BTS Mahu Berehat, Big Hit Mohon Peminat Biarkan Mereka Berehat Secara Tersendiri

Kumpulan penyanyi dan penari lelaki terkenal dari Korea, Beyond The Scene atau lebih senang dikenali sebagai BTS, membuat keputusan untuk berehat setelah tujuh tahun berusaha keras menggapai impian mereka sejak 2013.

Syarikat penerbitan BTS iaitu Big Hit telah mengeluarkan satu pernyataan rasmi bahawa persembahan Lotte Duty Free Family di Seoul semalam merupakan persembahan terakhir mereka yang dijadualkan.

“BTS tidak pernah bercuti secara rasmi atau erti kata lain mereke sebenar-benarnya tidak pernah bercuti secara betul sejak mereka debut. Jadi, tempoh percutian ini harapnya dapat memberikan mereka masa berehat yang secukupnya dan bersedia untuk menjadi pemuzik yang lebih berkaliber,” kata Big Hit dalam kenyataan rasmi tersebut.

Semasa dalam tempoh percutian BTS bermula hari ini sehingga dua bulan akan datang iaitu Oktober nanti, setiap ahli BTS akan membawa diri masing-masing secara berasingan dan menikmati percutian mereka dengan cara tersendiri.

Seperti penulis lagu, penari dan vokalis BTS, Jeon Jungkook, 22, buat pertama kalinya dia akan menyambut hari jadinya bersama dengan keluarga tersayang sejak dia berumur 13 tahun.

“Sekiranya anda mempunyai peluang bertemu dengan anggota BTS ketika mereka sedang bercuti, kami memohon kepada anda untuk menunjukkan pertimbangan atas keperluan mereka untuk berehat dalam erti kata sebenar dan menikmati waktu peribadi mereka.”

“Secara tidak langsung, BTS mempunyai peluang untuk mereka betul-betul menikmati masa muda mereka yang masih berumur 20-an dan menjalani kehidupan biasa yang dijalani belia sebaya mereka,” tambah syarikat itu lagi.

BTS tidak pernah bergerak perlahan dalam industri muzik sejak 2013. Mereka telah melakukan lima lawatan berbeza untuk persembahan di lima benua, melancarkan enam album penuh dan enam extended play (EP) album.

Artikel Lain Untuk Di Baca