Melucukan! Itulah ungkapan paling sesuai untuk menggambarkan situasi ini di mana sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar menerima panggilan kes binatang buas tetapi apabila tiba ke lokasi, apa yang ditemui hanyalah seekor lalat hijau.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah iaitu Sayani Saidon, kes seperti ini belum pernah diterima JBPM Kedah sebelum ini.
Difahamkan, pihaknya pada mulanya menerima panggilan melaporkan tentang kehadiran binatang buas di belakang Sekolah Tamil Anak Bukit sekitar jam 6.03 petang Sabtu.
Pada masa yang sama, pemanggil turut memaklumkan bahawa dia ada terdengar bunyi pelik dan mencurigakan datang dari dalam almari berkenaan.
Namun begitu, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, anggota keselamatan mendapati seekor lalat hijau terperangkap dalam almari berkenaan dan bukannya binatang buas seperti yang dilaporkan.
14 Dis 2019 – KEDAH
(MERS 999) Terima panggilan BINATANG BUAS dalam ALMARI sekitar kawasan Anak Bukit.Jentera Bomba, anggota, kelengkapan PPE serta alatan yang sepatutnya di gerakkan ke lokasi kecemasan…
Maka terciptalah sejarah untuk seluruh warga Bomba Alor Setar pic.twitter.com/G9wrKego9y— Berita Semasa Tempatan Malaysia 🇲🇾 (@BeritaTmptnMy) December 14, 2019
Kata Sayani, meskipun ramai yang menganggap kes itu tidak memerlukan bantuan bomba, namun anggotanya tetap pergi ke lokasi kejadian kerana itu adalah tugas mereka. Walau bagaimanapun, dia mengingatkan orang ramai agar periksa terlebih dahulu sebelum membuat panggilan kecemasan.
“Saya ingin menarik perhatian pemanggil sebelum memanggil Jabatan Bomba untuk kes-kes yang melibatkan kecemasan (melibatkan binatang buas dan berbisa), jika kita tak nampak wujudnya objek, ancaman ataupun risiko daripada binatang yang dikatakan berbisa itu, saya nasihatkan cuba jangan panik. Kita kena siasat dulu apa sebenarnya yang mengeluarkan bunyi,” kata Sayani.
Memetik laporan Astro Awani, ada setengah BBP di beberapa daerah yang cuma ada satu keluaran dan ada yang mempunyai dua atau tiga keluaran.
Bagi BBP yang mempunyai satu keluaran, kes pelik seperti lalat ini akan melambatkan kehadiran anggota untuk menghadirkan diri ke kes kecemasan lain.