Sebut sahaja perkataan ‘Mei’, pasti terbayangkan hal yang berkaitan dengan bulan kelima ini seperti karakter individu yang lahir pada bulan ini, stereotaip zodiak dan sambutan yang menarik seperti Cinco de Mayo, Star Wars Day, Hari Ibu dan sudah semestinya, bulan Ramadan yang jatuh pada bulan ini.

Tetapi, tahukah anda bagaimana bulan kelima ini mendapat namanya?

Secara general, bulan Mei merupakan bulan kelima mengikut tahun dalam takwim Gregorius dan ia antara bulan yang mempunyai 31 hari. Apa yang menarik ialah bulan ini dinamakan sempena nama seorang dewi kesuburan yang bernama Maia.

Terdapat dua orang dewi yang berkongsi nama yang sama. Menurut mitologi Yunani, dewi Yunani Maia merupakan salah satu daripada sahabat Artemis. Maia merupakan ibu kepada Hermes, seorang pengutus kepada Dewa.

Manakala bagi mitologi Roman pula, dewi Maia mendapat namanya daripada perkataan Latin untuk besar, iaitu ‘maius’. Secara tidak langsung juga, dewi ini dikaitkan dengan kesuburan, pertumbuhan dan musim bunga.

Masyarakat Roman banyak mengadaptasi unsur budaya masyarakat Yunani. Jadi, kedua-dua dewi ini lantas menjadi satu dan memberi nama mereka pada bulan kelima.

Namun begitu, terdapat juga cadangan lain yang menyatakan bahawa bulan kelima ini tidak mendapat namanya daripada dewi semata-mata.

Seorang penyajak Latin yang bernama Ovid mengatakan bahawa bulan Mei mendapat namanya daripada sebuah perkataan Latin, iaitu ‘maiores’ yang bermaksud ‘yang tua’. Hal ini demikian kerana bulan seterusnya, Jun mendapat namanya daripada perkataan Latin juga, ‘iunores’ yang memberi maksud ‘yang muda’.

Bulan Mei atau dalam bahasa Inggeris, ‘May’ turut menjadi faktor mengapa bulan kelima ini diberi nama sebegini. Perkataan ‘may’ mula ditambah ke dalam kamus Old English sekitar tahun 1000s.

Oleh sebab perkataan ini sering disalahertikan sebagai “Mother, may I?” bulan kelima ini mendapat satu lagi nama iaitu Primilce. Sayang sekali perkataan ini dilupakan kerana ia bermaksud ‘tiga kali memerah susu’ atau dalam bahasa Inggeris, ‘three milkings’. Hal ini demikian kerana aktiviti memerah susu lembu dilakukan sebanyak 3 kali dalam sehari pada bulan itu sahaja.

Penggunaan perkataan lain untuk bulan Mei dalam kamus Old English terjadi kerana kesilapan linguistik dan bukannya kerana maksudnya bertindih. Jika ditelusuri lebih dalam, kata kerja ‘may’ asalnya daripada satu lagi perkataan Old English, iaitu ‘magan’ yang bermaksud ‘untuk dapat’.

Itulah sebab mengapa bulan kelima diberi nama sebagai Mei. Bagi sesetengah orang, bulan Mei pernah dianggap sebagai bulan yang kurang tuah untuk berkahwin. Bahkan terdapat juga sebuah sajak dalam bahasa Inggeris yang menguatkan kenyataan ini, “Marry in May and you’ll rue the day!

Apa-apa pun, diharapkan bulan ini memberikan anda lebih banyak kebahagiaan kerana di United Kingdom, bulan Mei merupakan ‘National Smile Month!’

Penulis

  • Hylianah Jopius adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda
Sumber:

Passnownow

0
like
0
love
0
haha
0
wow
0
sad
0
angry