Nekoyoke adalah gelaran penghalau kucing yang digunakan di Jepun. Dipercayai nekoyoke akan menggunakan air biasa yang diletakkan di dalam botol bagi menghalau kucing dari membuang najis di kawasan rumah mereka kerana kucing dianggap takut akan pantulan bayangan dari air tersebut.
Lain pula versi di Malaysia apabila kebanyakkan rakyat akan menggunakan air sirap bagi menakutkan kucing dengan alasan kucing takut akan warna merah.

Namun masih ramai yang tidak mengetahui cara sebenar untuk menghalau kucing dari membuang najis di halaman rumah mereka. Hakikatnya, anda perlu mengantikan air sirap tersebut dengan minyak sitrus kerana kucing tidak menggemari bau tersebut dan kerap menyembur air ketika kucing hendak membuang najis. Kaedah ini akan berkesan apabila lama kelamaan kucing akan menyedari bahawa mereka dilarang untuk menghampiri kawasan tersebut.
Cara lain yang boleh digunakan untuk menghalau kucing adalah menggunakan cuka, pelembut fabrik dan sebotol air. Anda boleh campurkan tujuh hingga ke lapan titis cuka dengan satu per empat penutup pelembut fabrik bersama air dan goncangkan kesemua bahan hingga larut. Kemudian anda boleh semburkan campuran air tersebut ke tempat sasaran kucing membuang najis.

Malahan anda juga boleh menggunakan air perahan limau kasturi yang dibuang biji dan sembur pada kawasan membuang najis kucing. Lakukan dua cara ini secara konsisten agar lebih berkesan.
Kadangkala kita tidak mampu menghalau kucing liar yang datang membuang najis tanpa memberi amaran. Namun begitu, kita masih boleh menghalang perkara itu daripada terjadi dengan melakukan sesuatu sebagai usaha. Diharapkan perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada pembaca.
Penulis:
- Nur Syafiqah Binti Mat Arif adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
- Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.
Untuk membaca artikel yang berkaitan, klik pada pautan di bawah: