Bunkface Akhirnya Tampil Beri Penjelasan Tentang Lagu ‘Akhir Zaman’

Single terbaharu kumpulan Bunkface yang berjudul Akhir Zaman sebelum ini menerima kritikan hebat daripada warganet gara-gara terdapat bait-bait yang mengundang kemarahan segelintir pihak. Terdahulu, kumpulan yang dianggotai tiga pemuda itu memaklumkan bahawa mereka akan mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan lagu Akhir Zaman pada bulan April nanti.

Walau bagaimanapun, tinjauan kami mendapati kumpulan yang sudah lebih sedekad aktif dalam industri hiburan tanah air itu telah memuat naik satu kenyataan rasmi berhubung isu ini di laman Instagram rasmi mereka.

Menurut Bunkface, mereka menerima segala kritikan positif mahupun negatif yang diberikan.

“Alhamdulillah, berdasarkan komen-komen yang kami terima, majoriti rakyat Malaysia memberi sokongan kepada mesej yang cuba kami sampaikan, terima kasih,” tulis kenyataan itu.

Dalam kenyataan yang sama, Bunkface juga tampil memberi penjelasan mengenai isu lirik yang dikatakan oleh sesetengah pihak sebagai mempromosikan kebencian terhadap golongan LGBT.

Mereka mengatakan bahawa perkataan LGBT yang digunakan dalam lirik lagu tersebut bukanlah ditujukan kepada mana-mana individu, tetapi ia ditujukan kepada komuniti LGBT yang semakin meluas di seluruh dunia terutamanya kepada mereka yang beragama Islam di Malaysia.

Sebaris ayat yang diadaptasi daripada kitad suci al-Quran, “Engkau agamamu, aku agamaku” (Surah al-Kafirun ayat enam) menjelaskan lagi bahawa mesej lagu tersebut ditujukan kepada mereka yang beragama Islam sahaja. Tambahan lagi, lirik lagu Akhir Zaman juga dihasilkan dalam bahasa Malaysia kerana majoriti Muslim di Malaysia terdiri daripada bangsa Melayu dan agar ia lebih jelas, nyata dan terang untuk difahami.

Bunkface juga menegaskan bahawa mereka sama sekali tidak berniat atau mahu membenci mana-mana individu, mahupun mempromosikan kebencian terhadap mereka. Apa yang Sam, Youk dan Paan tentang adalah pergerakan LGBT yang sedang cuba mempromosikan ‘hak’ mereka secara terang-terangan di Malaysia terutamanya mereka yang beragama Islam.

Tegas Bunkface, yang haram itu tetap haram dan definisi Islam itu sendiri bermaksud menyerah atau tunduk patuh kepada ajaran-Nya. Jadi, siapalah kita untuk mempersoalkan hukum-hakam yang telah ditetapkan-Nya.

Menerusi hantaran yang sama, Bunkface turut berkongsi tangkap layar memaparkan video lirik lagu Akhir Zaman dihapuskan dari laman Facebook kerana didapati melanggar piawaian laman sosial itu daripada segi menyebarkan kebencian.

Untuk baca artikel lain berkenaan kontoversi lagu Akhir Zaman, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca