Buat ‘Gathering’ Di Lorong Kecemasan Lebuhraya Temiang-Pantai, Polis Akan Panggil Kumpulan Terlibat

Pihak polis akan memanggil sekumpulan individu yang dipercayai merupakan ahli sebuah kelab kereta untuk memberi keterangan dalam masa terdekat selepas gambar mereka berkumpul di lorong kecemasan Jalan Temiang-Pantai di Negeri Sembilan tular menerusi media sosial.

Memetik laporan BERNAMA, Ketua Polis Daerah Nilai iaitu Superintenden Mohd Fazley Ab Rahman berkata tindakan itu dibuat selepas pihaknya mengesan hantaran di laman Facebook yang memaparkan sekumpulan individu daripada kelab kereta FCCM-FC Club Malaysia memberhentikan kereta untuk bergambar di lebuh raya berkenaan kira-kira 6.30 petang pada Sabtu lalu.

“Untuk permulaan kami akan panggil ketua kelab itu dahulu. Kami dah kenal pasti kira-kira 48 kereta setakat ini. Berhenti dan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan tanpa sebab munasabah seperti gambar yang tular itu merupakan satu kesalahan kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Tindakan undang-undang boleh diambil ke atas individu mengikut Kaedah 53(1) Peraturan-Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu tiada kenderaan daripada apa-apa kelas diletak atau ditinggalkan tanpa jagaan di mana-mana lorong kecemasan kecuali dalam kes kecemasan,” jelasnya.

Sumber: The Vocket

Dalam pada itu, Fazley turut berkata hukuman denda juga boleh dikenakan ke atas individu yang terlibat di bawah Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Ketua Polis Daerah Nilai itu turut menasihatkan orang ramai untuk tidak mengambil tindakan yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain.

Fazley berkata perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan akan dilakukan untuk menyelaraskan tindakan lanjut selain cadangan bagi menyediakan tempat khusus di kawasan itu untuk orang ramai bergambar serta menjaja.

“Lebuhraya Temiang-Pantai merupakan lokasi yang menarik dan menjadi tumpuan orang ramai berhenti untuk mengambil gambar kerana keindahan pemandangan di situ tetapi tindakan mengambil gambar seperti yang tular itu boleh mengundang bahaya,” tambahnya.

Kelab kereta itu memuat naik beberapa keping gambar di laman Facebook semalam menunjukkan deretan kenderaan dipercayai milik ahli kelab di laluan kecemasan kedua-dua arah untuk mengambil gambar yang didakwa merupakan sebahagian daripada aktiviti lepak santai mereka.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca