Bumi Pernah Gelap Selama 6 Tahun, Ini 4 Letusan Gunung Berapi Paling Dahsyat Dalam Sejarah Dunia

Tahukah anda? Letusan gunung berapi merupakan kejadian luar biasa yang mampu memberi kesan berpanjangan kepada semua hidupan di muka bumi.

Bahkan, bumi pernah menjadi gelap selama enam tahun akibat letusan gunung tersebut. Ramai juga manusia yang terkorban sewaktu dan selepas kejadian letusan itu.

Populasi manusia juga berkurangan akibat ketiadaan sumber makanan kerana hasil letusan yang kuat menyebabkan pepohon dan dedaun tidak mampu melaksanakan proses fotosintesis. Maka, ramai manusia ketika itu mati akibat kebuluran.

Berikut merupakan empat letusan terbesar gunung berapi di dunia:

1. Gunung Krakatau

Gunung yang tumbuh di antara kepulauan Sumatera dan Jawa ini pernah meletus pada tahun 1883 dengan kekuatan ledakan pada skala 6 dalam Volcanic Explosivity Index (VEI). Ketinggian debu yang dilepaskan ke udara oleh gunung ini lebih besar daripada gunung Pinatubong iaitu sebanyak 25 km/15.5 batu.

Debu Krakatau dikatakan mengambang ke seluruh dunia dan gelap selama setahun. Maka, tidak hairanlah jika letupan gunung ini didengari sehingga ke kepulauan Afrika dan dicatatkan sebagai letupan paling kuat dengan kelantangan sebanyak 310 disibel (dB).

Sebahagian daripada volkano yang meletus menyebabkan tsunami besar berlaku dengan ketinggian 50 meter. Lava atau volkanik yang dimuntahkan keluar daripada gunung ini pula mencapai sejauh 25 kilometer (km) kubik. Kesan daripada peristiwa ini menyebabkan suhu global menurun kepada 3 darjah celsius.

2. Gunung Tambora

Kejadian dentuman letusan berlaku setiap 15 minit bermula waktu senja di Indonesia pada 5 April 1815. Letusan paling dahsyat dilaporkan berlaku pada 10 April jam 7 pagi bersamaan dengan kekuatan magnitud sebanyak VEI 7. Gunung ini juga terkenal dengan letusan empat kali ganda lebih besar berbanding Krakatau.

Penyebaran debu ke udara adalah setinggi 50 km dan lava yang dikeluarkan oleh gunung ini mampu mencapai sejauh 50 hingga 150 km kubik. Peristiwa letusan turut membawa kepada kejadian tsunami yang mengakibatkan seramai 4,600 jiwa terkorban.

Impak letusan ini menyebabkan ramai manusia mati kebuluran berpunca ketidaksuburan tanah yang mengakibatkan ketiadaan sumber makanan.

3. Yellowstone

Gunung yang terletak di Amerika Syarikat (AS) ini pernah meletus sebanyak tiga kali dalam tempoh 2.1 juta tahun lalu. Letusan terakhir dicatatkan berlaku pada 640,000 tahun yang lalu.

Meletusnya gunung ini dikenali sebagai supervolcano dengan kekuatan ledakan tertinggi sebanyak VEI 8. Ledakan Yellowstone memusnahkan hidupan di muka bumi dengan jumlah yang lebih besar berbanding gunung lain.

Lebih menakutkan, Yellowstone mampu memuntahkan lava, debu, batu dan zat lain seperti belerang sejauh 2450 kilometer kubik. Ketinggian debu yang dilepaskan oleh Yellowstone pada waktu itu adalah 100km/62 batu.

Lebih membimbangkan apabila para saintis kini menjangkakan bahawa kebarangkalian Yellowstone untuk meletus lagi adalah sangat tinggi diikuti dengan penyebaran lava meliputi 500 kilometer radius dengan ketebalan satu meter.

Bahkan, letusannya pada masa akan datang mampu mengalahkan gunung Toba sebagai gunung berapi kedua paling dahsyat dalam sejarah dunia. Kesannya pada masa akan datang adalah lebih parah kerana berupaya menyebabkan negara AS lenyap dari peta dunia.

4. Gunung Toba

Siapa yang tidak kenal Danau Toba sebagai tempat pelancongan menarik di Medan, Indonesia. Danau indah ini tercipta hasil daripada
letusan gunung Toba yang 3 kali ganda lebih besar daripada Yellowstone. Turut dikenali sebagai super eruption, gunung ini meletup dengan kekuatan magnitud sebanyak VEI 8.

Ketinggian debu yang dilepaskan ke atmosfera adalah sejauh 120 km/75 batu dan diikuti dengan penyebaran lava sejauh 2800 kilometer kubik sehingga menutupi keseluruhan Lautan Hindi hingga Laut Arab dan sebahagian Samudera Pasifik.

Letusan yang berlaku pada 73,000 tahun yang lalu ini mengakibatkan hampir 60 peratus spesies hidupan di muka bumi mati. Bukan itu sahaja, suhu global turut berubah kepada 5 darjah celsius dan dunia menjadi gelap selama 6 tahun.

Demikian merupakan empat letusan gunung berapi yang dahsyat dalam sejarah dunia. Semoga perkongsian kali ini dapat menarik minat pembaca untuk lebih menghargai dan mencintai kewujudan alam semula jadi.

Artikel Lain Untuk Di Baca