Akhir-akhir ini, penularan wabak COVID-19 menjadi semakin serius di seluruh dunia dan juga di Malaysia sendiri. Perkara ini membuatkan ramai yang panik untuk mencari topeng muka. Ia menyebabkan bekalan topeng muka tidak mencukupi dan orang ramai sukar untuk mendapatkan bekalan.

Situasi ini diburukkan lagi apabila ada sesetengah premis mewajibkan pemakaian topeng muka sebelum dibenarkan masuk ke dalam premis tersebut.
Lantaran itu, ada pihak tertentu yang bertindak menyorokkan bekalan topeng muka dan menjualnya di pasaran gelap untuk mengaut untung berlipat kali ganda.
Perkara ini menyumbangkan lagi kepada ketandusan stok topeng muka ketika penularan wabak COVID-19 ini dan mencetuskan panik dalam kalangan rakyat Malaysia yang menganggap topeng muka sebagai sesuatu kewajipan jika mereka keluar dari rumah.
Sebelum ini, harga topeng muka dalam pasaran hanyalah 80 sen sekeping sebelum dinaikkan kepada RM2 sekeping oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Kerana terjadinya pembelian panik topeng muka dalam kalangan masyarakat, seorang doktor selebriti iaitu Dr. Shazril Shaharuddin atau lebih dikenali sebagai Dr. Say Shazril terpanggil untuk membuat perkongsian di laman Instagram peribadinya. Dalam perkongsiannya itu, dia menyatakan bukan semua individu perlu memakai topeng muka. Sebaliknya, hanya mereka yang ada gejala pernafasan sahaja yang perlu memakai topeng muka.
View this post on InstagramA post shared by Dr Shazril Shaharuddin (@say_shazril) on
Dr. Shazril berkongsi juga pengalamannya dipandang serong kerana tidak memakai topeng muka ketika pergi membeli barang keperluan di sebuah premis jualan di Cyberjaya. Berikutan dengan itu, dia tidak dibenarkan masuk ke dalam premis tersebut.
“Saya tidak dibenarkan masuk hanya kerana tidak memakai topeng muka, sedangkan berpusu-pusu orang di dalam pasar raya itu,” tulisnya.
Disebabkan oleh itu, Dr. Shazril menyenaraikan golongan yang perlu memakai topeng muka dalam hantarannya itu. Golongan tersebut merupakan:
1. Petugas kesihatan yang mengendali pesakit seperti doktor, misi dan pegawai kesihatan.
2. Petugas di barisan hadapan seperti polis dan tentera.
3. Jika anda menjaga individu yang ada gejala pernafasan.
4. Jika anda ada gejala pernafasan seperti batuk dan selsema.
“Sekiranya seseorang itu bukan tergolong dalam kumpulan tersebut, tidak perlu memakai topeng muka,” tegas Dr. Shazril.
“Jika nak pakai topeng muka silakan tapi janganlah larang kebebasan mereka yang tak pakai,” tulisnya lagi di Instagramnya.
Sebelum Dr. Sazril berkongsi tentang perkara ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah pun menyenaraikan golongan yang perlu memakai topeng muka di dalam laman Twitter rasmi KKM.
Not everyone needs a mask. pic.twitter.com/AojAPa18FO
— KKMPutrajaya (@KKMPutrajaya) March 24, 2020
Dr. Shazril juga mencadangkan pendapatnya iaitu daripada melarang mereka yang tidak memakai topeng muka memasuki sesebuah premis, lebih baik pemilik premis itu perlu menghadkan kemasukan pelanggan pada satu-satu masa selain merekodkan suhu badan mereka.
Dia juga menasihatkan pelanggan supaya mengikut arahan kerajaan untuk mengekalkan jarak sosial satu meter antara satu sama lain.
Diharapkan orang ramai maklum tentang perkara ini. Sebagai rakyat Malaysia, terapkanlah dalam diri untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang dilaksanakan supaya kes penularan COVID-19 dapat dibendung dengan segera.
Untuk baca artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: