Daniel Scali dari Australia telah berjaya memecahkan Rekod Dunia Guinness sebagai manusia yang berjaya melakukan senaman planking paling lama.
Memetik laporan NDTV, senaman planking yang dibuat oleh Daniel selama sembilan jam, tiga puluh minit dan satu saat pada Ogos 2021 adalah satu pencapaian yang luar biasa.
Walau bagaimanapun, apa yang membuatkan pencapaian berkenaan lebih luar biasa adalah kerana Daniel melakukan senaman planking melebihi sembilan jam itu ketika beliau menderita CRPS (complex regional pain syndrome).
Beliau mula-mula mengalami CRPS pada lengan kirinya selepas terjatuh daripada kain terpal ketika berusia 12 tahun. Sindrom ini menyebabkan lengan beliau sakit ketika membuat senaman tersebut.

Bagi Daniel pula, apa yang beliau cuba sampaikan adalah semua orang mampu mencapai sesuatu perkara tidak kira apa pun situasi yang anda hadapi.
Sepanjang membuat planking berkenaan, Daniel memakai sesuatu untuk melindungi lengannya yang dipercayai mampu mengurangkan rasa sakit dan menyerap tekanan sepanjang beliau melakukan senaman berkenaan.
Melalui riak wajah Daniel, anda dapat melihat kesakitannya yang jelas terpampang pada muka beliau walaupun mempunyai alat sokongan tambahan. Daniel menyatakan apa yang beliau rasa adalah pengalaman sakit luar biasa.
Tekanan itu dapat dirasa pada siku dan lengan sehingga ke bahu. Lelaki itu juga menambah bahawa kakinya terasa kebas manakala lutut, paha dan lengan kiri seolah-olah terbakar.

Persiapan Daniel dalam cubaan memecahkan rekod dunia yang dahulunya dipegang George Hood itu termasuk melakukan banyak latihan push-up dan sit-up di gimnasium untuk mempersiapkan badannya bagi mengharungi tempoh sembilan jam yang harus ditanggungnya.
Menurut Daniel, “Ketika berjaya menyelesaikan plank, emosi yang melanda saya sangat luar biasa. Emosi gembira. Saya telah mencapai matlamat yang ingin dicapai iaitu meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kesakitan kronik. Saya telah mencapai objektif utama untuk memberi kesedaran kepada CRPS dan berjaya memecahkan rekod.
Saya ingin membuktikan kepada semua orang bahawa apa pun keadaan yang anda lalui dan apa-apa halangan yang dimiliki, jika anda memikirkannya dan yakin dapat melakukannya, anda mampu untuk mencapainya.
Sekiranya seseorang memberitahu saya lima tahun lalu bahawa saya akan melakukan percubaan memecah Rekod Dunia Guinness untuk planking paling lama di dunia, saya tidak akan percaya. Saya mungkin tidak akan percaya pada waktu itu dan saya juga tidak berani menerima apa yang harus saya hadapi.”
Memetik laporan Men’s Health, Daniel menjelaskan bahawa apa-apa seperti sentuhan lembut, air dan pergerakan angin akan membuatkan beliau rasa sakit.
Kejayaan Daniel membuat senaman planking melebihi sembilan jam itu menyaksikan beliau berjaya memecah rekod dunia yang dipegang oleh seorang pesara tentera bernama George Hood iaitu lapan jam, lima belas minit dan lima belas saat pada Februari 2020. Anda boleh tonton video penuh di bawah.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: