Bunuh Dan Potong Alat Sulit Kekasih, Ini Kisah Percintaan Si Geisha Pembunuh Sada Abe

Sesiapa sahaja dapat melihat bahawa Sada Abe dan Kichizo Ishida sangat menyukai satu sama lain. Kedua mereka sering melakukan hubungan seks dan pernah satu ketika, Sada dan Ishida tidak berhenti bersetubuh meskipun kamar penginapan mereka dimasuki seorang pekerja yang mahu menghantar minuman petang.

Hubungan intim yang berlaku pada 23 April 1936 itu berlanjutan sehingga empat hari sebelum berakhir dengan tragedi apabila Ishida menemui ajalnya di tangan wanita simpanannya sendiri.

Latar belakang

Dilahirkan pada tahun 1905, Sada Abe merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik. Namun begitu, hanya dia dan tiga adik beradik lain yang hidup sehingga mencecah usia dewasa.

Hidup Sada mula berubah apabila dia menjadi mangsa rogol seorang kenalannya ketika berusia 14 tahun. Kejadian itu menyebabkan Sada menjadi seorang remaja yang sukar dikawal. Akhirnya, ibu bapanya terpaksa menjual gadis itu ke sebuah pusat penempatan Geisha di Yokohama pada tahun 1922.

Menurut kakak sulung Sada, adiknya itu memang memasang cita-cita untuk menjadi seorang Geisha. Walau bagaimanapun, Sada menyatakan dia dijual ke rumah berkenaan kerana bapanya mahu menghukumnya kerana terlalu ‘liar’ sehingga menjadi mangsa rogol.

Pertemuan dengan Kichizo Ishida

Setelah sekian lama memegang kerjaya sebagai seorang Geisha, Sada mula bosan lalu dia bekerja sebagai seorang pelacur berlesen. Namun, perkara itu tidak bertahan lama setelah dia dituduh mencuri daripada pelanggan.

Tidak lama selepas itu, Sada mula berasa tidak puas hati dengan layanan yang diterimanya daripada kaum lelaki. Wanita itu akhirnya meninggalkan industri pelacuran setelah tempat kerjanya diserbu polis ekoran tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah.

Usai kejadian itu, Sada telah diterima bekerja di sebuah restoran belut di Tokyo. Pada ketika inilah Sada telah berjumpa dengan Kichizo Ishida yakni pemilik tempat makan terbabit. Perasaan cinta mula berputik antara mereka berdua dan satu hubungan telah dijalinkan meskipun Ishida pada ketika itu merupakan suami orang.

Sada dan Ishida sering menghabiskan masa di pusat penginapan dan melakukan hubungan kelamin beberapa kali. Namun begitu, Sada berasa cemburu kerana Ishida tetap pulang ke pangkuan isterinya usai persetubuhan mereka. Sada pernah mengugut mahu membunuh Ishida. Namun begitu, lelaki terbabit sedikit pun tidak berasa gentar. Malah, ugutan berkenaan menaikkan lagi nafsu syahwatnya.

Pembunuhan Ishida

Ishida yang mula gemar elemen berbahaya dalam permainan seks telah meminta Sada mencekiknya semasa mereka berasmara. Pada 16 Mei, Sada menurut permintaan kekasihnya itu lalu menjerut Ishida selama dua jam sebelum mengulangi perbuatan sama pada dua jam berikutnya. Walaupun perkara itu berjaya menaikkan nafsu mereka berdua, jerutan terbabit menyebabkan muka Ishida menjadi cacat.

Lelaki terbabit telah menelan 30 biji pil penenang untuk mengurangkan kesakitan. Menurut Sada dalam satu temu bual, Ishida ada berpesan kepadanya sebelum lelaki itu tertidur dek menelan ubat yang banyak.

“Boleh tak awak jerut saya sekali lagi semasa saya sedang tidur? Jika awak berbuat demikian, jangan berhenti kerana ia terlalu sakit sebaik awak berhenti,” ujar Ishida.

Sada berkata, dia sebenarnya tidak pasti sama ada Ishida serius atau bergurau dengannya. Namun begitu, pada jam dua pagi, Sada menunaikan permintaan kekasihnya itu dan menjerutnya sehingga mati.

“Selepas membunuhnya (Ishida), saya berasa sungguh tenang,” ujar Sada.

Wanita terbabit berbaring di sebelah mayat kekasihnya selama beberapa jam sebelum memotong alat kelamin lelaki itu menggunakan sebilah pisau yang menjadi salah satu alat permainan ketika persetubuhan mereka. Organ terbabit kemudiannya dibalut dengan teliti menggunakan surat khabar. Tidak cukup dengan itu, Sada menggunakan darah Ishida untuk menulis satu mesej di peha kekasihnya itu.

“Kami, Sada dan Ishida bersendirian,” tulisnya.

Akhir sekali, Sada mengukir namanya pada tangan Ishida sebelum berlalu meninggalkan pusat penginapan itu. Dibawa bersama-samanya adalah alat sulit Ishida yang dipotongnya tadi.

Penangkapan Sada Abe

Panik mula tercetus sebaik sahaja berita mengenai kematian Ishida yang dibunuh dengan kejam tersebar ke serata negara. Misi mencari Sada Abe kini giat dijalankan oleh pasukan polis Jepun.

Sepanjang misi tersebut, banyak laporan telah diterima pihak berkuasa daripada orang ramai yang rata-ratanya telah melihat Sada di kawasan kejiranan mereka. Sejurus selepas hal terbabit diketahui penduduk, sekatan Jalan raya telah dilakukan oleh mereka dengan harapan Sada akan dibawa ke muka pengadilan.

Sementara itu, Sada yang menyedari dia kini menjadi buruan polis dengan bersahaja pergi membeli-belah dan menonton wayang di Tokyo.

Pada 20 Mei, Sada telah mendaftar masuk ke sebuah hotel dengan menggunakan identiti palsu. Di kompleks terbabit, Sada menghabiskan masanya menulis surat selamat tinggal kepada rakan-rakannya. Menurut laporan, Sada telah merancang mahu menamatkan riwayatnya pada hujung minggu itu dengan terjun dari sebuah pergunungan.

Semasa proses penulisan surat terbabit, Sada berkata, dia mahu melakukan hubungan seks buat kali terakhir bersama Ishida. Lalu, wanita terbabit telah mengeluarkan alat kelamin kekasihnya dan mula melakukan seks oral ke atas organ itu. Malah, Sada turut mengaku cuba memasukkannya ke dalam alat sulitnya beberapa kali namun gagal.

“Saya mahu mengabadikan satu-satunya bahagian Ishida yang mampu membawa saya ke detik kami bersama,” kata Sada.

Sada Abe ditahan polis tidak lama kemudian. Wanita itu tidak langsung gentar atau melawan ketika pihak polis muncul di hadapan pintu kamar penginapannya. Malah, wanita terbabit dengan selamba menunjukkan alat kelamin Ishida sebagai bukti dia adalah suspek yang dicari. Apabila disoal mengenai motif kejadian, Sada menjawab dia terlalu sayangkan Ishida.

“Saya terlalu mencintainya. Saya mahu dia hanya untuk diri saya. Tetapi, oleh kerana kami bukan suami isteri, Ishida bebas bersama wanita lain. Saya sedar saya harus membununya agar dia tidak lagi disentuh wanita lain,” ujar Sada.

Sada Abe dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun meskipun wanita terbabit merayu untuk dihukum mati. Selepas lima tahun berada di dalam penjara, Sada dibebaskan dan telah menjadi seorang penulis buku autobiografi yang berkisar tentang jenayahnya. Selain itu, terdapat sebuah filem yang didekasikan khas buat kisah Sada dan Ishida.

Pada 1970, kedudukan Sada Abe gagal dikesan. Sesetengah masyarakat percaya wanita terbabit telah lari dan tinggal bersama rahib perempuan. Namun, keberadaan sebenar wanita terbabit masih menjadi tanda tanya.

Bagi alat kelamin Ishida pula, organ terbabit didermakan ke sebuah muzium di Tokyo University Medical School. Namun yang demikian, setelah tamat Perang Dunia Ke-2, alat sulit Ishida dilaporkan hilang dan tidak dapat dikesan sehingga hari ini.

Artikel Lain Untuk Di Baca