Buaya Legenda Bujang Senang Ini Bukan Senang Untuk Ditangkap

Selain manusia, koloni buaya turut menghuni kawasan lembah sungai di Sarawak. Kawan penulis yang belajar di UNIMAS pernah menceritakan bahawa buaya menjelingnya ketika dia sedang melakukan kajian lapangan di sungai itu adalah perkara biasa.

Malah turut diceritakan bahawa ada kes penduduk tempatan yang kehilangan punggung sesudah melepaskan ‘hajat’ di sungai. Lebih tragis apabila ada yang kehilangan nyawa, disambar rakus oleh sang bedal.

Namun ada seekor buaya yang menjadi sebutan dan digeruni sehingga kini iaitu Bujang Senang. Nama Inggeris bagi Bujang Senang ini bukanlah Happy Single sebaliknya Crocodylus porosus dari segi saintifiknya. Itu nama yang saintis berikan kepada spesies buaya tembaga itu dan menurut laman web Forbes , buaya merupakan haiwan yang oportunis, agresif malah lebih kejam berbanding ikan jerung.

Jerung biasanya tidak berminat dengan daging manusia dan akan ‘Euww, tak sedapnya’ jika tergigit manusia yang disangka anjing laut serta akan melepaskannya serta merta. Tetapi buaya tidak memilih makan dan ada yang membunuh untuk suka-suka, sengaja meninggalkan ‘sisa makanannya’ untuk dijumpai oleh orang.

Mengikut perkongsian dari laman web Libur dan ilovekuching, Bujang Senang ini dikatakan pernah mengganas di Sungai Batang Lupar dan ada kisah mitos di sebalik buaya yang dipercayai berpuaka ini.

Mitos

Pada suatu ketika dahulu, ada seorang pahlawan Iban bernama Simalungun. Waktu itu, adat ngayau atau memburu kepala masih diamalkan oleh masyarakat peribumi.

Sebut nama Simalungun, ramai musuh yang kecut perut dan gerun kerana dia merupakan seorang pahlawan yang hebat dan telah banyak memotong kepala orang. Dia juga dipercayai kebal dan tidak lut dengan sebarang senjata. Dia membunuh musuh dengan mudah tanpa sedikit pun kecederaan.

Maka musuh-musuhnya nekad mencari jalan bagaimana untuk menumpaskan Simalungun.

Suatu hari, isteri pahlawan itu diculik dan disembunyikan di suatu kawasan tidak jauh daripada Sungai Batang Lupar. Apabila Simalungun mendapat tahu, darah panasnya mula naik menggelegak lalu pergi mengejar penculik-penculik itu seorang diri demi mahu menyelamatkan isteri kesayangannya.

Ketika diculik, isteri Simalungun telah diseksa oleh para penculik supaya membongkarkan kelemahan suaminya dan sang isteri secara tidak sengaja telah memberitahu rahsia kekebalan Simalungun.

Tidak lama kemudian, Simalungun tiba di tempat kejadian. Isterinya dilepaskan dan tali ikatan tangannya dileraikan. Sang isteri berlari mendapatkan suaminya namun tidak berjaya sampai apabila sebilah tombak musuh menembusi tubuhnya sebelum rebah ke bumi dan mati serta-merta depan mata Simalungun.

Pahlawan itu naik berang lalu bertarung habis-habisan dengan para musuhnya. Musuhnya sudah tahu bahawa kekebalan Simalungun tidak menjadi jika lelaki itu memijak air sungai lalu sengaja bertarung dekat dengan air sungai.

Simalungun sudah tidak pedulikan lagi pantang larangnya. Dia hanya mahu menuntut bela atas kematian isteri yang dicintainya. Akhirnya dia tewas ditombak musuh dan jasadnya dibiarkan begitu saja bersama mayat isterinya di tepi Sungai Batang Lupar itu.

Ketika air pasang, mayat pasangan suami isteri itu dipercayai bertukar menjadi dua ekor buaya besar. Terdapat tanda belang putih di belakang salah seekor buaya ini dan inilah yang dikenali sebagai Bujang Senang yang menghantui keturunan pembunuhnya berdasarkan cerita lisan orang tua.

Terdapat banyak lagi versi cerita mitos berkaitan dengan Bujang Senang ini, hampir semuanya bermotifkan dendam  dan kisah Simalungun ini antara yang paling popular.

Bujang Senang menyerang mangsa

Memetik laporan BH Online, buaya jelmaan ini dikatakan telah membaham lebih 14 penduduk Iban sejak tahun 1940-an dan menjadi igauan ngeri penduduk sekitar Sungai Batang Lupar. Pada tahun 1982, Penghulu Bangan dari Rumah Panjang Pali di Sri Aman yang sedang menangguk udang telah dibaham oleh Bujang Senang sebelum diheret ke dalam sungai. Lima hari kemudian, hanya badan mayat lelaki itu yang ditemui. Saksi kejadian ternampak ada belang putih di belakang buaya itu ketika menyerang mangsa.

Kes itu mendapat perhatian dan menggemparkan masyarakat. Polis Sarawak telah melancarkan ‘Operasi Buaya Ganas’ di sungai besar di negeri itu seperti Batang Sadong, Samarahan, Layar, Saribas dan Lupar tetapi gagal menemui Bujang Senang. Buaya itu terus mengganas antara tahun 1981 hingga 1982 dan dipercayai 13 orang mangsa telah menjadi korban. Kemuncak serangan itu adalah pada Mei 1992 apabila seorang gadis Iban menjadi mangsanya yang ke-14. Dayang anak Bayang, 20, sedang menyeberangi Sungai Pelaban bersama ibunya dan tiba-tiba si Bujang Senang menyambar gadis malang itu.

Bujang Senang ini sudah melampau. Kejadian itu menyebabkan ramai penduduk Iban dan polis memburu buaya itu hingga ke lubang cacing. Akhirnya buaya ini berjaya dikepung di suatu kawasan sungai setelah kira-kira empat jam mereka cuba menjejak. Mereka cuba membunuh buaya itu dengan menggunakan lembing dan peluru biasa namun gagal.

Kemudian seorang dukun Iban mencadangkan paku digunakan sebagai peluru dan atas nasihat itu, maka kira-kira 40 das tembakan menggunakan paku sepanjang 10 sentimeter dilepaskan ke arah Bujang Senang sehingga riwayat buaya raksasa itu tamat dengan izin-Nya. Perut buaya itu turut dibelah dan mereka menemui jala ikan serta pelbagai barangan berbentuk cincin yang sukar dikenal pasti. Berikut video gambar Bujang Senang  yang disiarkan di Youtube oleh Mohd Rifqi:

Namun begitu, masih ada penduduk yang mempercayai Bujang Senang yang sebenar masih berkeliaran bebas dan buaya yang ditembak mati itu adalah isterinya. Episod buaya mengganas itu tidak berkesudahan begitu saja. Konco-konco Bujang Senang seperti Bujang Samarahan, Bujang Belawai, Bujang Tisak, Bujang Subis dan Bujang Seblak turut mempunyai konflik dengan manusia, mungkin berdendam kerana pencemaran sungai yang merupakan habitat mereka dan kulit puaknya dijadikan beg tangan Hermes Birkin oleh manusia

Sejauh mana kebenaran cerita Legenda Bujang Senang ini, hanya Dia yang Maha Mengetahui saja yang tahu. Kesahihannya masih boleh disangkal oleh pihak logika dan skeptikal. Apa pun, kisah ini seronok juga untuk diceritakan kepada anda.

 

Artikel Lain Untuk Di Baca