Bonglai Atau Beka? Ini Adalah Pokok 1001 Manfaat

Pokok bonglai atau beka ini merupakan tumbuhan yang mempunyai buah seakan buah petai namun tidak mempunyai biji yang besar. Pokok ini juga mempunyai nama saintifiknya iaitu Oroxylum indicum serta kemungkinan ia jarang didengari terutamanya kepada golongan muda kini kerana ia boleh tumbuh meliar di kawasan hutan-hutan belantara dan juga berhampiran sungai.

Di perkampungan pula, pokok ini ditanam oleh penduduk kampung kerana ianya mempunyai pelbagai kegunaan di samping buahnya juga boleh dimakan.

Buah beka berbentuk leper seperti parang yang berukuran sepanjang 100 sehingga 200 sentimeter (cm). Buahnya juga berwarna hijau muda dan akan perlahan-lahan bertukar menjadi hitam setelah masak. Buahnya terdapat pada hujung dahan bersama dengan daun-daun yang merimbun. Pokok ini bersaiz sederhana besar dengan anggaran ketinggian diantara 18 sehingga 20 meter (m).  

Terdapat pelbagai kegunaan pokok ini dan yang selalunya digunakan adalah buahnya. Buah beka yang hampir masak boleh dijadikan makanan. Sebagai contoh, masyarakat utara Pantai Timur menjadikan buah ini sebagai kerabu. Sebelum ia dijadikan kerabu, buah tersebut perlu dibakar terlebih dahulu kerana sekiranya ia tidak dibakar, rasa yang pahit akan mengganggu kesedapan kerabu tersebut.

Proses untuk memasak buah ini juga agak renyah kerana memakan masa dan memerlukan penelitian yang serius supaya hasilnya tidak akan memberikan kesan sampingan kepada sesiapa yang memakannya. Pucuk beka juga boleh dijadikan ulaman dan juga boleh dimasukkan dalam masakan seperti masak lemak dan rasanya sangat enak, rangup dan juga berlemak.

Selain buah dan pucuknya yang digunakan untuk masakan, terdapat beberapa kegunaan lain lagi seperti daun beka digunakan untuk menjadi alas kepada batu tungku bagi membantu wanita yang lepas bersalin bagi merawat bahagian perut mereka. Akar pokok ini juga boleh digunakan sebagai ubat tradisional. Akar yang diambil adalah akar dari anak pokok ini direbus dan dijadikan air penawar dan dikatakan air rebusan akar ini dapat membantu menambahkan susu kepada wanita yang baru lepas bersalin.

Sejajar dengan peredaran masa, pokok ini boleh dikatakan semakin kurang mendapat perhatian kerana masyarakat kini lebih menggunakan perubatan moden daripada perubatan tradisional. Namun dapat diharapkan supaya pokok ini tidak mengalami risiko kepupusan dan lebih terpelihara serta mungkin pelbagai lagi kajian tentang manfaat pokok ini dapat dilakukan demi kebaikan kita semua.

Penulis:

  • Muhamad Aris Bin Aziz adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Sebelum ini, kami ada kongsikan lima khasiat buah lemon. Untuk baca artikel penuh, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca