Bagi rakyat Malaysia, sambutan tahun baru kebiasaanya diraikan dengan menyaksikan pertunjukkan bunga api di beberapa kawasan popular di ibu kota. Ada juga yang memilih untuk menyambut ketibaan 2020 bersama keluarga di rumah.
Namun begitu, di sesetengah tempat di dunia, terdapat beberapa tradisi pelik yang dilakukan mereka pada ambang tahun baru.
Berikut merupakan tujuh tradisi unik yang diraikan di beberapa negara di dunia.
1. Makan anggur

Di Sepanyol, masyarakat tempatan mempunyai tradisi tersendiri yang dilakukan tepat jam 12 tengah malam pada 31 Disember.
Sebanyak 12 biji anggur yang mewakili bulan-bulan dalam kalendar harus dimakan oleh masyarakat di negara itu apabila jarum jam tepat menunjukkan jam 12 tengah malam.
Sekiranya anda berjaya memakan 12 biji anggur tepat pada masanya, masyarakat Sepanyol percaya bahawa tahun baru anda akan diberkati.
2. Baling perabot lama

Sudah menjadi satu tradisi bagi masyarakat Afrika Selatan untuk membuang perabot lama keluar melalui tingkap pada 31 Disember untuk menandakan permulaan tahun baru.
Walau bagaimanapun, tradisi berkenaan sudah semakin hilang di kawasan Hillbrow, Johannesburg selepas banyak laporan diterima mengenai televisyen dan peti sejuk yang dicampakkan ke tanah mampu meragut nyawa orang yang lalu-lalang di kawasan terbabit.
3. Tahun baru di kuburan

Tradisi ini mungkin kedengaran agak mengerikan, namun bagi masyarakat Chile, ketibaan tahun baru akan disambut bersama dengan ahli keluarga yang sudah meninggal dunia.
Kubur-kubur di bandar Talca, Chile akan dibuka sehingga tengah malam untuk membolehkan orang ramai menyambut tahun baru di kubur ahli keluarga mereka.
4. Daging babi

Bagi masyarakat Hungary pula, ia sudah menjadi satu tradisi untuk menjamah daging babi pada tahun baru kerana mereka percaya ia akan membawa tuah.
Kandungan lemak yang berada di dalam daging tersebut dikatakan menjadi lambang kekayaan dan kesejahteraan bagi sesiapa yang menjamahnya.
Pelbagai jenis hidangan berasaskan daging babi akan dihasilkan pada hari itu, namun, makanan yang mempunyai ikan wajar dielakkan kerana haiwan akuatik itu dipercayai menunjukkan tuah seseorang yang berenang pergi.
5. Pecahkan pinggan di pintu hadapan rumah

Sekiranya anda meraikan tahun baru di Denmark, jangan kaget apabila melihat banyak serpihan pinggan pecah bertaburan di hadapan pintu-pintu rumah.
Bagi masyarakat di negara itu, memecahkan pinggan di hadapan pintu rumah akan membawa tuah kepada sesiapa sahaja yang tinggal di bangunan itu.
Tidak cukup dengan itu, masyarakat tempatan juga percaya sekiranya seseorang individu melompat dari sebuah kerusi pada tengah malam tahun baru, tuah akan datang kepadanya.
6. Pukul roti pada dinding

Merupakan satu tradisi lama yang pernah diraikan di Ireland di mana masyarakat di negara itu akan memukul beberapa buku roti pada dinding apabila tepat jam 12 tengah malam pada tahun baru.
Tradisi ini dikatakan untuk menghalau roh-roh jahat dan menjemput perkara baik datang ke rumah.
7. Jatuhkan aiskrim

Dikatakan akan membawa ketenangan dan nasib yang baik pada tahun baru, masyarakat Switzerland mempunyai tradisi unik di mana mereka akan menjatuhkan aiskrim pada lantai.
Untuk membaca artikel lain berkaitan tradisi, sila klik pada pautan di bawah: