Bunuh Ibu Sendiri, Ini Kisah Gadis ‘Berpenyakit Kronik’ Gypsy Rose Blanchard

Sesiapa sahaja boleh melihat bahawa Dee Dee Blanchard amat menyayangi anaknya, Gypsy Rose. Wanita itu dilihat sebagai seorang wanita yang tabah dalam membesarkan anak tunggalnya yang mempunyai pelbagai penyakit kronik seperti kanser.

Jadi, apabila Dee Dee ditemui mati dengan kecederaan parah di bahagian kepala, komuniti tempatan menjadi panik. Kesemua mereka amat merisaukan nasib Gypsy Rose yang didapati hilang dari rumahnya pada malam kematian ibunya.
Namun, ketika gadis itu ditemui selepas sehari kemudian, dia kelihatan sihat dan mampu berjalan dengan sendiri.
Hal tersebut menyebabkan masyarakat mula membuat spekulasi. Apakah yang sebenarnya terjadi kepada Dee Dee Blanchard?

Latar belakang

Sejak Gypsy Rose masih lagi seorang bayi, Dee Dee sudah membawanya ke hospital akibat mengalami penyakit sleep apnea (masalah tidur yang menyebabkan pernafasan menjadi tidak menentu dan kadang kala terhenti).

Walaupun doktor tidak melihat sebarang tanda Gypsy Rose mempunyai penyakit tersebut, Dee Dee masih lagi berkeras. Lantas, wanita terbabit telah menentukan sendiri bahawa anak gadisnya mempunyai sejenis penyakit kromosom yang tidak dapat dijelaskan.

Selain itu, wanita terbabit pernah membawa anaknya ke sebuah hospital di New Orleas di mana dia menegaskan anak gadisnya kini mempunyai masalah pendengaran dan penglihatan. Malah, Gypsy Rose juga dikatakan mempunyai penyakit sawan. Walaupun ujian mendapati Gypsy Rose kelihatan normal, Dee Dee tetap dengan pendiriannya sehinggalah pihak hospital membekalkan wanita tersebut dengan ubat anti sawan dan tahan sakit.

Apabila Gypsy Rose berusia lapan tahun, dia telah terjatuh dari motosikal milik datuknya. Dee Dee yang panik segera membawa Gypsy Rose ke hospital di mana kanak-kanak itu dirawat kerana terdapat luka kecil pada lutut.

Dee Dee tidak berpuas hati dengan diagnosis itu dan bertegas bahawa sesuatu yang parah sudah berlaku kepada Gypsy Rose sehingga anaknya itu memerlukan pembedahan supaya boleh berjalan semula. Sejak itu, Dee Dee telah meletakkan Gypsy Rose di atas sebuah kerusi roda.

Apabila ibu bapa Dee Dee mula mengesyaki keadaan Gypsy Rose, wanita itu telah cepat-cepat berpindah. Mereka tinggal di sebuah unit pangsapuri usang dan hidup bergantung kepada duit insurans yang didapati melalui penyakit Gypsy Rose.

Pada 2005, Taufan Katrina yang melanda telah menyebabkan dua beranak itu terpaksa berpindah ke Aurora, Missouri. Di sana, Dee Dee dan Gypsy Rose dilayan seakan-akan selebriti popular.

Organisasi Habitat for Humanity telah membina sebuah rumah buat mereka yang dilengkapi landasan buat kerusi roda Gypsy Rose dan satu tab mandi panas.
Tidak cukup dengan itu, Maka-A-Wish Foundation juga telah menaja dua beranak ini ke Walt Disney World beberapa kali. Malah, mereka juga pernah diberikan pas masuk belakang ke konsert Miranda Lambert.

Kisah Gypsy Rose Blanchard mula menarik perhatian beberapa orang doktor pakar. Salah seorang daripadanya adalah pakar neurologi kanak-kanak, Bernardo Flasterstein.
Namun begitu, ketika pemeriksaan dijalankan doktor terbabit ke atas Gypsy Rose, Bernardo Flasterstein terkejut apabila mendapati Gypsy Rose sebenarnya sihat seperti kanak-kanak normal yang lain.

“Saya tidak melihat sebarang sebab mengapa dia (Gypsy) perlukan kerusi roda,” ujar doktor tersebut.

Apabila Dee Dee bertindak untuk tidak menghiraukannya, doktor tersebut telah membuat panggilan kepada pakar perubatan lain di New Orleans. Akhirnya, Bernardo Flasterstein mengetahui bahawa Gypsy Rose memang ternyata seorang kanak-kanak yang sihat tubuh badannya. Perkara ini menyebabkan doktor berkenaan mengesyaki orang yang berpenyakit sebenarnya adalah Dee Dee sendiri.

Penipuan mula terbongkar

Pada tahun 2010, Dee Dee pernah memberitahu orang ramai bahawa Gypsy Rose berusia 14 tahun. Walhal, anak gadisnya itu sebenarnya sudah berumur 19 tahun. Tanpa Dee Dee sedari juga, Gypsy Rose sebenarnya sudah lama menyedari bahawa dirinya normal.

Gypsy Rose pernah beberapa kali cuba melarikan diri daripada ibunya. Dia pergi ke rumah jirannya dengan berjalan kaki dan merayu agar mereka membawanya ke hospital. Namun, Dee Dee yang menyedari akan hal itu segera mencelah dengan memberi alasan bahawa Gypsy sudah boleh berjalan setelah lama berlatih. Wanita itu turut meminta jirannya agar tidak mempercayai kata-kata Gypsy Rose sepenuhnya berikutan minda gadis itu mungkin dikaburi penyakit yang dialaminya.

Nicholas Godejohn

Setelah Gypsy Rose mula menggunakan internet, Dee Dee telah merantainya dan mengugut mahu memecahkan jari jemari anaknya jika dia tertangkap melakukan perkara itu. Namun, Gypsy tidak kisah. Dia mahu mencari seorang lelaki yang mampu untuk menyelamatkannya.

Pada 2012, Gypsy Rose telah berjumpa Nicholas Godejohn, 23, di internet. Walaupun lelaki itu mempunyai rekod jenayah dan masalah mental, Gypsy Rose tidak kisah. Padanya, Nicholas adalah tiket untuknya keluar daripada neraka ibunya.

Kedua-dua mereka telah berjumpa beberapa bulan kemudian ketika Dee Dee keluar bersendirian. Setelah melakukan hubungan seks, pasangan itu mula merancang kematian Dee Dee.

Pada pertengahan Jun 2015, Nicholas telah memasuki kamar beradu Dee Dee dengan bantuan Gypsy Rose. Lelaki itu kemudian telah memukul kepala Dee Dee dengan teruk sehingga wanita itu menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Gypsy Rose dan Nicholas kemudiannya melarikan diri dari lokasi kejadian.

Pengakhiran kisah keluarga Blanchard

Setelah kisah sebenar terbongkar, perasaan simpati orang ramai yang pada mulanya tertala pada Dee Dee kini sudah beralih kepada Gypsy Rose. Rata-rata masyarakat menyuarakan rasa marah dan tidak puas hati mereka kepada Dee Dee yang sanggup memperlakukan Gypsy Rose seperti itu.

Ahli psikiatri akhirnya melabel Gypsy Rose sebagai mangsa penderaan kepada seorang ibu yang mempunyai penyakit Munchausen yang menyebabkan wanita itu percaya anaknya mempunyai sejenis penyakit yang memerlukan perhatian pakar perubatan.

Gypsy Rose, 24, telah dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun kerana menjadi perancang utama ke atas kes pembunuhan Dee Dee Blanchard. Nicholas Godejohn pula dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh.

Dalam satu temu bual, Gypsy berkata dia sebenarnya menyesal dengan pengakhiran hidup ibunya. Walaupun begitu, dia menegaskan bahawa hidupnya kini lebih baik tanpa kehadiran wanita itu.

“Saya rasa lebih bebas hidup di penjara daripada hidup bersama ibu saya. Akhirnya, saya dapat berasa bagaimana hidup sebagai seorang gadis normal.”

Artikel Lain Untuk Di Baca