Malas? Ya, malas. Setiap daripada kita pastinya mempunyai sifat malas ini walau sebesar zarah sekalipun. Memang tidak dinafikan kononnya sifat malas dalam diri seseorang ini kadangkala hadir disebabkan oleh sesuatu keadaan atau situasi yang sering berlaku berulang kali sehingga mendesak individu tersebut untuk mengalah atau berputus asa.
Lebih parah lagi, jika ada antara kita semua yang malas dalam melakukan apa jua aktiviti bahkan memilih untuk tidur sepanjang hari. Sikap bagaikan menunggu bulan jatuh ke riba ini semestinya tidak menguntungkan mana-mana pihak. Percayalah, anda akan menjadi lebih rugi jika terlalu asyik melayan kehendak malas.
Meniti zaman yang serba canggih ini, tiada satu pun kejayaan yang datang bergolek dengan sendiri. Kesemua hasil ini akan wujud dengan satu perkataan yang dipanggil ‘usaha’. Berikut 4 langkah mudah bagi membendung diri daripada terus menerus dilanda rasa malas yang tidak berpenghujung.
1. Muhasabah diri
Muhasabah? Definisi bagi muhasabah ialah perbuatan menilai diri daripada segala aspek seperti fikiran, tindakan dan sebagainya. Muhasabah merupakan sebahagian daripada langkah penting untuk dilaksanakan jika anda mahukan perubahan yang lebih baik. Melalui intropeksi diri, individu lebih mudah untuk membina kembali keyakinan diri mereka.
Kesannya, ia akan membentuk aura positif dalam minda individu. Hasilnya, mind-set yang positif akan melahirkan tindakan yang positif. Maka, tidak hairanlah jika segala yang berlaku, yakni hasil daripada tindakan individu itu sama ada gagal atau berjaya, semuanya berpunca daripada mind-set.
Ingat! Jika kau fikirkan kau boleh, kau hampir boleh melakukan. Jika kau fikirkan ragu-ragu, usahamu tidak menentu.
2. Buat ‘to-do list’
Seterusnya, hasilkan satu senarai apa yang perlu anda buat setiap hari. Sebagai contoh, mengemas rumah, menyiapkan tugasan-tugasan lain dan sebagainya. Terdapat banyak faedah jika mengamalkan to-do-list ini. Antaranya ia dapat membantu kehidupan seharian individu untuk menjadi lebih teratur.
3. Kenali dan sayangi diri anda
Mengenali diri sendiri adalah sebahagian daripada langkah terpenting bagi menghindarkan sifat malas. Dengan mengenali diri sendiri, seseorang akan jauh lebih peka dengan kehendak, tujuan dan matlamat yang diimpikan dalam hidupnya.
Sebagai contoh, individu tersebut mahu menjadi seorang usahawan yang berjaya berikutan bosan untuk terus hidup umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ada juga individu yang lebih cenderung untuk bekerja di rumah kerana suka dengan masa bekerja yang bebas tanpa terikat dengan majikan.
Maka, malas atau tidak, itu semua bergantung kepada minat individu juga. Jika bijak individu itu mengurus dan mengenali dirinya, maka bijaksanalah semua keputusan dan tindakan mereka.
4. Bangkit dan kejar impian anda!
Setelah berjaya mengenali diri dan matlamat, individu akan mudah untuk berbuat sesuatu dengan begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh. Hal ini secara tidak langsung mampu mendorong sikap positif dalam diri individu untuk terus berusaha dan komited dalam mengejar impiannya.
Kesibukan dalam merealisasikan impian individu juga menggalakkan mereka untuk menjadi lebih produktif. Ini bermakna, waktu tidak akan terbuang dengan perkara atau perbuatan yang sia-sia, malah sebaliknya.
Seseorang harus menerima kegagalan yang berulang kali. Akan tetapi, apa boleh buat? Itulah realiti kehidupan. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.
Ingat, tiada apa yang mustahil jika kita sentiasa berusaha. Usaha, usaha dan usaha kemudian diikuti dengan rasa tawakal serta percaya dengan segala yang ditentukan oleh Allah SWT.
5. Tingkatkan pergaulan sosial
Bukan itu sahaja, individu juga boleh tingkatkan lagi jaringan sosial dalam komuniti masyarakat. Hubungan sosial antara sebuah komuniti pastinya membawa seribu kebaikan, di mana ia bukan sahaja mampu membina keyakinan diri, namun membentuk seseorang individu untuk menjadi lebih baik.
Walau bagaimanapun, janganlah kita mengamalkan sikap serkap jarang untuk berkawan dengan sesiapa sahaja. Perlu diingat, dengan siapa kita bergaul ialah satu daripada faktor terbesar sebagai penentu kejayaan kita.
Percaya atau tidak, jika sekeliling kita merupakan sebuah kelompok yang sangat rajin dalam mencari rezeki, maka secara tidak langsung kita akan terdorong untuk menjadi seperti itu.
Misalnya, jika kita dikelilingi oleh masyarakat atau rakan yang tidak suka menangguhkan pekerjaan, maka, kita juga akan terdorong untuk mengamalkan sikap tersebut.
Kesimpulannya, semua bergantung kepada diri masing-masing. Sikap yang rajin pastinya menjadikan individu sebagai seorang yang sangat menghargai masa. Begitu juga sebaliknya, mereka yang malas akan mengambil mudah dalam setiap perkara.
Bak kata pepatah, masa itu emas. Maka, elakkanlah diri daripada kerugian. Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah S.W.T dalam Surah al-Ra’d, ayat 11, iaitu “Allah tidak akan mengubah suatu kaum sampai mereka mengubahnya sendiri.”
Untuk membaca artikel yang berkaitan dengan motivasi atau psikologi, sila klik pada pautan di bawah: