burung Unta, Ini 5 Kisah Pembunuhan Yang Dilakukan Semasa Berjalan Dalam Tidur

Kisah ini mungkin kedengaran tidak masuk akal namun hakikatnya, kes pembunuhan semasa berjalan dalam tidur sememangnya wujud di dalam dunia ini. Kejadian pembunuhan semasa berjalan dalam tidur pertama kali direkodkan berlaku di Amerika Syarikat pada tahun 1846.

Berikut merupakan lima kes di mana tertuduh melakukan pembunuhan semasa sedang berjalan dalam tidur.

1. Sarjan Willis Boshears

Sarjan Willis Boshears merupakan seorang askar Amerika yang ditugaskan di England. Pada 1 January 1961, lelaki terbabit dituduh telah mencekik seorang wanita bernama Jean Constable sehingga mati di pangsapurinya.

Walau bagaimanapun, Sarjan Willis Boshears menegaskan dia tidak tahu bagaimana kejadian tersebut terjadi ekoran dia baru sahaja tersedar daripada tidur dan Jean Constable telah meninggal dunia.

Sarjan Willis Boshears berjaya mengelakkan hukuman penjara selepas mahkamah United Kingdom mempercayai kisahnya.

2. Albert Tirrel

Pada 27 Oktober 1845, Albert Tirrel telah berjalan masuk ke sebuah pusat pelacuran di Boston, Massachusetts untuk bertemu dengan kekasihnya, Maria Ann Bickford yang bekerja di situ.

Dek kerana cemburu ekoran Maria baru sahaja selesai ‘bersama’ seorang pelanggan, Albert telah mengelar leher wanita tersebut sebelum membakar tiga bilik lain di bangunan itu.

Setahun selepas kejadian, Albert telah dibebaskan selepas pihak juri sebulat suara mengatakan Albert tidak bersalah ekoran lelaki itu mengalami masalah berjalan dalam tidur yang kronik.

Kejadian ini merupakan kes pembunuhan pertama di Amerika yang dilakukan dalam tidur.

3. Kenneth Parks

Kes ini berkemungkinan merupakan kejadian pembunuhan yang dilakukan semasa tidur paling terperinci pernah direkodkan.

Pada Mei 1987, Kenneth Parks telah memandu lebih 22 kilometer dalam tidurnya ke rumah keluarga mertuanya.

Di situ, lelaki terbabit telah menikam mati ibu mertua dan adik iparnya. Malah, Kenneth juga hampir memukul bapa mertuanya sehingga mati tetapi tersedar daripada tidur tidak lama kemudian.

Selepas menyedari apa yang telah dilakukannya, Kenneth telah menyerah diri di sebuah balai polis. Walau bagaimanapun, lelaki tersebut bebas daripada segala tuduhan ekoran ujian psikologi mendapati lelaki tersebut mempunyai pelbagai jenis penyakit termasuk insomnia yang teruk.

4 Antonio Nieto

Pada 11 Januari 2001, Antonio Nieto yang berasal dari Sepanyol telah membunuh isteri dan ibu mertuanya menggunakan sebilah kapak. Dua orang anaknya juga cedera akibat perbuatan itu.

Menurut dua anak Antonio, mereka mendakwa lelaki itu telah memanggil nama mereka semasa sedang menetak kedua-dua mangsa. Antonio telah meminta mereka untuk tidak membuka lampu supaya tidak menganggu ibu mereka yang sedang tidur.

Walau bagaimanapun, Antonio menceritakan kisah yang lain semasa ditemu bual oleh pihak polis. Menurutnya, dia sebenarnya sedang bermimpi diserang beberapa ekor burung unta yang ganas.

Kisah tidak masuk akal Antonio itu telah menyebabkannya menghabiskan 10 tahun di dalam hospital jiwa. Selain itu, Antonio juga telah hilang hak penjagaan terhadap anak-anaknya. Sebuah perintah larangan juga dikenakan kepada lelaki itu di mana dia harus duduk 500 meter daripada anak-anaknya.

5. Scott Falater

Pada Januari 1997, Scott Falater telah menikam Yarmila Falater yakni isterinya sebanyak 44 kali dengan sebilah pisau pemburu.

Semasa sesi perbicaraan, Scott tidak menafikan pembunuhan tersebut namun dia mendakwa kejadian terbabit dilakukannya semasa sedang nyenyak tidur.

Hasil siasatan mendapati, perkahwinan Scott dan Yarmila sebenarnya ibarat telur di hujung tanduk meskipun Scott menegaskan hubungan dia dan Yarmila baik-baik sahaja.

Yarmila dikatakan mahu meninggalkan suaminya itu selepas tidak mahu mengikut ajaran Mormon yang dianuti Scott dan tidak mahu menurut kemahuan Scott yang mahu mempunyai ramai anak. Ketika mayat Yarmila ditemui, pihak polis mendapati wanita berkenaan tidak memakai cincin perkahwinannya.

Meskipun Scott berkeras mahu menggunakan alasan penyakit berjalan dalam tidur sebagai punca kematian Yarmila, pihak juri memutuskan lelaki tersebut bersalah terhadap segala pertuduhan bunuh dan dijatuhkan hukuman pada tahun 1999.

Jadi, apakah pandangan anda berkaitan kes-kes ini? Ada rasa betulkah pembunuhan ini semua berlaku dalam keadaan tanpa sedar?

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca