Peniagaan secara dalam talian atau secara online ini semakin popular seiring dengan kemajuan teknologi pada masa kini. Selain mudah, cepat dan efektif, perniagaan dalam talian juga dilihat selamat dan tidak begitu berisiko. Ia juga menjimatkan kos kerana tidak memerlukan kedai dan hanya menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram sebagai medium untuk melakukan urusan jual beli.
Walau bagaimanapun, terdapat sejenis ‘penyakit’ yang menghantui para peniaga dalam talian ini iaitu suka mempamerkan kemewahan atau pendapatan yang mereka peroleh kepada orang ramai.
Walaupun ia hanya dianggap sebagai ‘marketing’ supaya orang mengenali produk mereka ataupun sebagai pembakar semangat orang ramai untuk memulakan perniagaan dalam talian, mereka tidak sedar bahawa perbuatan ini dapat mengundang pelbagai masalah kepada diri mereka sendiri. Orang yang berniat jahat sentiasa mencari peluang untuk mengambil kesempatan daripada kelalaian seseorang itu.
Sejak kebelakangan ini, banyak berita melaporkan kes-kes seperi rompak dan samun yang melibatkan peniaga-peniaga dalam talian. Siasatan mendapati bahawa mangsa gemar berkongsi gambar kemewahan yang ada dan hasil pendapatan yang diperolehi di media sosial. Malah, ada peniaga yang pernah menjadi mangsa rompak akibat berkongsi gambar kemewahan di laman sosial.
Oleh itu, semua peniaga dalam talian haruslah berfikir panjang sebelum mempamerkan kemewahan masing-masing. Bukan apa, takut nanti menangis tak berlagu.
Penulis
- Muhamad Hafis Hazli Bin Azman adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
- Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.