Bunuh Dan Cedera Majikan, Lelaki Malaysia Dipenjara 20 Tahun Di Singapura

Seorang lelaki berumur 24 tahun yang berasal dari Malaysia telah dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun di Singapura setelah menyerang sebuah pejabat syarikat e-dagang Ji Ji di Sungei Kadut, Singapura.

Serangan tersebut telah menyebabkan seorang maut dan seorang lagi cedera parah.

Tertuduh, Yee Jing Man, mengaku bersalah kerana telah membunuh Lin Xinjie, 29, dan menyebabkan cedera parah setelah mengelar Li Mingqiao, 30, menggunakan senjata berbahaya.

Kedua-dua mangsa tersebut merupakan pengarah syarikat itu.

Yee dikatakan mempunyai sejarah penyakit kemurungan atau Major Depressive Disorder (MDD) dan berikutan daripada itu hukumannya diringankan.

Lapan hukuman lain telah dipertimbangkan termasuk kesalahan mengugut pengarah ketika syarikat tersebut, Ryan Pan Zai Xing, 29.

Susulan serangan tersebut, Yee telah menghalang pintu masuk pejabat itu menggunakan meja dan kerusi.

Dia kemudiannya menggertak rakan sekerjanya untuk menghalang mereka daripada menelefon pihak polis.

Yee menikam dirinya sendiri pada bahagian perut dan mengelar pergelangan tangannya menggunakan senjata yang telah digunakan untuk membunuh majikannya itu.

Pihak polis kemudiannya tiba dan Yee akhirnya ditahan.

Yee dikatakan sering mempunyai fantasi untuk membunuh majikannya setelah hubungannya dan para majikannya mula merosot semenjak beberapa tahun yang lalu.

Yee mula bekerja di syarikat tersebut pada Mac 2017 dan pada awalnya, dia merupakan pekerja contoh.

Kekasihnya, yang juga merupakan pekerja di syarikat tersebut telah memperkenalkan Yee kepada salah satu pengarah syarikat tersebut, Lin.

Yee merupakan seorang yang bekerja keras dan sering menerima duit ang bao bermula dengan S$999 (sekitar RM3,100) pada Tahun Baru Cina pada 2018.

Yee juga telah ditawarkan untuk menjadi pengurus dan diberikan peluang untuk menaikkan jumlah gajinya daripada S$1,700 (sekitar RM5,290) kepada S$2,000 (sekitar RM6,220).

Yee menolak tawaran tersebut kerana dia tidak mahu terbeban dengan kerja yang banyak dan stres yang melampau.

Kira-kira setahun setengah kemudian, prestasi kerja Yee mula merosot.

Sejak September 2018, dia mula ponteng kerja dengan kerap dan rekod menunjukkan dia tidak hadir ke kerja sebanyak 69 hari antara 1 Disember 2017 hingga 12 Mac 2019.

Yee juga merasakan bahawa majikannya, Lin telah memarahinya tanpa sebab dan Li kerap menyindirnya.

Pada Februari 2019, Yee sudah mula berfikir dan merancang untuk membunuh para pengarahnya terutamanya, Lin dan Li, menggunakan pisau.

Hubungan Yee dengan majikan ketiganya agak baik kerana Pan banyak membantunya dalam pekerjaan dan saling bertegur sapa.

Yee juga turut merancang untuk membunuh dirinya sendiri selepas membunuh majikannya itu kerana tidak mahu terikat dengan bebanan hukuman yang bakal diterima.

Pada Februari 2019, Yee telah membeli sebilah pisau selepas teman wanitanya memberitahu bahawa Lin ingin memecatnya.

Namun, Yee mengubah fikirannya dan dia tidak hadir ke pejabatnya selama sebulan dan menghabiskan masanya dengan bermain permainan di telefon bimbitnya dan membuat kajian tentang cara berkesan untuk membunuh orang.

Dia kembali ke pejabat tetapi dia telah menerima mesej daripada Pan yang mengatakan dia sudah tidak diperlukan untuk bekerja di situ lagi dan perkara itu telah mencetus kemarahannya.

Yee datang ke pejabat itu dengan membawa pisau pemotong daging dan pisau seramik dalam begnya dengan niat untuk membunuh para majikannya.

Dia mula menyerang Li di meja kerjanya dengan menetak kepada dan lehernya dari belakang dan kemudiannya mengugut Pan menggunakan pisau pemotong daging itu.

Setelah itu, Yee menghayun pisau pemotong daging itu ke leher Lin beberapa kali sebelum mengelar bahagian belakang kepala, leher, lengan kanan dan jari telunjuk kanan Lin.

Salah seorang pekerja yang terperangkap dalam kejadian tersebut telah menghubungi pihak polis dan pihak polis tiba beberapa minit kemudian.

Lin telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Li telah melalui pembedahan kecemasan dan telah keluar dari hospital lima hari selepas serangan tersebut.

Li kini dikatakan masih menjalani rawatan fisioterapi akibat kecederaan yang dialaminya.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca