Bunuh 300 Kanak-Kanak Perempuan, Pedro López Dibebaskan Kerana Berkelakuan Baik

Walaupun lelaki ini mengaku telah melakukan lebih 300 pembunuhan, dia tetap dibebaskan dengan alasan dia berkelakuan baik semasa dalam tahanan. Sehingga kini, tiada siapa yang mengetahui tentang keberadaan Pedro López atau lebih dikenali dengan jolokan nama Monster of the Andes.

Latar belakang

Pedro Alonso López dilahirkan pada 8 Oktober 1948. Dia merupakan anak hasil perselingkuhan seorang lelaki bernama Midardo Reyes dan seorang pelacur bernama Benilda López De Casteneda. Pedro tidak pernah berjumpa bapanya berikutan Midardo mati ditembak semasa mempertahankan sebuah kedai serbaneka daripada kumpulan perusuh.

Menurut Pedro, membesar dalam persekitaraan aktiviti pelacuran menyebabkan kesihatan mentalnya terganggu. Ketika berusia lapan tahun, Pedro telah diusir keluar dari rumah oleh ibunya apabila wanita itu menangkap Pedro sedang mencabul adik perempuannya.

Pedro melarikan diri ke Bogotá, Colombia di mana dia telah menjadi mangsa pemuas nafsu seorang lelaki. Pada usia 12 tahun, Pedro menjadi anak angkat kepada sebuah keluarga Amerika namun bertindak meninggalkan mereka dua tahun kemudian setelah tidak tahan menjadi mangsa seksual seorang guru lelaki di sekolahnya. Semenjak itu, Pedro mula melakukan beberapa siri jenayah kecil untuk menampung kehidupannya sebelum dia diberkas polis.

Pembunuhan

Menurut Pedro, pembunuhan pertama yang dilakukannya adalah semasa berada dalam tahanan pihak berkuasa. Tambahnya, ketika dia dihumban ke penjara akibat kesalahan mencuri kereta, Pedro telah dirogol bergilir-gilir oleh beberapa orang banduan. Berang dengan perlakuan tersebut, Pedro telah memburu setiap seorang daripada kumpulan banduan terbabit dan membunuh mereka dengan kejam.

Setelah tempoh tahanan di penjara tamat, Pedro berpindah ke Peru. Oleh kerana masih tidak berpuas hati atas kejadian yang menimpanya, lelaki terbabit telah melepaskan amarahnya dengan menculik, membunuh dan merogol kanak-kanak di Peru. Rata-rata daripada mereka berusia antara sembilan sehingga 12 tahun. Kesemua mereka diperlakukan seperti mana Pedro pernah dirogol suatu ketika dahulu.

Pedro mengganas dan membunuh secara rawak pada bila-bila masa. Menurutnya, dia pernah membunuh tiga orang kanak-kanak dalam masa satu minggu.

Dalam satu masa, Pedro dikatakan telah dicekup oleh suku kaum Ayachucos ketika cuba menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun. Pedro hampir ditanam hidup-hidup oleh masyarakat itu tetapi ‘diselamatkan’ oleh seorang mubaligh barat yang berjaya meyakinkan kaum terbabit untuk menyerahkan Pedro ke pihak berkuasa.

Namun begitu, polis Peru tidak menjatuhkan apa-apa hukuman kepada lelaki berkenaan. Pedro kemudiannya dihantar semula ke negara asalnya, Colombia di mana dia terus melakukan jenayahnya sebelum berpindah ke Ecuador untuk melakukan perkara sama. Pedro berkata dia sudah membunuh lebih 100 orang gadis kecil pada tahun 1978.

Dalam satu sesi temu bual, Pedro berkata dia lebih menggemari kaum perempuan di Ecuador kerana sifat mereka yang lemah lembut, naif dan mudah mempercayai orang.

Pengakhiran zaman keganasan Monster in The Andes

Pada tahun 1980, Pedro Alonso López akhirnya ditahan polis ketika cuba mengumpan seorang kanak-kanak perempuan untuk dijadikan mangsa seterusnya.

Apabila disoal siasat, Pedro terus mengaku terhadap 110 pembunuhan awal yang pernah dilakukannya.

Pada mulanya, pihak polis sangsi dengan pengakuan tersebut berikutan bilangan mangsa yang terlalu ramai. Namun begitu, satu banjir kilat yang berlaku telah membawa kepada penemuan satu rangka manusia yang merupakan salah seorang mangsa Pedro. Lelaki terbabit telah membawa pihak polis dan menunjukkan kepada mereka tempat dia menanam 53 orang mangsa yang lain

Pedro Alonso López disabitkan kesalahan atas pembunuhan 110 orang kanak-kanak perempuan. Walaupun lelaki terbabit mengaku dia telah membunuh ramai lagi, tiada bukti kukuh yang ditemui pihak berkuasa. Pedro dijatuhkan hukuman penjara 16 tahun iaitu jangka masa maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang Ecuador.

Namun begitu, usai perbicaraan, Pedro telah disahkan tidak siuman oleh hakim dan telah diarahkan untuk menjalankan hukumannya di sebuah hospital psikiatri. Setelah 14 tahun mendiami hospital terbabit, Pedro dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM209 dengan alasan berkelakuan baik sepanjang tempoh hukuman.

Setelah dibebaskan pada tahun 1998, keberadaan Pedro tidak diketahui oleh sesiapa. Pada tahun 2002, satu waran penangkapan lelaki itu telah dikeluarkan oleh polis Colombia setelah mereka berdepan sebuah kes pembunuhan yang mempunyai motif dan cara yang sama seperti jenayah yang pernah dilakukan Pedro.

Maklumat terkini mengatakan Pedro Alonso López masih lagi bebas dan lokasi terkini lelaki itu tidak dapat dipastikan.

Artikel Lain Untuk Di Baca