Budu Rahsia Cegah Kanser Perut?

Sebut sahaja budu, pasti terbayang orang Kelantan. Kulitnya putih, lembut dan yang paling penting, awet muda. Patutlah orang Kelantan lawa-lawa dan kacak semuanya, kan?

“Budu tok leh pisoh dengan ore Kelate, ore Kelate suko make budu.” Inilah salah satu ungkapan yang sering kita dengar daripada orang Kelantan lebih-lebih lagi yang menggemari budu.

Sering kita lihat orang Kelantan menikmati budu dengan ulam-ulaman seperti pucuk pegaga, tempoyak dan limau nipis. Selain rasanya yang sedap, masin secukup rasa, ia juga merupakan rahsia orang Kelantan kekal awet muda.

Ramai juga yang tidak menggemari budu kerana warna dan proses pembuatannya. Tetapi, ramai yang tidak tahu bahawa budu mempunyai banyak khasiat lebih-lebih lagi untuk kesihatan dalaman.

Prof. Dr. Lee Yeong Yeh, Pakar Perunding Kanan Gastroenterologi, Hepatologi dan Perubatan Dalam, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, kewujudan kuman Helicobacter pylori (H. pylori) adalah penyebab penyakit kanser perut.

Beliau berkata, unsur biokimia yang terdapat dalam makanan tradisional tempatan dapat merencat pertumbuhan H. Pylori dan mengurangkan risiko penyakit kanser perut bagi golongan yang menggemari budu.

Tradisi memakan budu dalam kalangan penduduk Kelantan secara tidak langsung mengurangkan jangkitan kuman H. pylori. Menurutnya, Kelantan adalah salah satu negeri yang mencatat kadar jangkitan kuman H. pylori terendah di Malaysia.

Kanser perut merupakan kanser ke-2 tertinggi yang menjadi penyebab kematian di seluruh dunia. Di negara kita, kanser perut merupakan kanser yang ke-6 paling kerap berlaku kepada lelaki dan ke-10 kepada wanita.

Ia terjadi apabila sel-sel di bahagian dinding perut tumbuh secara tidak normal dan tidak terkawal yang mengakibatkan berlakunya ketumbuhan di dalam bahagian perut.

Jangkitan kuman H. pylori mengakibatkan perut menjadi nipis atau luka (Peptic Ulcer). Pembiakan kuman ini menyebabkan gejala sakit perut terutama sekali ketika perut kosong, loya, kurang selera makan, selalu sendawa, perut sebu dan kurang berat badan secara mendadak. Ia juga dipanggil penyakit gastrik.

Sejak 1994 lagi, Agensi Kajian Kanser Antarabangsa mengklasifikasikan kuman H. pylori sebagai karsinogen atau bahan penyebab kanser.

Jadi, adakah betul budu merupakan ubat kanser perut?

Jawapannya, tidak secara terus. Bukan budu itu yang sebenarnya merawat kanser, tetapi pengamalannya dapat mencegah kanser perut. Amalan lain seperti merokok, minum arak dan seumpamnya juga perlu dielakkan.

Dengan gaya hidup sihat seperti pengambilan ulam-ulaman yang terbukti khasiat semula jadinya boleh mencegah kanser dalam kalangan manusia. Malah, ia bukan sahaja dapat mencegah penyakit kanser tetapi juga beberapa penyakit lain.

Penulis

  • Nurul Aufa Husni Mohamed Yusoff adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Artikel Lain Untuk Di Baca